17 April 2009

Kedudukan Wuduk bagi Anak Angkat

Soalan:
Ibu saudara saya telah berumahtangga. Beliau tidak mempunyai cahayamata. Beliau telah mengambil anak angkat seramai 5 orang. Pada akhir bulan Februari 99 suami beliau telah meninggal dunia. Semasa jenazah tersebut telah dikafankan dan hendak dikebumikan, anak-anak angkat beliau telah di beri kesempatan untuk mencium buat kali terakhir. Apakah hukum air sembahyang anak-anak tersebut?
Tidak harus kepada seseorang yang mengambil anak angkat menghubungkan keturunan anak itu dengan keturunannya dan memberikan hak yang sama kepada anak kandungnya sendiri. Rasulullah SAW juga mempunyai anak angkat Zaid bin Harithah, namun setelah zaid bercerai dengan isterinya Zainab Binti Jahsyi, Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW mengahwini bekas isteri anak angkatnya itu. Perintah Allah ini meskipun berat rasanya baginda ingin menunaikannya, namun baginda laksanakan juga lantaran ingin melaksanakan hukum Allah.

Jawapan:

Jelaslah bahawa hak anak angkat itu tidak sama dengan hak anak kandung sendiri. Dengan demikian wuduk antara anak angkat dengan keluarga angkatnya tetap batal jika mereka berlainan jenis. Walaupun begitu jika perkara tersebut tersilap melakukannya tidak dikira berdosa. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan) mengenai perkara-perkara yang tersebut itu adalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan ingatlah Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber "bin" kan kepada bapa-bapa mereka sendiri. Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu dan seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

^ Kembali ke atas ^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan