02 Mac 2009

Semangat semut beri panduan untuk bina etika kerja cemerlang

Semut adalah serangga bertubuh kecil tetapi hidup dalam satu komuniti kukuh bersatu padu. Semut dapat dilihat di tempat lembap dan mengandungi sisa makanan. Ada pelbagai spesies semut di dunia dan kehadirannya dalam jumlah yang banyak pasti menggawatkan manusia lantas pelbagai kaedah dilaksanakan untuk menghapuskannya.

Sikap rajin dan dedikasi semut boleh dijadikan iktibar dan pedoman dalam menelusuri roda kehidupan di dunia ini. Perhatikan bagaimana semut apabila mencari makanan, mereka begitu tekun, gigih malah cukup tabah meneroka kawasan dianggap mempunyai sumber makanan.

Meskipun kawasan itu terletak jauh dari sarangnya, namun mereka masih sanggup mencari dan terus mencari sehingga berjumpa dengan sasaran dikehendaki. Semangat kegigihan yang membara itu ternyata ada pada diri setiap semut. Tiada pengecualian kerana semua perlu berusaha mencari sumber makanan keperluan harian.

Justeru, penting dijadikan petanda aras kepada kita supaya bersikap penuh komited terhadap usaha penghidupan. Hal itu sejajar tuntutan Islam yang menyeru umatnya tekun dan bersemangat dedikasi melakukan sesuatu pekerjaan.

Daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang."

Allah SWT menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil kerja tekun dan berdedikasi. Ia kerana orang yang hebat dan berjaya cemerlang itu selalu memusatkan perhatian mereka pada usaha yang sedang mereka lakukan.

Bertindak cepat dan bergerak dengan matlamat yang tepat menjadi penanda jaya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (Surah al-Najm, ayat 39)

Apabila berkata mengenai dedikasi, maka sikap masyarakat Jepun dan Korea adalah antara contoh terbaik masa kini yang menepati semangat semut itu. Kedua-dua masyarakat itu begitu terkenal dengan etika kerja yang tinggi dalam memajukan diri dan negara.

Bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat, Charles Evans Hughes berkata: "Orang tidak akan mati kerana bekerja kuat. Mereka mati kerana pembaziran dan kecemasan."

Sebenarnya, keazaman dan semangat gigih menjadikan kerja yang sukar berjaya dilaksanakan dan se kali gus memacu kegemilangan. Inilah semangat semut jika kita rajin perhatikan dengan mata hati yang murni akan perjalanan hidup serangga merayap itu.

Apabila semut berusaha mencari sumber makanan, segala ikhtiar akan ditumpukan dengan perhatian bersungguh tanpa timbul rasa putus asa. Sikap kerajinan semut bersendikan pada bergerak cepat dan tepat memberi impak positif kepada kelangsungan hidup semut.

Kita mesti meneladani sikap dan tabiat baik itu kerana ia selaras suruhan agama. Kata Ibnu Umar dalam satu wasiatnya: "Gunakanlah daripada sihatmu bagi masa sakitmu dan daripada hidupmu bagi masa matimu."

Demikianlah beberapa sikap dan tabiat baik serangga semut yang boleh dimanfaatkan manusia kerana ada ketikanya kita selalu cuai dan tidak mampu berasimilasi dengan alam secara baik dan sempurna.

Persoalan Agama: Was-was semut dalam minuman

Soalan:
Bolehkah kita minum air yang sudah dimasuki semut. Apakah ada kesannya ke atas diri kita? Benarkah ia boleh menjejaskan daya ingatan kita.

Jawapan:
Di dalam buku Prinsip Utama Makanan Dan Minuman dalam Islam yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri merumuskan bahawa pada umumnya Islam menetapkan benda di dalam dunia ini kepada tiga kelompok;

i. Yang halal dijadikan makanan adalah yang terdiri daripada benda yang memberi kesihatan dan tidak memudaratkan badan. Makanan ini disuruh makan.

ii. Benda haram seperti najis, kotor dan tercemar yang membahayakan kesihatan dan akal fikiran haram atau tidak harus dimakan yang mana berdosa sekiranya melanggarnya.

iii. Benda yang makruh iaitu harus dimakan tetapi lebih baik ditinggalkan.

Semut adalah binatang yang haram dimakan walaupun semut besar dilarang membunuhnya kerana apa yang dimaklumi ia memakan apa juga makanan sama ada yang bersih ataupun kotor . Pergerakan yang melata juga secara tidak langsung kemungkinannya membawa najis atau kuman pada badannya. Cuma tidak ada hukum tegas iaitu haram meminum atau memakan makanan atau minuman yang dimasuki semut kerana ada sedikit kesukaran dalam mengawal semut daripada memasuki air atau makanan.

Kesimpulannya, Islam mengajar prinsip dan garis panduan itu, umat Islam disarankan agar berhati-hati dalam memilih makanan, minuman serta jangan bersikap acuh tidak acuh kerana makanan dan minuman akan menjadi darah daging. Ia boleh mempengaruhi, sikap, perwatakan dan pemikiran seseorang. Dikata ilmu sukar melekat atau menjejaskan daya ingatan sekiranya minum air mengandungi semut mungkin disebabkan prinsip dan garis panduan halalan toyyiban yang wajib diamalkan oleh orang Islam dalam memilih apa yang boleh dimakan dan apa yang tidak boleh dimakan mahupun makruh dimakan. Oleh itu, janganlah sengaja menapis air gula yang dimasuki semut, apatah lagi semut itu mati di dalamnya.