25 Februari 2009

Dedah keaiban orang lain perbuatan keji

Oleh MOHD SHUKRI HANAPI

Sesungguhnya perbuatan mendedahkan keaiban orang lain adalah perkara mazmumah (keji) dan sangat dipandang berat oleh Islam. Islam melarang umatnya mencari keaiban orang lain dan mendedahkannya sesuka hati.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksaan yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." (Surah al-Nur, ayat 19)

Atas dasar inilah, maka dikehendaki setiap orang menyimpan rahsia atau menutup keaiban saudaranya. Lebih-lebih lagi jika ia hanya semata-mata prasangka atau tuduhan buruk yang tidak berasas. Hal ini dikhuatiri akan menimbulkan fitnah dan perselisihan yang akibatnya amat berat ditanggung oleh orang itu sendiri dan masyarakat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak." (Hadis riwayat Muslim)

Menjelaskan mengenai perbuatan mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan, pertama ialah orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan.

Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.

Kedua, orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malahan tidak mempedulikan sebarang nasihat diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka; harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat.

Malah ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai, supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya kerana jika didiamkan tentulah ia bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah sehingga membahayakan masyarakat.

Menurut sesetengah ulama pula, adalah sunat merahsiakan keaiban manusia dalam empat perkara iaitu keaiban berkaitan hak Allah, keaiban lampau yang tidak diketahui orang, keaiban orang yang berkedudukan dalam masyarakat dan keaiban dilakukan untuk melindungi kepentingan anak yatim.

Setiap manusia mempunyai kehormatan diri yang tidak boleh dinodai dengan diselidiki keaibannya, sekalipun ia berbuat dosa, selama ia dilakukan secara ber-sembunyi.

Abu al-Haisam pegawai kepada Uqbah bin Amir (salah seorang sahabat Nabi SAW) berkata: "Saya pernah berkata kepada Uqbah bahawa saya mempunyai jiran yang suka minum arak, dan saya akan melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya mereka datang menangkapnya. Lantas Uqbah berkata: Jangan! Tetapi nasihatilah mereka itu. Abu al-Haisam menjawab: Saya sudah melarang tetapi mereka masih berbuat demikian. Justeru, saya tetap akan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Uqabah berkata lagi: Jangan! Sebab saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menutupi suatu keaiban, maka ia seolah-olah menghidupkan anak yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya." (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa'i dan Ibn Hibban)

Semua orang tetap ada keaibannya tertentu, sama ada kecil atau besar keaibannya tentu ia tidak suka diketahui orang. Apatah lagi jika ada orang yang sengaja mencari keaiban dan seterusnya menyebarkannya ke sana-sini, tentulah ia akan marah. Lebih buruk lagi jika ia membawa kepada perselisihan dan pergaduhan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu telah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)

Sebenarnya hal ini bertentangan dengan dasar Islam yang menganjurkan umatnya supaya saling berkasih sayang, hormat-menghormati, bantu-membantu dan tidak benci-membenci antara satu sama lain.

Bagi orang yang suka menyebarkan keaiban orang lain, seharusnya berfikir sejenak bahawa dirinya juga tidak sepi daripada aib dan cacat. Jika ia tidak suka keaibannya dicari dan didedahkan, maka mengapa pula ia sanggup mencari dan mendedahkan keaiban orang lain. Tidakkah ia bimbang suatu hari nanti orang lain pula akan mencari dan mendedahkan keaibannya.

Rasulullah SAW menilai bahawa mencari keaiban orang lain itu termasuk dalam perbuatan orang munafik yang menyatakan beriman dengan lidah tetapi hatinya membenci. Kelak mereka akan dibebani dosa yang berat di hadapan Allah.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai orang yang sudah menyatakan beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu belum sampai ke dalam hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang Islam dan janganlah pula mencari keaiban mereka. Sebab sesiapa yang mencari keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mencari pula keaibannya. Sesiapa yang dicari keaibannya oleh Allah, maka Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada dalam perjalanan yang jauh." (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Segala bentuk perbuatan dan tindakan yang kita lakukan hendaklah berlandaskan syariat Islam. Seandainya syariat Islam tidak dipedulikan, usaha untuk menghidupkan semangat kerjasama dalam masyarakat seperti bantu-membantu, hormat-menghormati dan memelihara kepentingan sesama Muslim dalam semangat kasih sayang yang tulen tidak akan tercapai. Sebaliknya akan wujud pula masyarakat yang penuh dengan kejahatan dan kemungkaran.

HARAM percayakan HOROSKOP!

Semoga dengan Maklumat ini dapat memperbetulkan minda, dan memberi kefahaman kepada anda tentang ramalan horoskop di dalam laman blog ini. saya tidak ingin melihat terutama orang islam lalai dengan artikel2 horoskop, zodiak didalam ini. Kerana mempercayai adalah syirik. Artikel berkaitan horoskop didalam blog ini hanyalah sebagai hiburan dan dari hasil penyelidikkan kekerapan berlaku dan hanyalah kebetulan ke atas manusia.
Mereka percaya apa yang diterangkan daripada bintang malah kadangkala taksub dan menganggap apa yang diberitahu itu benar walaupun ia hanyalah kebetulan.
Apakah pandangan Islam terhadap ramalan bintang horoskop?

Ada orang berkata mengapa tidak boleh mempercayai bintang horoskop sedangkan orang dahulu juga mempercayai bintang termasuk menentukan waktu dan arah perjalanan?
Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata mempercayai ramalan bintang horoskop adalah haram bahkan sebarang ramalan lain juga adalah haram.

Menurutnya, kepercayaan seperti itu termasuk dalam hukum bertenung nasib yang diharamkan dalam Islam, seperti ditegaskan pada ayat 90, surah al-Maidah.
"Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

Horoskop atau ramalan zodiak adalah carta atau diagram yang menunjukkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan dan planet.
Perkataan horoskop berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud 'melihat jam.' Untuk memperoleh horoskop seseorang, tempat, hari dan tarikh lahir orang itu mesti diketahui.

Tarikh itu pula akan jatuh pada satu daripada 12 lambang zodiak yang sedia ada iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.

Menurut ilmu astrologi, ramalan nasib berdasarkan bintang, setiap zodiak itu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri dan nasib setiap orang berdasarkan kepada zodiak serta kedudukan matahari, bulan dan planet pada hari itu. Ilmu astrologi dahulunya di Barat adalah satu disiplin bersama ilmu astronomi, namun sejak kurun ke-18, ilmu terbabit menjadi dua disiplin berbeza.
Ilmu astrologi adalah ramalan berdasarkan bintang, manakala astronomi ialah bidang kaji bintang dan angkasa raya atau ilmu falak.

Zamihan berkata, ilmu ramalan bintang atau astrologi dan ilmu kaji bintang atau astronomi adalah dua subjek berbeza dan perbezaan ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya supaya tidak nanti timbul kekeliruan.
"Dalam ilmu mengkaji bintang atau disebut juga ilmu falak ia dijadikan sandaran untuk mengenali komposisi kita, contohnya menentukan waktu solat, kita melihat kepada longitud dan latitudnya, apakah sudah waktu Isya atau Subuh.

"Sama juga apabila berlayar di lautan, pelayar akan melihat bintang di langit, berdasarkan kerlipan atau kedudukan bintang memberikan panduan kepada mereka untuk menentukan arah pelayaran dan tiba ke destinasi ditujui," katanya.
Beliau berkata, ramalan horoskop pula ialah merujuk kepada bintang dan dengan ramalan itu mempercayai dapat memberikan penyebab kepada kehidupan seseorang sama ada kebaikan atau keburukan seseorang.
"Mempercayainya seperti seorang dilahirkan dalam bulan sekian membawa kebaikan atau keburukan adalah jelas haram kerana ia termasuk perkara karut dan khurafat.
"Dalam Islam, melahirkan atau dilahirkan dalam bulan dan hari apa sekalipun tidak memberikan kebaikan atau keburukan, cuma dalam Islam ada dibincangkan keistimewaan hari dan bulan tertentu.

"Tetapi mempercayai tarikh, waktu atau bulan tertentu memberikan kebaikan, keuntungan, kerugian atau keburukan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
"Ini kerana bintang juga adalah makhluk iaitu benda yang diciptakan, sama dengan makhluk yang lain, diciptakan dan yang mencipta ialah Allah.

Benarkah kita berada di zaman yang penuh dengan pelbagai fitnah?

Oleh Ustaz Zainudin Hashim

Sesungguhnya fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah).

Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan dalam salah satu hdinya yang bermaksud : “Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia di waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah, seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit.” Hadis Sohih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripada Abu Hurairah.

Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. menerusi hadis di atas ialah terdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara, sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.

Fitnah yang terjadi itu boleh berlaku kerana orang yang terlibat itu sama ada benar-benar tidak memahami atau memiliki ilmu-ilmu fardu ‘ain ataupun kerana berhasrat meraih kepentingan dengan penampilan agama, atau memang di kalangan orang-orang munafiq, ketiga-tiga kategori manusia itu dianggap golongan yang jahat kerana mahu memburukkan Islam.

Jenis-jenis fitnah terhadap agama Islam

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.

2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

4- Fitnah melalui ungkapan.

5- Fitnah melalui penulisan.

6- Fitnah melalui iklan produk.

7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia. Fitnah…..oh fitnah…..dan banyak lagi.

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.

Terdapat para pemimpin negara-negara umat Islam, yang tidak segan silu untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara dan boleh dikatakan negara mereka adalah sebuah ‘Negara Islam’, sedangkan pada masa mereka mentadbir dengan sistem Sekular, Kapitalis, Sosialis dan lain-lain.

Yang tidak menampakkan Islam secara jelas, isteri-isteri mereka tidak memakai hijab (tudung kepala) serta menutup aurat dengan sempurna, tidakkah tindakan mereka itu telah memfitnah Islam secara langsung di hadapan orang-orang bukan Islam yang keliru dan terus keliru.

2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

Tidak kurang juga terdapat golongan ahli ilmu agama ketika sedang menuntut satu ketika dahulu, telah menanam hasrat untuk lulus cemerlang agar pulang nanti ditawarkan jawatan yang selesa, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa ketika menyandang jawatan penting di jabatan keagamaan, mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna, membiarkan perkara mungkar terus berlaku (takut nak tegur kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat atau ditukar ke jabatan lain).

Tidak cukup dengan itu, idea untuk menyatakan perkara-perkara makruf agar jadi program utama pun terkadang-kadang tidak berani untuk dilakukan, bimbang dilabel golongan yang melawan pihak atasan, akhirnya masyarakat jadi keliru kerana golongan ahli agama pun bercakap tidak serupa bikin.

3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

Disebabkan kerana kurang pendedahan maklumat agama, sama ada tidak mahu duduk dalam majlis ilmu agama atau ceramah, maka ramai di kalangan orang Islam dalam negara Malaysia ini memperlihatkan penampilan diri mereka benar-benar tidak Islamik langsung.

Ada di kalangan golongan remaja Islam yang bertatoo, menampakkan pusat (perempuan), bergelang tangan, berantai dan bertindik (yang lelaki), mencukur bulu kening, memakai rambut palsu, yang perempuan menyerupai lelaki atau yang lelaki menyerupai perempuan.

Cara bercakap seperti orang bukan Islam, berlepak, merempit tanpa hala tuju hidup, mendurhaka dan melukai perasaan kepada ibu bapa, menyakiti jiran dan banyak, tidakkah semua tindakan itu fitnah terhadap Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar penganutnya berbuat demikian.

4- Fitnah melalui ungkapan.

Terdapat di kalangan orang Islam yang memfitnah Islam dengan ungkapan mereka seperti kata-kata : Islam tidak relevan pada zaman orang mengejar Sains dan Teknologi, undang-undang Islam seperti hudud, qisas, takzir dan lain-lain sudah tidak sesuai pada hari ini, ia hanya boleh dilaksanakan di padang pasir di zaman Rasulullah s.a.w.

5- Fitnah melalui penulisan.

Terdapat juga segelintir penulis yang pro aliran songsang yang memperlekeh hukum-hukum Islam dalam blog, rencana atau buku-buku tulisan mereka, ia disifatkan sebagai satu tindakan berani kerana mereka tahu bahawa tindakan itu tidak akan dikenakan apa-apa.

6- Fitnah melalui iklan produk.

Satu lagi fitnah yang tidak dapat dikawal akibat kelemahan para pemimpin negara ialah kecenderung syarikat-syarikat mempromosi produk mereka dengan menggunakan khidmat model-model Melayu/Islam, ada yang mendedahkan aurat, kepala semata-mata untuk menunjukkan bahawa produk mereka cukup berkesan tiada tompok-tompok hitam di badan model.

7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

Para atlet negara termasuk yang angkat berat disertai atlet muslimah yang cukup menggiurkan ketika menunjukkan aksi mengangkat berta, termauk dalam sukan jimrama, renang, hoki dan lain-lain.

Begitu juga pendedahan aurat di kalangan penghibur seperti penyanyi, pelakon, pelawak wanita juga tidak kurang yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan jenama mereka sebagai orang Islam. Semua itu dianggap memfitnah Islam kerana menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan tindakan itu.

8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

Satu lagi fitnah di akhir zaman ini ialah terlalu berbangga dengan bilangan masjid yang banyak, tetapi kosong dengan pengajian agama, malah terdapat pula replica masjid yang menelan blanja jutaan ringgit tetapi tidak boleh solat Jumaat di dalamnya.

9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

Ramai di kalangan pekerja Islam, bukan yang menceburi bidang binaan, yang bekerja dalam bilik berhawa dingin pun tidak melakukan solat fardu atau Jumaat, terdapat scenario di mana ada pekerja muslim di sebuah kilang ditegur majikan yang bukan Islam mengapa mereka tidak pergi menunaikan solat Jumaat.

10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia.

Disebabkan tidak menguasai dengan baik ilmu-ilmu fardu ‘ain, maka ramai di kalangan individu Islam tidak bercakap benar, melakukan pecah amanah berjuta ringgit, rasuah, penipuan, menggelapkan wang tabung haji dan sebagainya, menunjukkan sikap dan akhlak orang Islam sangat kritikal, sekali gus ia memfitnah agama Islam yang suci.

Sesungguhnya mereka itu semua berdosa di hadapan Allah kerana tidak menunjukkan sesuatu tindakan yang baik terutama kepada golongan yang lebih muda ataupun di kalangan bukan Islam yang merasakan Islam menjana kegiatan yang tidak bermoral.

Justeru, asas kepada pengukuhan jati diri muslim bersama agama Islam dalam apa jua keadaan, sama ada ketika Islam berada di puncak atau sedang berada di bawah, namun dia tidak akan berganjak walau setapak pun kerana begitu yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui benar di sisi Allah SWT.

Hukum Lelong di Internet

Oleh Zaharuddin Abd Rahman
(Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
zaharuddin@yahoo.com

JUAL-BELI secara lelong dikenali dalam Islam dengan nama ‘al-Muzayadah’, iaitu satu kalimah yang membawa maksud daripada sudut bahasanya ‘saling naik menaik’.

Dalam konteks jual-beli lelong ini, bakal pembeli cuba menawarkan harga yang lebih mahal kepada penjual dan sesiapa yang menawarkan harga tertinggi dikira pemenang.


Majlis Fiqh Antarabangsa yang bernaung di bawah Al-Munazzamah Al-Muktamar Al-Islami sudah mengeluarkan resolusi keharusan jual-beli lelong dengan syaratnya. Antara yang disebut dalam resolusinya adalah:

1. Setiap proses selanjutnya (selepas menang) seperti catatan secara bertulis, syarat pembayaran, pentadbiran dan undang-undang mestilah tidak bercanggah dengan hukum syariah.

2. Penganjur atau penjual dibenar meminta jaminan daripada mereka yang turut serta dalam majlis lelongan.

3. Dibenarkan penganjur lelongan mengambil caj masuk atau penyertaan dengan syarat ia tidak melebihi nilai sebenarnya.

4. Diharamkan penjual atau penganjur melakukan bidaan palsu supaya harga lelongan naik. Ia dinamakan An-Najash yang diharamkan secara jelas oleh Nabi SAW.

5. Penjual dan rakan mereka menipu harga pasaran, kononnya jualan di tahap sangat murah.

6. Penjual mempromosi kualiti tinggi barangan yang boleh dibaca, dengar dan lihat bagi menaikkan harga, sedangkan hakikatnya tidak sedemikian.

Hukum lelong di ebay (laman web lelong di Internet)

Selepas menerangkan serba ringkas asas dan panduan bagi jualan dan belian lelong di atas, saya melakukan pembelian di ebay. Saya dapati hukum pembelian melalui laman web itu harus selagi barang yang dibeli bukan emas, perak dan mata wang semasa yang diguna pakai (bukan yang antik tanpa nilai).

Pembelian ketiga-tiga barangan berkenaan diwajibkan untuk serah dan terima secara serta merta, namun barangan yang dibeli biasanya akan dihantar lewat disebabkan proses tertentu. Namun, ada fatwa lebih ringan yang mengizinkan kelewatan selama tiga hari dari tempoh pembelian.

Ia pandangan mazhab Maliki berdasarkan kaedah fiqh yang popular iaitu: “Apa-apa yang hampir dengan sesuatu, maka akan mengambil hukum sesuatu itu.” (Asbah wa Nazair, as-Suyuti, hlm 82)

Kesimpulan hukum membeli melalui ebay adalah:

1. Dibenarkan atau harus untuk membeli di laman web ebay, kecuali pembelian tiga barangan iaitu emas, perak dan mata wang semasa yang diguna pakai (bukan yang antik tanpa nilai).

2. Dibenarkan atau harus untuk menjual di laman web ebay. Namun, komisen yang diambil oleh paypal dan pengendali ebay daripada pembeli adalah harus atas hujah ia adalah caj servis atau wakil atas sesuatu kerja.

Namun caj berkenaan mesti diketahui cara kiraan dan jumlahnya dari awal penjualan dibuat. Menerima bayaran daripada pembeli yang menggunakan kad kredit konvensional adalah harus kerana ia di luar kuasa dan tanggungjawab penjual.

3. Pembayaran melalui kad kredit konvensional adalah haram, walaupun pembeli membayar harga ‘on time’ kepada pengeluar kad. Ini kerana setiap pembeliannya memberi komisen kepada pengeluar kad kredit riba, ia dikira membantu perkembangan industri kad kredit riba secara langsung.

4. Paypal: Pembayaran melalui paypal adalah mengikuti hukum kad yang disandarkan kepada paypal, iaitu kad kredit, debit atau ‘charge card’ yang digunakan. Jika ia kad yang dikeluarkan secara konvensional, justeru pembayaran melalui pay pal turut haram.

5. Tempoh Serah: Mestilah diketahui tempoh hantaran barang akan dibuat dan anggaran tarikh ia akan sampai ke tangan pembeli.

6. Jaminan: Penjual mestilah diketahui atau boleh dihubungi jika barangan dibeli masih tidak sampai melepasi tempoh dijanjikan.

7. Jaminan atas kerosakan atau aib: Satu fakta tambahan yang menjadikan ebay semakin selamat adalah ganti rugi daripada pihak ebay.

Menurut mereka yang kerap berurusan dengan ebay, pihak ebay turut menyediakan peruntukan ganti rugi bagi sesiapa yang menghadapi penipuan melalui transaksi jual-beli di laman web itu.

Rakan saya di Swansea, United Kingdom (UK) pernah menerima ganti rugi beberapa ratus Pound Sterling apabila televisyen yang dibelinya melalui ebay mempunyai kerosakan yang tidak dinyatakan dengan jelas oleh penjual dalam spesifikasi jualan.

Tindakan dan peruntukan ganti rugi ebay seperti ini menjadikan unsur gharar menjadi mengecil dan jatuh dalam kategori gharar yasir yang dimaafkan.

Lelong di Swoopo

Saya turut ditanya mengenai satu lagi laman web lelongan yang kian popular iaitu www.swoopo.co.uk. Selepas meneliti terma dan syarat penyertaan dalam lelongan swoopo, saya dapati lelongan melalui laman web terbabit berbeza dengan ebay.

Antara terma yang berbeza dengan ebay adalah:

1. Setiap bakal pembida perlu membeli hak bidaan dan bayarannya mesti dijelaskan sebelum membida. Bidaan pula boleh diberi melalui pakej tertentu dikenali sebagai ‘BidPacks’ berdasarkan harga tertentu yang ditetapkan.

2. Jika pembeli tidak membuat bayaran bagi pembelian yang sudah dibuat, caj bayaran pulangan dikenakan dan pembeli akan menanggungnya. Swoopoo mempunyai hak untuk menyekat laluan kepada akaun pembeli hinggalah bayaran penuh dibuat atas barangan sudah dibelinya.

3. Bidaan tertentu seperti ‘FreeBids’ hanya sah untuk tempoh terhad. Sejurus ia tamat tempoh mengikut waktu ditetapkan, bidaan tidak lagi boleh dibuat manakala wang pula tidak akan dikembalikan.

4. Bidaan boleh dilakukan dengan dua kaedah iaitu pertama, mengklik punat bida dan kedua, secara automatik melalui penggunaan khidmat ‘BidButler’. Sejurus bidaan dibuat, caj tunai ditolak melalui akaun pengguna.

Kesimpulan

Jual dan beli atau bidaan melalui web swoopo adalah haram kerana wujud unsur judi dan gharar yang besar. Ini kerana setiap peserta perlu membeli hak untuk bidaan yang ada nilai tertentu, dan hanya mempunyai beberapa peluang membida berdasarkan nilai ‘package bid’ yang dibeli.

Ia ternyata dengan jelas dalam ayat ini:

“Setiap bakal pembida perlu membeli hak bidaan dan bayarannya mesti dijelaskan sebelum membida. Bidaan pula boleh diberi melalui pakej tertentu dikenali sebagai ‘BidPacks’ berdasarkan harga tertentu yang ditetapkan. Setiap bidaan hanya berjumlah 40 pence atau RM2 dan ia ada dalam pakej BidPacks.”

Anda dapat melihat bagaimana satu bayaran bagi bidaan dikenakan RM2 dan anda dikehendaki membeli BidPacks dalam pakej dinyatakan itu.

Ia jelas dan terang menjadi judi apabila disebut dalam termanya:

Bidaan boleh dilakukan dengan dua kaedah iaitu mengklik punat tertentu membida dan secara automatik melalui penggunaan khidmat ‘BidButler’.

Tatkala itu ia sama seperti judi, yang mana pembayaran hak bidaan dijadikan sebagai wang taruhan dan barangan yang dijual seperti hadiah kemenangan, manakala semua pembida yang tewas akan kehilangan wang bidaannya.

Akhlak membezakan manusia dengan haiwan

Akhlak adalah suatu fenomena kemanusiaan yang tidak terpisah daripada kehidupan setiap manusia walaupun golongan yang rendah tahap tamadunnya, bahkan masyarakat primitif sekalipun.

Manusia dikenali sebagai makhluk yang hidup bermasyarakat. Dalam kehidupan itu manusia melaluinya dengan peraturan tertentu yang dinamakan akhlak. Cuma yang berbeza dari segi baik atau buruk akhlak dipersembahkan.


Sekiranya ada manusia di dunia ini yang mendakwa tidak mempunyai agama atau menganuti fahaman bebas sepenuhnya, akhlak yang tersemat pada dirinya itulah juga sebagai ganti agama dan itulah agamanya.

Akhlak dalam kehidupan manusia amat jelas, malah didorong rasa ingin mengetahui, aspek itu menjadi suatu bahan pemikiran dan penyelidikan secara khusus dalam pelbagai bidang sejak zaman berzaman.

Semua pengkaji mendapati akhlak menjadi satu daripada aspek yang menjelaskan lagi bukti perbezaan antara manusia dan haiwan.

Daripada kesan dan bukti sejarah perkembangan, kemajuan serta tamadun manusia menunjukkan kekuatan dan keutuhan suatu umat atau bangsa dan tamadunnya bergantung pada dua unsur.

Pertama, kekuatan dan keutuhan kebendaan, manakala yang kedua keutuhan dan kekuatan akhlaknya.

Dua unsur terbabit sama-sama diperlukan, kerana ketiadaan satu daripadanya tidak akan membawa kepada kekuatan suatu umat atau bangsa di dunia.

Kecemerlangan dan kegagalan, ketinggian dan kerendahan, kemajuan dan kemunduran, malah kekuatan serta kelemahan sesuatu bangsa bergantung kepada dua unsur terbabit.

Tetapi sekiranya diperhatikan dengan lebih teliti, antara dua kekuatan terbabit akan zahir kekuatan sebenar sebagai tenaga berkesan serta penentu kepada kesejahteraan hidup manusia dan tamadunnya atau sebaliknya.

Kekuatan itu ialah akhlak yang disifatkan sebagai kekuatan maknawi, bukannya kekuatan kebendaan (maddi), sedangkan dunia kini lebih banyak memberi fokus kepada unsur kebendaan, dengan mengambil mudah aspek akhlak.

Oleh kerana itu dapatlah dirumus, kejayaan dan kemajuan, ketinggian dan kesejahteraan bangsa adalah kekuatan serta keutuhan akhlaknya.

Walau betapa membangun sesebuah negara itu, megah bersama bangunan pencakar langit dan teknologi moden, tetapi jika bangsanya rendah budi bahasa dan buruk akhlaknya, sudah tentu negara terbabit tidak dijulang serta tidak disebut-sebut.

Lihat saja bangsa yang menjadikan rasuah sebagai amalan, tidak dipandang tinggi masyarakat antarabangsa, walaupun pembangunan di negara terbabit tidak kurang hebat, malah bilangan rakyatnya melebihi daripada sesetengah negara lain.

Ringkasnya akhlak itulah yang akan merendahkan atau meninggikan suatu umat dan bangsa. Akhlak itulah yang akan melemahkan atau memajukan dan dengan faktor itulah akan membuatkan bangsa itu derita, sejahtera, cemerlang atau binasa.

Pantun Melayu lama berbunyi:

Kukuh rumah kerana sendi

Rosak sendi rumah binasa

Kukuh bangsa kerana budi

Rosak budi bangsa binasa.

Contoh kehancuran umat manusia di zaman silam disebabkan keruntuhan akhlak jelas di depan kita, yang boleh diteladani melalui kisah dipaparkan al-Quran serta hasil penemuan dan kajian ahli arkeologi, seperti generasi manusia yang rendah akhlak di zaman Nabi Luth a.s.

Umat terbabit menerima musibah kerana sudah ketandusan dan kekeringan unsur kemuliaan akhlak. Mereka pupus benih kebaikan, dilanda keruntuhan dan kerosakan akhlak yang melampau-lampau, sehingga disifatkan al-Quran sebagai umat yang zalim.

Kehancuran umat terbabit dan kebinasaannya sebagai akibat daripada sebab keruntuhan akhlak, adalah suatu sunnah atau suatu undang-undang yang pasti kepada setiap umat dan bangsa di dunia.

Justeru, akhlak walaupun aspek yang sering dipandang remeh oleh banyak pihak, ia sebenarnya nadi utama dalam mewujudkan keseimbangan riwayat hidup setiap manusia, umat dan tamadunnya.

Nabi s.a.w ada bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak." (Riwayat al-Hakim)