04 Januari 2009

Tele-kerja diperkenal

Tele-kerja diperkenal

Kerajaan akan mewujudkan sistem tele-kerja atau teleworking iaitu sistem bekerja dari rumah bagi menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan suri rumah, ibu tunggal, pesara dan graduan menganggur.

Melalui sistem itu, kira-kira 7.1 juta rakyat Malaysia yang tidak tergolong dalam sektor tenaga kerja berpeluang menyertai pasaran buruh menerusi konsep Pusat Tele-kerja (T-centre) yang bakal diwujudkan kelak.

Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam berkata, selain memberi peluang golongan berpendapatan rendah memperoleh pendapatan menerusi pekerjaan di Internet, tele-kerja juga mampu mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Kita ada lebih 7.1 juta rakyat yang mempunyai kebolehan bekerja tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana pelbagai masalah seperti sudah mempunyai anak atau pesara yang tidak boleh keluar bekerja.

“Kalau kita boleh memanfaatkan sepenuhnya tenaga kerja dari golongan ini, dalam bidang tertentu mereka berpotensi menggantikan tenaga kerja asing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tele-kerja anjuran Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia (YKSM) di sini hari ini.

Subramaniam berkata, kementerian itu sedang menyemak semula Akta Kerja 1955 bagi membolehkan aspek perundangan menyokong pelaksanaan sistem tele-kerja dan memberi manfaat yang saksama kepada pekerja dan majikan.

Pada masa sama jelasnya, kerajaan juga sedang merangka garis panduan kepada para majikan untuk mengenal pasti sektor-sektor yang berpotensi untuk dilaksanakan melalui sistem itu.

“Sistem tele-kerja ini mencetuskan kebimbangan majikan mengenai mutu kerja, masa penyampaian, isu kerahsiaan dan (masalah) ini menyukarkan ia dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Oleh itu, semakan semula akta sedia ada akan membolehkan undang-undang melindungi majikan dan pekerja termasuklah dalam isu-isu kebajikan seperti cuti tahun dan faedah penamatan kerja,” jelasnya.

Beliau menambah, konsep tele-kerja tidak memerlukan peserta keluar bekerja, malah mereka mempunyai banyak masa menguruskan keluarga dan diberi latihan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kemahiran.

Sehubungan itu, beliau menggesa para majikan supaya bersikap lebih terbuka dan menerima konsep tele-kerja sebagai revolusi baru dalam menambah produktiviti selain mengurangkan kos dan sewa bangunan.

“Kalau dilihat bagaimana sistem tele-kerja yang dilaksanakan YKSM, sistem ini sebenarnya amat berkesan dalam memberi kemahiran kepada golongan berpendapatan rendah, malah majikan turut menerima manfaatnya,” katanya.

Subramaniam berkata, usaha kerajaan dalam meningkatkan kemudahan jalur lebar akan membantu menjayakan sistem tersebut selain aplikasi lain seperti e-Kerajaan, e-Kesihatan, e-Pendidikan dan e-Pembayaran.

5 Strategi Kejayaan Dan Kekayaan

5 Strategi Kejayaan Dan Kekayaan

1.Sikap


Jika hanya ada satu sahaja faktor penentu kejayaan dalam apa juga yang anda lakukan, ialah sikap. Einstein mengatakan bahawa sikap 99% adalah penentu kejayaan atau kegagalan seseorang. Anda mestilah mempunyai sikap yang positif dalam apa juga yang anda mahu lakukan, jika anda mahukan kejayaan. Samada anda berjaga, hendak melelapkan mata, bekerja – apa juga yang anda buat, anda mestilah tanamkan sikap positif. Apabila sesuatu perkara tidak menjadi seperti yang anda harapkan, anda sepatutnya terus bersikap positif. Jika anda bangun lewat, jangan merasa bosan, sebaliknya anda harus berfikiran positif dan berkata kepada diri anda sendiri “ ok, hari ini aku terlewat bangun, sekarang aku perlu lakukan yang terbaik untuk hari ini”.



Saya tidak percaya bahawa mereka yang berjaya pada hari ini boleh mencapai tahap itu tanpa mempunyai sikap yang baik dan positif. Sebenarnya lebih mudah untuk berfikiran negatif, dan untuk pengetahuan anda untuk berfikiran positif memerlukan sedikit usaha. Tampalkan satu nota di atas meja anda, di dalam kereta, cermin dibilik air yang tertulis “SIKAP”. Apabila anda melihat nota itu, berhenti sejenak dan berfikir tentang perkara yang sudah berlaku pada hari itu, dan jika ada masanya anda merasa tidak berfikiran positif, fikirkan semula dan teruskan kerja yang anda lakukan. Jika anda bersikap positif, semua perkara yang anda lakukan akan menjadi lebih mudah. Jika ada perkara yang anda tidak suka lakukan, jangan biarkan sehingga pada saat akhir, bahkan lakukan perkara tersebut dahulu dan fikirkan “Saya mahu menyiapkan kerja ini sampai siap kemudian saya boleh buat kerja yang saya suka !”. Cubalah teknik ini dan anda pasti akan merasa perbezaannya.


2. Ambil tindakan


Ini merupakan satu isu yang besar kepada ramai orang, mereka mempunyai idea bisnes yang baik, mereka memberitahu kepada kawan-kawan tentang bisnes yang hendak dimulakan, kawan-kawan menjadi positif dan menyokong. Kemudian mereka beritahu kepada beberapa orang lain sehinggalah menjadi senyap begitu sahaja. Jika anda mempunyai idea yang bagus tidak menjadi masalah, tetapi anda perlu membuat tindakan. Kemudian apabila anda sudah mula melakukan sesuatu, anda perlu mengambil beberapa lagi langkah seterusnya sehinggalah mencapai



kejayaan. Jika anda mempunyai peluang atau idea pada masa ini, mungkin sesuatu yang



sudah lama anda fikirkan, berhenti bercakap dan berfikir tentangnya – BUAT SAHAJA.



Saya mempunyai ramai sahabat yang datang berjumpa dan bercakap tentang idea-idea bisnes seperti seolah-olah mereka yang menyuruh saya melakukan bisnes tersebut. Saya boleh menolong mereka, beri cadangan tetapi yang menyedihkan ialah 90% daripada mereka tidak pernah membuat tindakan. Jika anda tidak membuat tindakan, anda menafikan hak anda untuk satu kejayaan.


3. Tukar Bagaimana Anda Diprogramkan


Sejak dari bangku persekolahan lagi kita selalu terfikir seperti yang selalu diberitahu oleh orang-orang dewasa bahwa “ belajar pandai-pandai dan dapatkan kerja yang baik”. Harap anda jangan tersalah anggap, saya fikir apabila kita disekolah kita perlu belajar apa yang perlu kemudian buka bisnes anda sendiri! 80% jutawan pada hari ini mencapai impian mereka dengan memulakan bisnes sendiri. Mungkin anda sudah sedia maklum, jika anda benar-benar mahukan kebebasan kewangan, masa depannya ialah dengan memulakan perniagaan sendiri. Sudah tentu bisnes sendiri harus menanggung risiko, dan boleh mengurangkan risiko tersebut dengan memulakannya secara sambilan, dan gunakan teknik yang saya tunjukkkan dengan modal yang kecil, tetapi ganjarannya amat banyak dan menguntungkan.


4. Tuliskan Apa Yang Anda Fikirkan


Saya tidak kisah berapa baik memori yang anda ada, tetapi mengapa perlu dibiarkan sahaja. Mengapa perlu menanggung risiko jika terlupa sesuatu yangpenting? Tuliskan perkara yang ada difikiran anda menolong melegakan otak anda yang sarat dengan maklumat. Apabila anda menulisnya anda tidak perlu takut jika terlupa pada masa yang diperlukan. Jika anda mempunyai idea – tuliskan. Jika anda mempunyai masalah – tuliskan. Apabila anda menulis sesuatu masalah, anda akan dapati bahawa anda boleh berfikir dengan lebih jelas, dan satu masa nanti perkara tersebut dapat diselesaikan. Teknik ini nampak mudah, tapi jika anda mula menggunakannya, anda pasti akan lihat perbezaannya kelak.


5. Tetapkan matlamat dan impian


Jika anda tidak mempunyai sasaran, anda tidak akan dapat apa-apa. Anda mesti mempunyai matlamat, anda perlu tahu kemana destinasi anda, berusaha untuk mencapainya dan sentiasa ingat akan impian anda. Saya berjumpa dengan ramai orang yang mungkin tidak faham tentang konsep ini yang berkata “impian aku ialah untuk menjadi jutawan dalam masa 5 tahun” tetapi apabila anda tanyakan bagaimana untuk mencapainya, mereka hanya diam sahaja. Anda mesti mempunyai matlamat jangka panjang, untuk tempoh 5 tahun akan datang, kemudian anda perlu berusaha untukmencapainya, kemudian tetapkan matlamat jangka pendek yang lebih mudah dicapai contohnya matlamat setahun, sebulan dan seminggu. Saya harap 5 strategi diatas dapat menolong anda berjaya dengan lebih mudah dan cepat.

Cari makna baru Hijrah

Cari makna baru Hijrah

Sebagai junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam. Nabi Muhammad, bagi mereka, bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok-sosok lain dalam sejarah kemanusiaan.

Baginda merupakan, Rasul Junjungan dan Insan Kamil yang diutus Tuhan bagi menzahirkan kesempurnaan sifat akhlak seseorang insan. Baginda merupakan manusia yang paling tinggi martabat kerohaniannya dan yang paling di sayangi Tuhan.

Walaupun baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.

Begitu juga dengan peristiwa hijrah yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. Secara historis, ia merupakan detik perpindahan dakwah Nabi dari peringkat pertama di Mekah yang penuh dengan mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa baginda sendiri, ke peringkat yang kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.

Daripada segi pensyariatan agama, ia merupakan dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Mekah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah dan pandangan alam Islam.

Namun di sebalik dimensi historis yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau siri-siri ceramah Maal Hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran yang lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan kita sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama oleh umat Islam zaman ini yang berhadapan dengan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik dan kebijaksanaan Nabi apabila berhadapan dengan cabaran dan ancaman semasa.

Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad merupakan insan terpilih dan yang terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doa-doanya dan dikurnia mukjizat dari Tuhan, kehidupan Nabi juga seperti kehidupan manusia yang lain, menuruti sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan.

Dengan perkataan lain, kehidupan Nabi juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Nabi apabila sunnatullah mengajar bahawa golongan yang lemah walaupun benar amat sukar mengalahkan golongan yang lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.

Sebagai golongan yang baru muncul dan mempunyai jumlah yang kecil dan persiapan yang kurang, tekanan dan ancaman yang ditujukan oleh golongan Musyrikin di Mekah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi oleh Nabi dan golongan Muslimin yang ada pada ketika itu.

Justeru perpindahan dari Kota Mekah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan. Nabi perlu mencari ruang dan kekuatan baru ke Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam.

Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil oleh masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Nabi ini? Sekiranya Nabi, insan terpilih yang dikurniakan Allah pelbagai bentuk mukjizat itu sendiri menyedari hakikat bahawa baginda harus bertindak berdasarkan waqi' semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi yang ada, umat Islam dewasa ini sudah pasti harus lebih menyedari mengenai waqi' kehidupan yang melingkungi mereka.

Secara umumnya, masyarakat Islam sememangnya berada dalam keadaan yang lemah baik dari segi kekuatan fizikal, ketenteraan ataupun kekayaan ekonomi. Malah dari segi kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama negara-negara Barat.

Akan tetapi terdapat sekelompok dari masyarakat Islam yang nampaknya yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi' semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk kepada tindakan sekelompok yang melakukan tindakan mengebom dan menculik serta membunuh yang melibat manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Kita tidak menafikan bahawa sebahagian peristiwa tersebut adalah tindak balas daripada segelintir orang Islam terhadap tindakan politik yang dilakukan oleh kuasa besar ke atas beberapa negara Islam atau merupakan perencanaan oleh pihak-pihak tertentu.

Namun cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam secara keseluruhannya terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan umat Islam dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas sekiranya berlaku.

Mengundang

Kita melihat sebahagian besar daripada tindakan sebegini sekadar mengundang tindakan balas yang lebih keras dan buruk kepada masyarakat Islam sebagaimana yang telah kita lihat berlaku di Afghanistan, Iraq dan negara Islam lain. Yang penting ia juga menggambarkan kerangka pemikiran yang ekstrem hasil daripada kekeliruan tentang ajaran Islam.

Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan bahawa Nabi sendiri bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan yang ada apabila baginda mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan perkataan lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya inilah antara makna hijrah yang baru yang harus kita manfaatkan untuk suasana kita dewasa ini.

Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan yang lemah, bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal sebagaimana yang disaran al-Quran, seperkara yang juga penting ialah kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain. Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlakiyah terutama dalam menolak faham-faham yang bertentangan dengan agama.

Berbanding dengan Islam, sebahagian agama lain misalnya, telah pun berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran-aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme. Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama-agama tersebut telah merubah dasar-dasar agama dan kepercayaan mereka bersesuaian dengan ideologi-ideologi tersebut.

Namun agama Islam, berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan oleh golongan ilmuwan Islam sepanjang zaman, ia masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran-aliran pemikiran asing.

Kekuatan yang pada agama Islam ini harus dipertahankan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya melibatkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Malah, dari segi strategi, sememangnya umat Islam dalam keadaan mereka lemah fizikal, seharusnya menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan ini.

Ia juga merupakan satu jihad yang besar dan harus dilakukan dengan menggunakan usaha yang kuat dan serius. Malah, ia juga satu bentuk peperangan yang melibatkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan.

Sekiranya kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan yang berlaku ke atas negara-negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang telah 'mengorbankan' dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.

Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan oleh sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian dari aspek siasah dan ketenteraan. Malah jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan.

Mungkin ini merupakan salah satu makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah dari satu suasana kepada suasana yang baru, tetapi juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita telah pun berada sebelumnya. Jika sebelum ini kekuatan tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan tersebut kepada umat Islam.

Tahun baru bukan masa untuk berpesta

Tahun baru bukan masa untuk berpesta

Langkah kerajaan membatalkan semua acara keramaian sempena tahun baru 2009 amat wajar. Dalam satu kenyataan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan menganjurkan sebarang acara sambutan tahun baru.

Keputusan kerajaan dalam soal ini amat dialu-alukan dan bagi pihak rakyat ia menunjukkan bahawa keprihatinan kerajaan berkaitan dengan isu-isu semasa amat tinggi.

Kemelesetan ekonomi dan kedatangan tahun baru Islam 1430 Hijrah yang hampir sama waktunya menjadi pertimbangan kukuh untuk kerajaan daripada terlibat dengan acara keramaian tahun baru. Malah kita juga sedang bersedih dengan kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Kita berhadapan dengan pelbagai kisah sedih sejak akhir-akhir ini. Ingatan kita masih kuat dengan tragedi runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan lima nyawa. Malah trauma dan kesan tragedi tersebut masih dapat dilihat dan begitu kuat mengganggu mangsa terlibat.

Kemelesetan ekonomi dunia yang begitu mengganggu perancangan dan kelancaran perkembangan ekonomi negara kita juga menjadi alasan kukuh kenapa kita menolak semua acara keramaian sempena tahun baru 2009 dan sambutan Maal Hijrah 1430.

Bukan masanya untuk rakyat diajak bergembira ketika musibah melanda negara dan dunia. Kita perlu memahami dan akur bahawa masa untuk berpesta ketika kedatangan tahun baru perlu dikeluarkan daripada agenda.

Penganjuran pesta tahun baru tidak banyak memberi kesan positif kepada rakyat. Ia sekadar ruang dan kesempatan untuk bergembira dan mengizinkan segala bentuk pembaziran, maksiat, pergaulan bebas dan kelekaan melampau. Anak-anak muda memang menanti waktu dan ketika seumpama ini untuk melepaskan geram.

Pihak swasta juga perlu akur dan menghormati keputusan kerajaan ini. Tidak ada maknanya jika kerajaan tidak terlibat dengan penganjuran pesta tahun baru tetapi peranan itu diambil alih oleh pihak swasta.

Memang tidak dinafikan akan muncul program atau aktiviti sambutan tahun baru yang dianjurkan oleh kumpulan tertentu. Dalam soal ini kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu memastikan ketelitian mengeluarkan permit atau kebenaran sambutan pesta tahun baru.

Kita tidak mahu anak-anak remaja terus disogok dengan hiburan yang tidak beretika dan melalaikan sedangkan situasi negara amat tidak mengizinkan untuk sebarang acara keramaian. Pihak berkuasa perlu bertegas dan tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta tahun baru.

Penganjuran pesta tahun baru tidak banyak membantu untuk meningkatkan kesedaran dan keinsafan khasnya kepada remaja. Mereka sekadar berpesta, berpeleseran dan terkial-kial tanpa sebarang pedoman. Malah pesta-pesta seperti ini menjadi medan menularnya penyalahgunaan najis dadah, minuman keras, seks bebas dan boleh membawa kepada bibit-bibit perlakuan jenayah.

Sepanjang tahun 2008 negara telah melalui masa-masa sukar dan cabaran- cabaran yang begitu mengganggu pembangunan negara. Kemelesetan ekonomi akan membawa kepada meningkatnya kes-kes pengangguran dan kes pembuangan pekerja.

Tuntutan

Suasana politik negara juga tidak putus-putus dilanda permasalahan. Pelbagai tuntutan dan tindakan mensabotaj keselamatan negara dari mereka yang berkepentingan dilihat berterusan. Undang-undang semakin tidak dihormati malah dipersendakan.

Negara seperti berada dalam suasana terganggu kesejahteraannya. Pemimpin negara tidak henti-henti memikirkan jalan dan cara terbaik untuk meredakan keadaan. Walaupun pelbagai ingatan dan pesanan dibuat tetapi masih ada lagi pihak yang tampil mencabar undang-undang sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

Sepanjang tahun 2008 juga kita berhadapan dengan kemunculan golongan pendesak dari kalangan parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan tertentu yang kononnya menuntut hak dan kesamarataan. Mereka didalangi oleh sikap buruk dan khianat para pemimpin yang mengeksploitasi apa saja yang sempat termasuk kanak-kanak.

Banyak wang rakyat dibelanjakan untuk tujuan mengatasi isu-isu remeh ini. Malah isu-isu songsang ini berlarutan sehinggalah berakhirnya tahun 2008. Justeru, amat tidak wajar untuk kita terus memikirkan sebarang pesta atau acara keramaian sempena kehadiran tahun 2009.

Kesempatan yang ada perlu diisi dengan majlis-majlis keagamaan dengan memperbanyakkan doa agar tahun 2009 bakal membawa sinar kebahagiaan untuk kita semua. Rakyat yang berbilang agama boleh memainkan peranan mengikut kepercayaan masing-masing tetapi tujuan serta matlamatnya sama iaitu memohon kesejahteraan negara.

Kemangkatan Tuanku Ja'afar juga menambahkan lagi kesedihan rakyat khasnya warga Negeri Sembilan. Ketika rakyat berkabung dan meratapi pemergian Tuanku Ja'afar, maka amat manis jika kita tidak terlibat dengan sebarang acara keramaian yang begitu menyimpang dengan norma dan etika murni agama.

Justeru, begitu banyak alasan dan sebab mengapa kerajaan membatalkan semua acara keramaian dan pesta sempena kedatangan tahun baru. Tindakan itu perlu dihormati oleh semua pihak termasuk pihak swasta.

Kita bukan berada di zon selesa untuk terlonjak-lonjak dan terkial-kial kegembiraan tetapi kita sedang berhadapan dengan ujian serta cabaran yang menuntut kesabaran yang tinggi.

Bila dunia mahu hentikan kekejaman Israel?

Bila dunia mahu hentikan kekejaman Israel?

Israel seolah-olah tidak mahu penutup tirai bagi tahun 2008 di Asia Barat berlalu dengan aman. Sebaliknya rejim zionis itu bertindak kejam dengan melancarkan serangan udara besar-besaran di Genting Gaza yang membunuh hampir 300 rakyat Palestin dan beratus lagi cedera sejak Sabtu lalu.

Hujung minggu lalu boleh dianggap sebagai hari-hari paling berdarah selama berpuluh tahun konflik Israel-Palestin.

Selain Amerika Syarikat (AS), negara di dunia seperti biasa akan mengutuk keras tindakan kejam Israel itu.

Tetapi, apakah Israel akan mengambil peduli seruan masyarakat dunia sekarang supaya dihentikan serangan ganas itu? Selagi AS terus membela Israel dan menyalahkan Hamas yang menguasai Gaza, selagi itu keamanan tidak akan tercapai.

Sebaliknya ketika penduduk Gaza dibunuh kejam dan ditindas oleh zionis, AS pula meminta Hamas segera mengadakan gencatan senjata kembali dan menghentikan serangannya ke Israel jika konflik terbaru ini ingin berakhir. Gesaan itu berat sebelah.

Masyarakat antarabangsa perlu prihatin terhadap perlakuan kejam dan keangkuhan yang ditunjukkan oleh Israel selama ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), misalnya tidak harus lagi sekadar mengeluarkan kenyataan yang mengutuk serangan itu sahaja tetapi ia perlu mengambil langkah segera bagi menangani masalah yang boleh mencetuskan tragedi yang lebih dahsyat daripada itu.

Kita percaya Hamas sudah pasti akan membalas dendam. Pejuang-pejuang berani mati Hamas sudah tentu tidak akan membiarkan Israel bebas melakukan kezaliman ke atas rakyat Palestin selepas ini.

Jika hal demikian, sampai bila krisis Israel-Palestin akan berakhir?

Sebab itu masyarakat dunia perlu bertindak segera. Dan sudah tiba masanya, peneraju keamanan dunia serta masyarakat antarabangsa campur tangan bagi menghentikan 'keganasan' itu.

Dunia perlu buat sesuatu supaya kerakusan Israel itu dapat dihentikan dan pada masa yang sama, penyelesaian yang lebih adil dan saksama dapat dicapai.

Kini, PBB perlu memikirkan semula cadangan banyak negara termasuk Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya dihantar pasukan pengaman ke wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Langkah ini difikirkan paling berkesan untuk meredakan keadaan dan menamatkan pertelingkahan Israel-Palestin seperti yang dilakukan di beberapa negara bergolak sebelum ini.

Selagi masyarakat antarabangsa tidak berbuat sesuatu, selagi itulah Israel akan terus bermaharajalela dan keamanan di Palestin hanya tinggal harapan.

Kita percaya penyelesaian masalah Palestin merupakan kunci utama perdamaian masa depan.

Apa pun adalah penting masyarakat dunia menyedarkan Israel dan AS segera bahawa dasar- dasar mereka di Asia Barat hanya merosakkan keamanan dunia dan melanjutkan peperangan berbentuk keganasan sejagat.

Tangani penghinaan agama

Tangani penghinaan agama

Islam sebagai suatu agama yang harmoni mengharamkan pencelaan atau penghinaan yang berlaku terhadap agama lain. Gangguan atau provokasi agama sememangnya boleh mengundang permusuhan yang tidak berkesudahan kerana setiap insan akan bermati-matian mempertahankan akidah yang dianuti mereka walaupun terpaksa menggadai nyawa.

Larangan provokasi ini dijelaskan di dalam al-Quran; Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).

Untuk menjaga keseimbangan hubungan kaum atau agama, al-Quran telah mengklasifikasikan orang bukan Islam kepada dua kumpulan iaitu Kafir Harbi (kafir yang memusuhi orang Islam) dan Kafir Dhimmi (kafir yang berjiran dan bersahabat dengan orang Islam tanpa dendam).

Orientasi perbezaan di antara kedua-kedua kumpulan bukan Islam itu telah dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud; Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang- orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Mumtahanah [60.8]).

Walaupun diberikan kebenaran untuk menghadapi tentangan golongan Kafir Harbi secara kekerasan, Islam masih membataskan bentuk pembalasan yang hendak dilakukan sebagaimana firman Allah: Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang- orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (al-Baqarah [2.190]).

Juga firman Allah yang bermaksud:

Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa. (al- Baqarah [2.194]).

Allah juga berfirman: Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (al-Nahl [16.126]).

Merujuk kepada isu penghinaan kepada Nabi Muhammad yang berlaku di dalam sebuah blog baru-baru ini, umat Islam perlu menjadi lebih praktikal dalam menangani masalah ini. Sikap emosional hanya akan menyebabkan umat Islam dipandang lemah serta keanak-anakan.

Sememangnya Islam memandang berat sebarang penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintah-Nya), jika betul kamu orang-orang yang beriman? (al-Tawbah [9.13]).

Menyakiti

Selain itu, Sirah Rasulullah juga membuktikan bagaimana pemuka kaum Yahudi Madinah yang bernama Ka'ab al-Asyraf telah dihukum bunuh kerana terlalu banyak menyakiti baginda Rasulullah SAW. (rujuk al-Rahiq al-Makhtum, hal 277-281)

Namun begitu, sebarang sikap agresif dalam menangani masalah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW ditakuti akan mengundang masalah yang lebih besar kepada umat Islam.

Berkemungkinan umat Islam akan dilabel sebagai golongan yang membuta tuli, fanatik, emosional dan hanya tahu menggunakan kuasa undang-undang untuk mempertahankan akidah mereka.

Apa yang pasti penghinaan ini berlaku kerana kejahilan. Lumrahnya orang yang jahil senantiasa merasakan diri mereka benar walaupun hakikatnya adalah sebaliknya. Ini dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!" (al-Mutaffifin [83:29-32]).

Langkah terbaik untuk menangani masalah ini adalah dengan memberikan kefahaman sebenar tentang tugas serta fungsi perutusan baginda Rasulullah kepada manusia.

Penulis percaya orang yang menghina dan menentang Rasulullah SAW sebenarnya golongan yang sakit jiwanya kerana kejahilan. Oleh itu kejahilan mereka ini perlu diubati dengan diskusi ilmiah kerana hanya ilmu yang mampu mengubat jiwa yang jahil dan sakit. Benar kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Cinta mereka terhadap baginda SAW sebenar terhalang oleh karat kejahilan atau salah faham mereka. Untuk itu pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu menghantar 'penghina' ini ke klinik ilmu untuk mengubati kejahilan mereka itu terhadap baginda SAW.

Sejarah jelas membuktikan bagaimana para pembesar Quraisy seperti Abu Suyan yang dahulunya kuat menentang Rasulullah SAW telah menjadi pencinta baginda setelah benar-benar mengenalinya.

Kita mengharapkan agar penghina Nabi Muhammad SAW akan bertukar kelak menjadi pencinta sebenar baginda setelah penyakit jiwa dan mental mereka diubati oleh ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Rasulullah.

Akan tetapi sekiranya mereka masih berdegil dengan pemikiran kotor untuk menghina Nabi Muhammad SAW, umat Islam perlu yakin dengan janji Allah di dalam al-Quran tentang kemuliaan yang berkekalan terhadap baginda SAW;

Sesungguhnya orang yang bencikan engkau (wahai Muhammad SAW), dialah yang terputus (dari mendapat rahmat dan sebarang perkara yang diingininya). (al-Kawthar [108.3]).

Doa memohon kesabaran dan mati dalam iman

Doa memohon kesabaran dan mati dalam iman

Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah sepenuh hati kepada-Mu). (A'raf: 89)

Keterangan Ayat

Allah SWT menggunakan perkataan 'limpah' laksana air. Sabar berperanan seperti air yang menjadi agen pembersihan dan ketenangan. Seperti mana air membersihkan kekotoran, demikian juga sabar membersihkan dosa. (Tafsir al-Baidhawi, tafsir ayat 126, surah al-A'raf)

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tabari dalam tafsirnya, ayat ini menceritakan tentang tabahnya iman ahli sihir terhadap Allah sesudah meyakini perutusan Nabi Musa.

Walaupun mereka takut kepada Firaun yang berkuasa menzalimi mereka tetapi mereka memilih mati syahid demi mempertahankan akidah mereka.

Ahli-ahli sihir yang rancak mempamerkan tipu daya mereka pada sebelah pagi bertukar menjadi mujahid di jalan Allah SWT pada sebelah petangnya. (Jami' al-Bayan li al-Tabari, tafsir ayat 126, surah al-A'raf)

Khasiat dan Kaifiat Beramal

Oleh itu, kita wajar mencontohi iman dan keyakinan golongan mukmin seperti ini. Walaupun kita beriman, kadangkala iman boleh tergugat apabila berhadapan dengan tipu daya dunia. Maka awasilah iman dengan cara beramal dengan ayat ini supaya mampu menikmati iman 'ahli-ahli sihir' yang dipilih Allah SWT menjadi para 'syuhada.'

Pahala Dibulan Muharam


MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah:91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan

Doa akhir tahun:
dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun."

Berikut adalah Doa Akhir Tahun:Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

"Ya allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganMu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telahmemerintah supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim,Ya Zaljalali Wal Ikram.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam... Amin...

Doa awal tahun:
dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata: "Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan." Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agong dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaM perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalan kuncunya, tenteranya dan penolongnya. aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendoRong ke arah kejahatan danmelalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.

Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan paa sahabat. Segala puji hanya bagi Allah,Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam... .Amin...

Amalan-amalan sunat:
Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:
1. Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.

2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.

3.Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3X

4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3X Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):

a). Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
b). Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
c). Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
d). Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman Dalam hatinya.
e). Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
f). Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
g). Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
h). Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu.Lafaz niat:
"Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."

i). Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
j).Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
k).Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat:
"Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.

l). Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wanikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.
m). Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
n). Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

AMIN... SAMA SAMA LAH KITA PEROLEHI PAHALA YANG DIGANJARKAN DAN BUANGKAN LAH YG KERUH AMBIL LAH YANG JERNIH

Antara kebimbangan dan harapan tahun baru

Antara kebimbangan dan harapan tahun baru

Seperti juga orang lain di seluruh dunia, rakyat Malaysia melangkah gerbang 2009 hari ini dengan perasaan bimbang yang berbaur dengan harapan. Mereka bimbang jika krisis ekonomi global yang melanda dunia sekarang akan lebih meruncing dan meninggalkan kesan yang sukar dikawal terhadap ekonomi negara.

Jika ini berlaku, setiap orang sudah dapat membayangkan pendapatan yang merosot dan membawa bersamanya kehidupan lebih tertekan dan membebankan. Ada juga yang risaukan kehilangan pekerjaan atau punca rezeki yang selama ini menjadi tempat isteri, anak atau keluarga bergantung harapan untuk menyara makan minum, biaya pendidikan dan lain-lain keperluan harian.

Kebimbangan ini jelas terbayang daripada perbualan tidak rasmi dengan pelbagai golongan termasuk peniaga, pegawai kerajaan, pekerja swasta dan orang yang berkerja sendiri. Perkembangan di negara jiran, ada antaranya sudah terjerumus ke kancah kemelesetan serta pelbagai analisis pakar yang tidak berapa sedap didengar seperti impak sebenar krisis sekarang belum lagi dirasai sepenuhnya di Malaysia, tidak banyak menolong meredakan kerisauan.

Begitupun, jauh di sudut hati ramai orang pasti masih mengharapkan agar 2009, satu-satunya tahun yang diramalkan sebagai tahun paling sukar untuk ekonomi negara, akan berlalu seperti biasa tanpa banyak mendatangkan kesengsaraan kepada sebahagian besar rakyat.

Selaras dengan harapan itu, tahun berikutnya akan terus mampu mengeluarkan negara daripada krisis ekonomi yang dikatakan terburuk dalam tempoh 25 tahun. Sebahagian besar daripada harapan ini disandarkan kepada jaminan serta langkah yang sudah, sedang dan akan diambil kerajaan untuk menstabilkan keadaan dan menyelamatkan negara daripada kemelesetan.

Seperti semua sedia maklum, setakat ini kerajaan antara lain sudah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi RM7 bilion untuk dimulakan suku pertama tahun ini, menurunkan kadar faedah dan menyediakan dana tambahan RM5 bilion bagi menggandakan aset Valuecap Sdn Bhd (Valuecap), kepada RM10.3 bilion.

Semua inisiatif itu bertujuan terus merangsang kegiatan ekonomi dalam negara di samping menggerakkan aktiviti pasaran modal tempatan bagi menampung pengurangan eksport akibat penurunan harga minyak mentah dan kemerosotan permintaan minyak sawit serta getah Malaysia oleh negara pengguna yang juga sedang menghadapi zaman sukar.

Walaupun berdasarkan kepada angka dan petunjuk lain yang ada setakat ini, besar kemungkinan Malaysia akan berjaya melepaskan diri daripada ancaman kemelesetan. Atau dalam erti kata lain, terpaksa berdepan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang negatif selama sekurang-kurangnya dua suku tahun berturut-turut, adalah sesuatu yang kurang bijak untuk mengharapkan bahawa segala-galanya akan berjalan seperti biasa.

Unjuran pertumbuhan KDNK yang dikurangkan kepada 3.5 peratus bagi 2009 itu berbanding lima peratus pada tahun sebelum ini, dengan sendirinya membayangkan bahawa 2009 tidak serupa dengan 2008.

Penguncupan permintaan untuk komoditi Malaysia seperti minyak sawit dan getah sudah pasti akan menjejaskan pendapatan sektor peladangan termasuk pekebun kecil dan warga Felda. Bagi peniaga, terutama peniaga kecil-kecilan dan pekerja sendiri, pendapatan mereka juga dijangka akan berkurangan berikutan kurangnya permintaan pengguna yang kini mungkin lebih cermat dan berhemat berbelanja.

Bagi pekerja kilang khususnya kilang elektronik, mereka mungkin akan kehilangan pekerjaan berikutan langkah pekilang mengurangkan pengeluaran disebabkan permintaan negara pengimport, terutama Amerika Syarikat.

Eksport barangan elektrik dan elektronik ke Amerika Syarikat saja dijangka berkurangan sebanyak 14.6 peratus tahun ini. Kesan pengurangan ini tentulah besar kerana sektor terbabit menyumbang sebanyak 62 peratus kepada keseluruhan eksport negara dan mewakili 43 peratus daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan.

Berdasarkan kepada faktor di atas, adalah jelas langkah yang sudah dan akan diambil kerajaan, termasuk dari segi fiskal dan kewangan hanya bertujuan mengurangkan bebanan rakyat, bukan untuk mengelakkannya sama sekali.

Sebagai contoh, kerajaan tidak akan mampu dan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat pemilik kilang daripada memberhentikan pekerja masing-masing untuk mengelak terpaksa gulung tikar. Yang mampu kerajaan lakukan ialah menyediakan dana yang diperlukan untuk skim latihan semula kepada pekerja terbabit dengan harapan mereka akan mendapat pekerjaan di sektor lain yang mungkin masih memerlukan pekerja.

Keputusan untuk menyediakan dana sedemikian sudah dibuat dan diumumkan baru-baru ini. Selebihnya rakyat sendiri perlu lebih waspada, berhemat dalam berbelanja dan mengambil inisiatif sendiri untuk menambah pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan. Pembaziran perlu diharamkan sama sekali.

Pihak lain yang bertanggungjawab dalam pengurusan ekonomi dan pentadbiran negara perlu lebih fokus dan mengelak diri daripada menghabiskan terlalu banyak masa kepada perkara yang tidak relevan dan remeh. Jika boleh politicking hendaklah dielakkan sama sekali.

Parti politik juga perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban rakyat. Kalau boleh mereka tidak payah mencuri perhatian kerajaan daripada isu ekonomi kepada perkara yang tidak berkaitan dan tidak penting buat masa ini.

Dalam hubungan ini, ingatan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, baru-baru ini, perlu diberi perhatian khusus. Ketika bertitah merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat Perak di Ipoh Isnin lalu, baginda menggesa pemimpin politik menumpukan seluruh perhatian kepada usaha membebaskan negara daripada impak negatif krisis ekonomi global sekarang.

Baginda bertitah, 1430 Hijrah perlu dijadikan tahun bagi pemimpin untuk berazam mengurangkan polemik dan berpolitik, percanggahan serta bertelagah antara satu sama lain kerana kegiatan politik keterlaluan itu boleh mengekang produktiviti negara.

Walaupun baginda tidak menyebut atau menamakan ahli politik yang dimaksudkan, secara umumnya rakyat pasti faham maksud baginda. Seperti juga baginda, rakyat terlalu muak dengan beraneka macam kerenah politik yang ditunjukkan oleh pelbagai pemimpin dan anggota parti-parti politik pada akhir-akhir ini.