25 Februari 2009

Dedah keaiban orang lain perbuatan keji

Oleh MOHD SHUKRI HANAPI

Sesungguhnya perbuatan mendedahkan keaiban orang lain adalah perkara mazmumah (keji) dan sangat dipandang berat oleh Islam. Islam melarang umatnya mencari keaiban orang lain dan mendedahkannya sesuka hati.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksaan yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." (Surah al-Nur, ayat 19)

Atas dasar inilah, maka dikehendaki setiap orang menyimpan rahsia atau menutup keaiban saudaranya. Lebih-lebih lagi jika ia hanya semata-mata prasangka atau tuduhan buruk yang tidak berasas. Hal ini dikhuatiri akan menimbulkan fitnah dan perselisihan yang akibatnya amat berat ditanggung oleh orang itu sendiri dan masyarakat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak." (Hadis riwayat Muslim)

Menjelaskan mengenai perbuatan mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan, pertama ialah orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan.

Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.

Kedua, orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malahan tidak mempedulikan sebarang nasihat diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka; harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat.

Malah ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai, supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya kerana jika didiamkan tentulah ia bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah sehingga membahayakan masyarakat.

Menurut sesetengah ulama pula, adalah sunat merahsiakan keaiban manusia dalam empat perkara iaitu keaiban berkaitan hak Allah, keaiban lampau yang tidak diketahui orang, keaiban orang yang berkedudukan dalam masyarakat dan keaiban dilakukan untuk melindungi kepentingan anak yatim.

Setiap manusia mempunyai kehormatan diri yang tidak boleh dinodai dengan diselidiki keaibannya, sekalipun ia berbuat dosa, selama ia dilakukan secara ber-sembunyi.

Abu al-Haisam pegawai kepada Uqbah bin Amir (salah seorang sahabat Nabi SAW) berkata: "Saya pernah berkata kepada Uqbah bahawa saya mempunyai jiran yang suka minum arak, dan saya akan melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya mereka datang menangkapnya. Lantas Uqbah berkata: Jangan! Tetapi nasihatilah mereka itu. Abu al-Haisam menjawab: Saya sudah melarang tetapi mereka masih berbuat demikian. Justeru, saya tetap akan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Uqabah berkata lagi: Jangan! Sebab saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menutupi suatu keaiban, maka ia seolah-olah menghidupkan anak yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya." (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa'i dan Ibn Hibban)

Semua orang tetap ada keaibannya tertentu, sama ada kecil atau besar keaibannya tentu ia tidak suka diketahui orang. Apatah lagi jika ada orang yang sengaja mencari keaiban dan seterusnya menyebarkannya ke sana-sini, tentulah ia akan marah. Lebih buruk lagi jika ia membawa kepada perselisihan dan pergaduhan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu telah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)

Sebenarnya hal ini bertentangan dengan dasar Islam yang menganjurkan umatnya supaya saling berkasih sayang, hormat-menghormati, bantu-membantu dan tidak benci-membenci antara satu sama lain.

Bagi orang yang suka menyebarkan keaiban orang lain, seharusnya berfikir sejenak bahawa dirinya juga tidak sepi daripada aib dan cacat. Jika ia tidak suka keaibannya dicari dan didedahkan, maka mengapa pula ia sanggup mencari dan mendedahkan keaiban orang lain. Tidakkah ia bimbang suatu hari nanti orang lain pula akan mencari dan mendedahkan keaibannya.

Rasulullah SAW menilai bahawa mencari keaiban orang lain itu termasuk dalam perbuatan orang munafik yang menyatakan beriman dengan lidah tetapi hatinya membenci. Kelak mereka akan dibebani dosa yang berat di hadapan Allah.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai orang yang sudah menyatakan beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu belum sampai ke dalam hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang Islam dan janganlah pula mencari keaiban mereka. Sebab sesiapa yang mencari keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mencari pula keaibannya. Sesiapa yang dicari keaibannya oleh Allah, maka Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada dalam perjalanan yang jauh." (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Segala bentuk perbuatan dan tindakan yang kita lakukan hendaklah berlandaskan syariat Islam. Seandainya syariat Islam tidak dipedulikan, usaha untuk menghidupkan semangat kerjasama dalam masyarakat seperti bantu-membantu, hormat-menghormati dan memelihara kepentingan sesama Muslim dalam semangat kasih sayang yang tulen tidak akan tercapai. Sebaliknya akan wujud pula masyarakat yang penuh dengan kejahatan dan kemungkaran.

HARAM percayakan HOROSKOP!

Semoga dengan Maklumat ini dapat memperbetulkan minda, dan memberi kefahaman kepada anda tentang ramalan horoskop di dalam laman blog ini. saya tidak ingin melihat terutama orang islam lalai dengan artikel2 horoskop, zodiak didalam ini. Kerana mempercayai adalah syirik. Artikel berkaitan horoskop didalam blog ini hanyalah sebagai hiburan dan dari hasil penyelidikkan kekerapan berlaku dan hanyalah kebetulan ke atas manusia.
Mereka percaya apa yang diterangkan daripada bintang malah kadangkala taksub dan menganggap apa yang diberitahu itu benar walaupun ia hanyalah kebetulan.
Apakah pandangan Islam terhadap ramalan bintang horoskop?

Ada orang berkata mengapa tidak boleh mempercayai bintang horoskop sedangkan orang dahulu juga mempercayai bintang termasuk menentukan waktu dan arah perjalanan?
Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata mempercayai ramalan bintang horoskop adalah haram bahkan sebarang ramalan lain juga adalah haram.

Menurutnya, kepercayaan seperti itu termasuk dalam hukum bertenung nasib yang diharamkan dalam Islam, seperti ditegaskan pada ayat 90, surah al-Maidah.
"Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

Horoskop atau ramalan zodiak adalah carta atau diagram yang menunjukkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan dan planet.
Perkataan horoskop berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud 'melihat jam.' Untuk memperoleh horoskop seseorang, tempat, hari dan tarikh lahir orang itu mesti diketahui.

Tarikh itu pula akan jatuh pada satu daripada 12 lambang zodiak yang sedia ada iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.

Menurut ilmu astrologi, ramalan nasib berdasarkan bintang, setiap zodiak itu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri dan nasib setiap orang berdasarkan kepada zodiak serta kedudukan matahari, bulan dan planet pada hari itu. Ilmu astrologi dahulunya di Barat adalah satu disiplin bersama ilmu astronomi, namun sejak kurun ke-18, ilmu terbabit menjadi dua disiplin berbeza.
Ilmu astrologi adalah ramalan berdasarkan bintang, manakala astronomi ialah bidang kaji bintang dan angkasa raya atau ilmu falak.

Zamihan berkata, ilmu ramalan bintang atau astrologi dan ilmu kaji bintang atau astronomi adalah dua subjek berbeza dan perbezaan ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya supaya tidak nanti timbul kekeliruan.
"Dalam ilmu mengkaji bintang atau disebut juga ilmu falak ia dijadikan sandaran untuk mengenali komposisi kita, contohnya menentukan waktu solat, kita melihat kepada longitud dan latitudnya, apakah sudah waktu Isya atau Subuh.

"Sama juga apabila berlayar di lautan, pelayar akan melihat bintang di langit, berdasarkan kerlipan atau kedudukan bintang memberikan panduan kepada mereka untuk menentukan arah pelayaran dan tiba ke destinasi ditujui," katanya.
Beliau berkata, ramalan horoskop pula ialah merujuk kepada bintang dan dengan ramalan itu mempercayai dapat memberikan penyebab kepada kehidupan seseorang sama ada kebaikan atau keburukan seseorang.
"Mempercayainya seperti seorang dilahirkan dalam bulan sekian membawa kebaikan atau keburukan adalah jelas haram kerana ia termasuk perkara karut dan khurafat.
"Dalam Islam, melahirkan atau dilahirkan dalam bulan dan hari apa sekalipun tidak memberikan kebaikan atau keburukan, cuma dalam Islam ada dibincangkan keistimewaan hari dan bulan tertentu.

"Tetapi mempercayai tarikh, waktu atau bulan tertentu memberikan kebaikan, keuntungan, kerugian atau keburukan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
"Ini kerana bintang juga adalah makhluk iaitu benda yang diciptakan, sama dengan makhluk yang lain, diciptakan dan yang mencipta ialah Allah.

Benarkah kita berada di zaman yang penuh dengan pelbagai fitnah?

Oleh Ustaz Zainudin Hashim

Sesungguhnya fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah).

Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan dalam salah satu hdinya yang bermaksud : “Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia di waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah, seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit.” Hadis Sohih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripada Abu Hurairah.

Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. menerusi hadis di atas ialah terdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara, sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.

Fitnah yang terjadi itu boleh berlaku kerana orang yang terlibat itu sama ada benar-benar tidak memahami atau memiliki ilmu-ilmu fardu ‘ain ataupun kerana berhasrat meraih kepentingan dengan penampilan agama, atau memang di kalangan orang-orang munafiq, ketiga-tiga kategori manusia itu dianggap golongan yang jahat kerana mahu memburukkan Islam.

Jenis-jenis fitnah terhadap agama Islam

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.

2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

4- Fitnah melalui ungkapan.

5- Fitnah melalui penulisan.

6- Fitnah melalui iklan produk.

7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia. Fitnah…..oh fitnah…..dan banyak lagi.

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.

Terdapat para pemimpin negara-negara umat Islam, yang tidak segan silu untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara dan boleh dikatakan negara mereka adalah sebuah ‘Negara Islam’, sedangkan pada masa mereka mentadbir dengan sistem Sekular, Kapitalis, Sosialis dan lain-lain.

Yang tidak menampakkan Islam secara jelas, isteri-isteri mereka tidak memakai hijab (tudung kepala) serta menutup aurat dengan sempurna, tidakkah tindakan mereka itu telah memfitnah Islam secara langsung di hadapan orang-orang bukan Islam yang keliru dan terus keliru.

2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

Tidak kurang juga terdapat golongan ahli ilmu agama ketika sedang menuntut satu ketika dahulu, telah menanam hasrat untuk lulus cemerlang agar pulang nanti ditawarkan jawatan yang selesa, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa ketika menyandang jawatan penting di jabatan keagamaan, mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna, membiarkan perkara mungkar terus berlaku (takut nak tegur kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat atau ditukar ke jabatan lain).

Tidak cukup dengan itu, idea untuk menyatakan perkara-perkara makruf agar jadi program utama pun terkadang-kadang tidak berani untuk dilakukan, bimbang dilabel golongan yang melawan pihak atasan, akhirnya masyarakat jadi keliru kerana golongan ahli agama pun bercakap tidak serupa bikin.

3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

Disebabkan kerana kurang pendedahan maklumat agama, sama ada tidak mahu duduk dalam majlis ilmu agama atau ceramah, maka ramai di kalangan orang Islam dalam negara Malaysia ini memperlihatkan penampilan diri mereka benar-benar tidak Islamik langsung.

Ada di kalangan golongan remaja Islam yang bertatoo, menampakkan pusat (perempuan), bergelang tangan, berantai dan bertindik (yang lelaki), mencukur bulu kening, memakai rambut palsu, yang perempuan menyerupai lelaki atau yang lelaki menyerupai perempuan.

Cara bercakap seperti orang bukan Islam, berlepak, merempit tanpa hala tuju hidup, mendurhaka dan melukai perasaan kepada ibu bapa, menyakiti jiran dan banyak, tidakkah semua tindakan itu fitnah terhadap Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar penganutnya berbuat demikian.

4- Fitnah melalui ungkapan.

Terdapat di kalangan orang Islam yang memfitnah Islam dengan ungkapan mereka seperti kata-kata : Islam tidak relevan pada zaman orang mengejar Sains dan Teknologi, undang-undang Islam seperti hudud, qisas, takzir dan lain-lain sudah tidak sesuai pada hari ini, ia hanya boleh dilaksanakan di padang pasir di zaman Rasulullah s.a.w.

5- Fitnah melalui penulisan.

Terdapat juga segelintir penulis yang pro aliran songsang yang memperlekeh hukum-hukum Islam dalam blog, rencana atau buku-buku tulisan mereka, ia disifatkan sebagai satu tindakan berani kerana mereka tahu bahawa tindakan itu tidak akan dikenakan apa-apa.

6- Fitnah melalui iklan produk.

Satu lagi fitnah yang tidak dapat dikawal akibat kelemahan para pemimpin negara ialah kecenderung syarikat-syarikat mempromosi produk mereka dengan menggunakan khidmat model-model Melayu/Islam, ada yang mendedahkan aurat, kepala semata-mata untuk menunjukkan bahawa produk mereka cukup berkesan tiada tompok-tompok hitam di badan model.

7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

Para atlet negara termasuk yang angkat berat disertai atlet muslimah yang cukup menggiurkan ketika menunjukkan aksi mengangkat berta, termauk dalam sukan jimrama, renang, hoki dan lain-lain.

Begitu juga pendedahan aurat di kalangan penghibur seperti penyanyi, pelakon, pelawak wanita juga tidak kurang yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan jenama mereka sebagai orang Islam. Semua itu dianggap memfitnah Islam kerana menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan tindakan itu.

8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

Satu lagi fitnah di akhir zaman ini ialah terlalu berbangga dengan bilangan masjid yang banyak, tetapi kosong dengan pengajian agama, malah terdapat pula replica masjid yang menelan blanja jutaan ringgit tetapi tidak boleh solat Jumaat di dalamnya.

9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

Ramai di kalangan pekerja Islam, bukan yang menceburi bidang binaan, yang bekerja dalam bilik berhawa dingin pun tidak melakukan solat fardu atau Jumaat, terdapat scenario di mana ada pekerja muslim di sebuah kilang ditegur majikan yang bukan Islam mengapa mereka tidak pergi menunaikan solat Jumaat.

10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia.

Disebabkan tidak menguasai dengan baik ilmu-ilmu fardu ‘ain, maka ramai di kalangan individu Islam tidak bercakap benar, melakukan pecah amanah berjuta ringgit, rasuah, penipuan, menggelapkan wang tabung haji dan sebagainya, menunjukkan sikap dan akhlak orang Islam sangat kritikal, sekali gus ia memfitnah agama Islam yang suci.

Sesungguhnya mereka itu semua berdosa di hadapan Allah kerana tidak menunjukkan sesuatu tindakan yang baik terutama kepada golongan yang lebih muda ataupun di kalangan bukan Islam yang merasakan Islam menjana kegiatan yang tidak bermoral.

Justeru, asas kepada pengukuhan jati diri muslim bersama agama Islam dalam apa jua keadaan, sama ada ketika Islam berada di puncak atau sedang berada di bawah, namun dia tidak akan berganjak walau setapak pun kerana begitu yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui benar di sisi Allah SWT.

Hukum Lelong di Internet

Oleh Zaharuddin Abd Rahman
(Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
zaharuddin@yahoo.com

JUAL-BELI secara lelong dikenali dalam Islam dengan nama ‘al-Muzayadah’, iaitu satu kalimah yang membawa maksud daripada sudut bahasanya ‘saling naik menaik’.

Dalam konteks jual-beli lelong ini, bakal pembeli cuba menawarkan harga yang lebih mahal kepada penjual dan sesiapa yang menawarkan harga tertinggi dikira pemenang.


Majlis Fiqh Antarabangsa yang bernaung di bawah Al-Munazzamah Al-Muktamar Al-Islami sudah mengeluarkan resolusi keharusan jual-beli lelong dengan syaratnya. Antara yang disebut dalam resolusinya adalah:

1. Setiap proses selanjutnya (selepas menang) seperti catatan secara bertulis, syarat pembayaran, pentadbiran dan undang-undang mestilah tidak bercanggah dengan hukum syariah.

2. Penganjur atau penjual dibenar meminta jaminan daripada mereka yang turut serta dalam majlis lelongan.

3. Dibenarkan penganjur lelongan mengambil caj masuk atau penyertaan dengan syarat ia tidak melebihi nilai sebenarnya.

4. Diharamkan penjual atau penganjur melakukan bidaan palsu supaya harga lelongan naik. Ia dinamakan An-Najash yang diharamkan secara jelas oleh Nabi SAW.

5. Penjual dan rakan mereka menipu harga pasaran, kononnya jualan di tahap sangat murah.

6. Penjual mempromosi kualiti tinggi barangan yang boleh dibaca, dengar dan lihat bagi menaikkan harga, sedangkan hakikatnya tidak sedemikian.

Hukum lelong di ebay (laman web lelong di Internet)

Selepas menerangkan serba ringkas asas dan panduan bagi jualan dan belian lelong di atas, saya melakukan pembelian di ebay. Saya dapati hukum pembelian melalui laman web itu harus selagi barang yang dibeli bukan emas, perak dan mata wang semasa yang diguna pakai (bukan yang antik tanpa nilai).

Pembelian ketiga-tiga barangan berkenaan diwajibkan untuk serah dan terima secara serta merta, namun barangan yang dibeli biasanya akan dihantar lewat disebabkan proses tertentu. Namun, ada fatwa lebih ringan yang mengizinkan kelewatan selama tiga hari dari tempoh pembelian.

Ia pandangan mazhab Maliki berdasarkan kaedah fiqh yang popular iaitu: “Apa-apa yang hampir dengan sesuatu, maka akan mengambil hukum sesuatu itu.” (Asbah wa Nazair, as-Suyuti, hlm 82)

Kesimpulan hukum membeli melalui ebay adalah:

1. Dibenarkan atau harus untuk membeli di laman web ebay, kecuali pembelian tiga barangan iaitu emas, perak dan mata wang semasa yang diguna pakai (bukan yang antik tanpa nilai).

2. Dibenarkan atau harus untuk menjual di laman web ebay. Namun, komisen yang diambil oleh paypal dan pengendali ebay daripada pembeli adalah harus atas hujah ia adalah caj servis atau wakil atas sesuatu kerja.

Namun caj berkenaan mesti diketahui cara kiraan dan jumlahnya dari awal penjualan dibuat. Menerima bayaran daripada pembeli yang menggunakan kad kredit konvensional adalah harus kerana ia di luar kuasa dan tanggungjawab penjual.

3. Pembayaran melalui kad kredit konvensional adalah haram, walaupun pembeli membayar harga ‘on time’ kepada pengeluar kad. Ini kerana setiap pembeliannya memberi komisen kepada pengeluar kad kredit riba, ia dikira membantu perkembangan industri kad kredit riba secara langsung.

4. Paypal: Pembayaran melalui paypal adalah mengikuti hukum kad yang disandarkan kepada paypal, iaitu kad kredit, debit atau ‘charge card’ yang digunakan. Jika ia kad yang dikeluarkan secara konvensional, justeru pembayaran melalui pay pal turut haram.

5. Tempoh Serah: Mestilah diketahui tempoh hantaran barang akan dibuat dan anggaran tarikh ia akan sampai ke tangan pembeli.

6. Jaminan: Penjual mestilah diketahui atau boleh dihubungi jika barangan dibeli masih tidak sampai melepasi tempoh dijanjikan.

7. Jaminan atas kerosakan atau aib: Satu fakta tambahan yang menjadikan ebay semakin selamat adalah ganti rugi daripada pihak ebay.

Menurut mereka yang kerap berurusan dengan ebay, pihak ebay turut menyediakan peruntukan ganti rugi bagi sesiapa yang menghadapi penipuan melalui transaksi jual-beli di laman web itu.

Rakan saya di Swansea, United Kingdom (UK) pernah menerima ganti rugi beberapa ratus Pound Sterling apabila televisyen yang dibelinya melalui ebay mempunyai kerosakan yang tidak dinyatakan dengan jelas oleh penjual dalam spesifikasi jualan.

Tindakan dan peruntukan ganti rugi ebay seperti ini menjadikan unsur gharar menjadi mengecil dan jatuh dalam kategori gharar yasir yang dimaafkan.

Lelong di Swoopo

Saya turut ditanya mengenai satu lagi laman web lelongan yang kian popular iaitu www.swoopo.co.uk. Selepas meneliti terma dan syarat penyertaan dalam lelongan swoopo, saya dapati lelongan melalui laman web terbabit berbeza dengan ebay.

Antara terma yang berbeza dengan ebay adalah:

1. Setiap bakal pembida perlu membeli hak bidaan dan bayarannya mesti dijelaskan sebelum membida. Bidaan pula boleh diberi melalui pakej tertentu dikenali sebagai ‘BidPacks’ berdasarkan harga tertentu yang ditetapkan.

2. Jika pembeli tidak membuat bayaran bagi pembelian yang sudah dibuat, caj bayaran pulangan dikenakan dan pembeli akan menanggungnya. Swoopoo mempunyai hak untuk menyekat laluan kepada akaun pembeli hinggalah bayaran penuh dibuat atas barangan sudah dibelinya.

3. Bidaan tertentu seperti ‘FreeBids’ hanya sah untuk tempoh terhad. Sejurus ia tamat tempoh mengikut waktu ditetapkan, bidaan tidak lagi boleh dibuat manakala wang pula tidak akan dikembalikan.

4. Bidaan boleh dilakukan dengan dua kaedah iaitu pertama, mengklik punat bida dan kedua, secara automatik melalui penggunaan khidmat ‘BidButler’. Sejurus bidaan dibuat, caj tunai ditolak melalui akaun pengguna.

Kesimpulan

Jual dan beli atau bidaan melalui web swoopo adalah haram kerana wujud unsur judi dan gharar yang besar. Ini kerana setiap peserta perlu membeli hak untuk bidaan yang ada nilai tertentu, dan hanya mempunyai beberapa peluang membida berdasarkan nilai ‘package bid’ yang dibeli.

Ia ternyata dengan jelas dalam ayat ini:

“Setiap bakal pembida perlu membeli hak bidaan dan bayarannya mesti dijelaskan sebelum membida. Bidaan pula boleh diberi melalui pakej tertentu dikenali sebagai ‘BidPacks’ berdasarkan harga tertentu yang ditetapkan. Setiap bidaan hanya berjumlah 40 pence atau RM2 dan ia ada dalam pakej BidPacks.”

Anda dapat melihat bagaimana satu bayaran bagi bidaan dikenakan RM2 dan anda dikehendaki membeli BidPacks dalam pakej dinyatakan itu.

Ia jelas dan terang menjadi judi apabila disebut dalam termanya:

Bidaan boleh dilakukan dengan dua kaedah iaitu mengklik punat tertentu membida dan secara automatik melalui penggunaan khidmat ‘BidButler’.

Tatkala itu ia sama seperti judi, yang mana pembayaran hak bidaan dijadikan sebagai wang taruhan dan barangan yang dijual seperti hadiah kemenangan, manakala semua pembida yang tewas akan kehilangan wang bidaannya.

Akhlak membezakan manusia dengan haiwan

Akhlak adalah suatu fenomena kemanusiaan yang tidak terpisah daripada kehidupan setiap manusia walaupun golongan yang rendah tahap tamadunnya, bahkan masyarakat primitif sekalipun.

Manusia dikenali sebagai makhluk yang hidup bermasyarakat. Dalam kehidupan itu manusia melaluinya dengan peraturan tertentu yang dinamakan akhlak. Cuma yang berbeza dari segi baik atau buruk akhlak dipersembahkan.


Sekiranya ada manusia di dunia ini yang mendakwa tidak mempunyai agama atau menganuti fahaman bebas sepenuhnya, akhlak yang tersemat pada dirinya itulah juga sebagai ganti agama dan itulah agamanya.

Akhlak dalam kehidupan manusia amat jelas, malah didorong rasa ingin mengetahui, aspek itu menjadi suatu bahan pemikiran dan penyelidikan secara khusus dalam pelbagai bidang sejak zaman berzaman.

Semua pengkaji mendapati akhlak menjadi satu daripada aspek yang menjelaskan lagi bukti perbezaan antara manusia dan haiwan.

Daripada kesan dan bukti sejarah perkembangan, kemajuan serta tamadun manusia menunjukkan kekuatan dan keutuhan suatu umat atau bangsa dan tamadunnya bergantung pada dua unsur.

Pertama, kekuatan dan keutuhan kebendaan, manakala yang kedua keutuhan dan kekuatan akhlaknya.

Dua unsur terbabit sama-sama diperlukan, kerana ketiadaan satu daripadanya tidak akan membawa kepada kekuatan suatu umat atau bangsa di dunia.

Kecemerlangan dan kegagalan, ketinggian dan kerendahan, kemajuan dan kemunduran, malah kekuatan serta kelemahan sesuatu bangsa bergantung kepada dua unsur terbabit.

Tetapi sekiranya diperhatikan dengan lebih teliti, antara dua kekuatan terbabit akan zahir kekuatan sebenar sebagai tenaga berkesan serta penentu kepada kesejahteraan hidup manusia dan tamadunnya atau sebaliknya.

Kekuatan itu ialah akhlak yang disifatkan sebagai kekuatan maknawi, bukannya kekuatan kebendaan (maddi), sedangkan dunia kini lebih banyak memberi fokus kepada unsur kebendaan, dengan mengambil mudah aspek akhlak.

Oleh kerana itu dapatlah dirumus, kejayaan dan kemajuan, ketinggian dan kesejahteraan bangsa adalah kekuatan serta keutuhan akhlaknya.

Walau betapa membangun sesebuah negara itu, megah bersama bangunan pencakar langit dan teknologi moden, tetapi jika bangsanya rendah budi bahasa dan buruk akhlaknya, sudah tentu negara terbabit tidak dijulang serta tidak disebut-sebut.

Lihat saja bangsa yang menjadikan rasuah sebagai amalan, tidak dipandang tinggi masyarakat antarabangsa, walaupun pembangunan di negara terbabit tidak kurang hebat, malah bilangan rakyatnya melebihi daripada sesetengah negara lain.

Ringkasnya akhlak itulah yang akan merendahkan atau meninggikan suatu umat dan bangsa. Akhlak itulah yang akan melemahkan atau memajukan dan dengan faktor itulah akan membuatkan bangsa itu derita, sejahtera, cemerlang atau binasa.

Pantun Melayu lama berbunyi:

Kukuh rumah kerana sendi

Rosak sendi rumah binasa

Kukuh bangsa kerana budi

Rosak budi bangsa binasa.

Contoh kehancuran umat manusia di zaman silam disebabkan keruntuhan akhlak jelas di depan kita, yang boleh diteladani melalui kisah dipaparkan al-Quran serta hasil penemuan dan kajian ahli arkeologi, seperti generasi manusia yang rendah akhlak di zaman Nabi Luth a.s.

Umat terbabit menerima musibah kerana sudah ketandusan dan kekeringan unsur kemuliaan akhlak. Mereka pupus benih kebaikan, dilanda keruntuhan dan kerosakan akhlak yang melampau-lampau, sehingga disifatkan al-Quran sebagai umat yang zalim.

Kehancuran umat terbabit dan kebinasaannya sebagai akibat daripada sebab keruntuhan akhlak, adalah suatu sunnah atau suatu undang-undang yang pasti kepada setiap umat dan bangsa di dunia.

Justeru, akhlak walaupun aspek yang sering dipandang remeh oleh banyak pihak, ia sebenarnya nadi utama dalam mewujudkan keseimbangan riwayat hidup setiap manusia, umat dan tamadunnya.

Nabi s.a.w ada bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak." (Riwayat al-Hakim)

24 Februari 2009

Teladani keunggulan peribadi Umar al-Khattab

Umar al-Khattab adalah antara empat sahabat Nabi Muhammad SAW yang paling rapat yang turut menyemarakkan zaman kegemilangan pemerintah Islam. Pada awalnya, Umar antara orang Quraisy yang paling keras menentang Islam serta seorang yang kejam sehingga sanggup menanam anak perempuan hidup-hidup, selain memusuhi Rasulullah.

Keistimewaan Umar tetap terserlah. Hatinya yang keras akhirnya cair selepas mendapat hidayah dengan memeluk Islam pada usia 35 tahun dan seterusnya menjadi pejuang Islam hebat dan berani sehingga digelar al-Faruq (bermaksud orang yang berani menentang kebenaran).

Buku 317 muka surat ini, memaparkan kronologi sejarah kehidupan Umar sebelum memeluk Islam dan selepas Islam. Persembahan buku ini adalah dalam bentuk penceritaan dan disertai dengan dialog dengan Nabi Muhammad dan sahabatnya yang lain. Corak penulisan ini menjadikan pembaca sama-sama menyelami dan merasai situasi sebenar peristiwa pada zaman berkenaan.

Umar menjadi lambang kejayaan bangsa Arab dan umat Islam. Kisahnya wajar dijadikan panduan kepada masyarakat Islam dalam membangun dan mengembangkan Islam. Masyarakat Islam sekarang perlu terus bangkit menyambung perjuangan pemimpin terdahulu.

Personaliti Umar amat berbeza sebelum memeluk Islam selain menanam anak perempuannya, beliau juga dikatakan pernah berniat membunuh Rasulullah SAW. Beliau antara sahabat yang dijamin masuk ke syurga.

Pelantikan Umar sebagai Khalifah selepas Abu Bakar as-Siddiq membawa 1,000 kejayaan dalam memajukan umat Islam pada zaman pemerintahnya termasuk meneruskan usaha membebaskan umat Islam daripada ancaman kuasa Rom dan Parsi.

Umar yang terkenal sebagai penakluk dan memerintah selama 10 tahun tidak saja menjadi pentadbir yang berjaya membawa kemajuan kepada rakyatnya, malah menjadi pengasas sistem politik Islam, pelaksana undang-undang syariah dalam negara, memperkenalkan pasukan polis bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam, memberi bantuan kepada golongan miskin Islam dan bukan Islam serta mengasaskan sistem pelajaran Islam.

Kehebatan Umar turut dikisahkan ketika menakluki Jerusalem, kota suci tiga agama, Islam, Yahudi dan Kristian. Sejak ratusan tahun kerajaan Rom memerintah Jerusalem dengan menguasai tanah Arab. Selepas Islam bertapak di Makkah pemerintah Rom rasa tergugat dan mahu memusnahkan penganut Islam dengan menyerang mereka, selain menghasut kabilah Arab menentang pemerintah Islam.

Jerusalem berjaya dirampas dengan kebijaksanaan tentera Islam bawah pimpinan Abu Ubaidah al-Jarrah dan Umar kemudian bertindak menerima penyerahan kota suci itu.

Tujuh cara tingkat kepercayaan pasangan

Dalam membina satu perhubungan, kepercayaan dan kejujuran perlu ada bagi memastikan kasih sayang yang dipupuk kekal hingga akhir hayat. Bagaimanapun, ramai sedar untuk membina kepercayaan dalam sebuah perhubungan sebenarnya bukanlah perkara mudah.

Jadi, tidak hairanlah ada yang sudah lama mengenali antara satu sama lain, masih juga belum mempercayai sepenuhnya pasangan mereka. Apatah lagi jika perkenalan baru berputik, pasti timbul perasaan sangsi dalam hati masing-masing.

Mungkin ramai yang tidak tahu, sebenarnya ada beberapa cara mudah untuk mereka membina kepercayaan dalam sebuah perhubungan. Langkah yang bakal dinyatakan ini mungkin bukanlah perkara pertama yang terlintas di fikiran. Tetapi, hakikatnya cara inilah yang diperlukan oleh seseorang bagi memastikan perhubungan yang terjalin tidak berakhir dengan kehancuran.

Hakikatnya banyak teori diketengahkan berkaitan perkara ini. Ada yang berpandangan menambahkan 'perasa' dalam perhubungan dengan menjadikan ia lebih menarik amat penting. Tetapi, tidak kurang yang mempercayai bahawa sesuatu yang boleh diramal sebenarnya mampu memberikan lebih kebaikan berbanding kepelbagaian situasi yang berlaku dalam apa juga perhubungan.

Buat mereka yang masih buntu memikirkan cara, perhatikan langkah-langkah di bawah yang turut boleh digunakan untuk memperbaiki hubungan dengan pasangan anda terutamanya dalam mempertingkatkan tahap kepercayaan dalam diri masing-masing.

Pertama

Buat permulaannya, seperti yang dinyatakan tadi, anda sebenarnya perlu menjadi seorang yang boleh diramal. Percintaan yang dibina itu sebenarnya tidak memerlukan sesuatu untuk membuatkan ia lebih 'bernyawa'.

Namun, ia tidak bermakna anda tidak perlu lagi keluar makan malam di restoran menarik sekali-sekala. Malah, biarpun tidak diadakan sebarang majlis istimewa, bukan bermakna anda tidak boleh mengejutkan pasangan dengan hadiah menarik.

Bagaimanapun, apa juga yang anda lakukan, cuba pastikan ia konsisten dan tenang. Itupun jika anda inginkan perhubungan ini berjaya. Perlu diingat, sesuatu yang boleh dipercayai termasuk sikap anda yang sentiasa konsisten sebenarnya banyak membantu dalam membina kepercayaan dalam sebuah perhubungan.

Kedua

Pastikan bahasa tubuh yang anda berikan berpadanan dengan kata-kata yang diucapkan. Jika tidak, anda akan menghantar mesej yang salah pada pasangan. Mungkin ramai tidak mengambil kisah perkara ini. Tetapi hakikatnya, bahasa tubuh yang akan dilihat terlebih dahulu dan ia terus melekat dalam fikiran si dia, bukannya kata-kata manis daripada mulut anda.

Tetapi, perlu juga diingat bahawa nada suara yang anda lontarkan juga penting. Sekiranya anda berjaya melakukan semuanya, si dia akhirnya akan turut belajar mempercayai kata-kata anda.

Ketiga

Perkara ketiga yang tidak kurang pentingnya adalah mempercayai kecekapan pasangan anda. Jika perkara itu tidak ada dalam fikiran bermakna anda tidak akan mempunyai tahap kepercayaan yang diperlukan dalam sebuah perhubungan. Apa juga kebenaran sebenarnya dapat membantu sekiranya ia diucapkan dengan penuh kasih sayang.

Sebagai pasangan, anda seharusnya mempercayai kemampuan si dia dalam memahami apa yang berlaku di sekitar anda. Mungkin tidak semuanya, tetapi sekurang-kurangnya pada beberapa perkara. Langkah itu akan membantu anda melangkah setahap lagi ke hadapan dalam usaha membina kepercayaan dalam perhubungan.

Keempat

Rahsia yang dipendam boleh membinasakan. Jadi, lebih baik diri berlaku jujur dan berfikiran terbuka. Apa yang dikhuatirkan, rahsia yang disimpan lambat-laun akan terbongkar dan merosakkan semua yang telah dibina oleh anda berdua.

Ramai sering berkata, menyimpan rahsia memerlukan kesabaran dan tenaga yang banyak biarpun ia sebenarnya tidak membantu. Bukankah lebih elok kesabaran dan tenaga tersebut digunakan untuk membina serta memperbaiki perhubungan anda.

Kelima

Sedikit nasihat buat anda. Jangan sesekali membuatkan si dia meneka apa yang anda inginkan. Biarkan sahaja si dia mengetahui apa yang anda perlukan. Dan, ini dapat membantunya memenuhi keinginan tersebut. Sikap keberatan atau enggan menyatakan mahupun memperlihatkan keinginan diri kepada pasangan hanya akan memburukkan lagi keadaan malah anda sebenarnya akan 'membunuh' si dia.

Keenam

Ada masanya anda tidak perlu mengikut sahaja apa yang dikatakan pasangan. Jadi, anda perlu belajar bilakah masa untuk berkata 'tidak' pada si dia. Maknanya, sekali-sekala si dia perlu juga diajar bukannya hanya dimanjakan setiap masa. Dengan cara ini, anda akan lebih dihormati bukannya membiarkan sahaja diri dikuasai oleh kehendak si dia.

Ingat, anda perlu melayani keinginan atau hasrat pasangan anda tetapi bukan semuanya. Ada perkara yang anda perlu tegas dengan keputusan anda.

Ketujuh

Akhirnya, apa yang perlu dilakukan kini adalah untuk membina sebuah perhubungan yang baik dan matang.

Mungkin, ia bukan satu perkara yang mudah. Untuk sampai ke arah itu, anda perlu berhadapan dengan krisis dan cabaran yang mungkin menyakitkan. Tetapi, jika terus mencuba untuk membuatkan perhubungan ini berjaya maka anda pasti boleh menempuh segala dugaan yang timbul untuk sampai ke tahap yang diingini.

Perlu diingat, hanya sedikit langkah ke arah kesempurnaan akan membawa anda kepada hasil yang diingini. Biarpun sakit untuk ditempuh, jangan lupa kesakitan itu akan membuatkan anda lebih kuat.

Kenapa Yahudi musuh Islam?

Tidak ada lagi keraguan pada kenyataan Allah SWT ini. Bangsa Yahudi dan Nasrani dari dulu, kini dan sehingga ke hari kiamat tidak akan pernah merasa senang dengan Islam dan penganutnya. Mereka merasakan merekalah yang berada di atas petunjuk hidayah, sedangkan petunjuk yang didakwa itu rupa-rupanya adalah kesesatan yang nyata.

Mereka hanya mengikut hawa nafsu yang akhirnya membawa kepada kehancuran. Sebab itu, renungkanlah saranan Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk menjawab ajakan mereka ini: Katakanlah (wahai Muhammad): sesungguhnya petunjuk (hidayah) Allah itulah petunjuk yang sebenarnya, jika kamu mengikuti kemahuan hawa nafsu mereka selepas datang kepadamu pengetahuan, maka Allah tidak akan menjadi pelindung dan penolong bagimu). (al-Baqarah: 120)

Bangsa Yahudi sememangnya bangsa yang angkuh dan biadap. Apa yang berlaku di Palestin dan khususnya di Gaza sekarang sudah cukup untuk menggambarkan keangkuhan dan kebiadapan bangsa ini. Suatu bangsa yang tidak pernah tahu erti janji dan bagaimana menepatinya. Hidup mereka penuh dengan pengkhianatan dan kekejaman. Kejahatan mereka ini bukan saja baru dikenali, malah sejak zaman permulaan Islam lagi.

Sejarah telah merakamkan bagaimana sikap bangsa Yahudi terhadap Rasulullah dan para sahabat. Antara yang tercatat dan tidak mungkin dapat dihapuskan dalam lipatan sejarah kejahatan Yahudi ialah nama Kaa'b al-Ashraf.

Kaa'b al-Ashraf adalah antara tokoh orang Yahudi yang paling dengki terhadap Islam dan umat Islam. Beliau sering menyakiti Rasulullah, malah terang-terang mengajak orang lain memerangi Rasulullah SAW.

Rasulullah telah memberi tawaran kepada para sahabatnya dengan bersabda: Siapa di antara kalian yang boleh selesaikan urusan Kaa'b bin al-Ashraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Lantas bangun Muhammad bin Maslamah sambil berkata: "Akulah, wahai Rasulullah, adakah engkau suka aku membunuhnya?" Baginda SAW menjawab: Ya. Muhammad bin Maslamah berkata: "Izinkan aku untuk mengatakan sesuatu tentang engkau (perkara yang tidak elok)". Rasulullah menjawab: Ya.

Turut bersama dengan Muhammad bin Maslamah ialah Ubbad bin Bisyr, Abu Naelah (saudara susuan Kaa'b), al-Harith bin Aus dan Abu Abbas bin Hibr. Kumpulan ini diketuai oleh Muhammad bin Maslamah.

Berlakulah dialog seperti berikut:

Muhammad bin Maslamah pergi menemui Kaa'b lalu berkata: "Orang ini (iaitu Rasulullah SAW) telah meminta daripada kami sedekah, sememangnya dia telah menyusahkan kami.

Kaa'b berkata: "Demi Allah, kami boleh usirkan dia."

Muhammad bin Maslamah: "Kami telah pun mengikuti dan patuh kepadanya. Kami tidak mahu tinggalkan dia begitu saja, kerana kami mahu memerhatikan sampai ke tahap mana dia akan pergi dan apa akan terjadi. Jadi kalau boleh kami mahu engkau pinjamkan kami satu atau dua guni tamar".

Kaa'b: "Boleh, tapi perlu ada cagarannya".

Muhammad bin Maslamah: "Apa yang engkau mahu?".

Kaa'b: "Cagarkan kepadaku perempuan-perempuan kamu".

Muhammad bin Maslamah: "Bagaimana kami hendak cagarkan perempuan-perempuan kami, sedangkan engkau adalah orang Arab yang paling kacak".

Kaa'b: "Kalau begitu, cagarkan saja anak-anak kamu."

Muhammad bin Maslamah: "Bagaimana mungkin kami cagarkan anak-anak kami? Nanti akan ada di kalangan mereka yang mencela: Apakah kami ini menjadi barang tawaran dengan seguni dua tamar? Ini suatu yang memalukan kami. Tak mengapa, kami cagarkan kepada kamu senjata-senjata."

Kaa'b bersetuju dengan cagaran ini.

Abu Naelah juga melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Muhammad bin Maslamah. Dia telah datang menemui Kaa'b dan berpura-pura mengadu kepada Kaa'b yang dia tidak puas hati dengan Rasulullah.

Abu Naelah berkata: "Masih ramai lagi yang sependapat dengan aku. Aku ingin membawa mereka untuk mengadap engkau dengan harapan engkau boleh melakukan kebaikan terhadap mereka."

Akhirnya Muhamad bin Maslamah dan Abu Naelah berjaya memikat hati Kaa'b dan mereka mencapai matlamat. Selepas ini Kaa'b tidak akan lagi curiga apabila mereka datang membawa senjata bersama beberapa orang lain.

Pada malam 14 Rabiulawal, tahun ke-3 hijrah, kumpulan Muhamad bin Maslamah ini datang menemui Rasulullah untuk memohon restu.

Setelah sampai di Kota Kaa'b al-Ashraf, Abu Naelah memanggil nama Kaa'b. Lalu Kaa'b bangun untuk pergi, tetapi dihalang oleh isterinya: "Ke mana kamu hendak keluar di waktu malam sebegini? Aku dengar suara itu bagaikan suara titisan darah." Kaa'b berkata: "Itu adalah saudaraku Muhammad bin Maslamah dan seorang lagi Abu Naelah, saudara susuanku. Orang yang mulia, kalau dijemput kepada tikaman sekalipun, pasti akan disahutnya."

Lalu Kaa'b pun keluar kepada mereka dengan memakai minyak wangi hingga ke hujung rambutnya.

Apabila Kaa'b sampai, Abu Naelah mengajaknya berjalan-jalan sambil berbual. Abu Naelah berkata: "Aku tidak pernah mencium minyak wangi yang begitu harum seperti ini." Kaa'b berasa bangga. Abu Naelah meminta untuk mencium kepalanya. Kaa'b membenarkannya. Lalu mereka berjalan-jalan lagi.

Abu Naelah berkata lagi: "Boleh aku cium sekali lagi?" "Silakanlah", Kaa'b menjawab. Kemudian mereka menyambung lagi perbualan sambil berjalan-jalan. Lalu Abu Naelah berkata: "Boleh aku cium lagi?". Kaa'b berkata: "Boleh, silakanlah".

Abu Naelah memegang kepala Kaa'b dengan begitu kemas, seolah-olah ingin mencium. Lalu beliau menjerit: "Ini dia musuh Allah. Lalu para sahabat yang turut sama dalam kumpulan Muhamad bin Maslamah, terus menghunuskan pedang silih berganti membunuh Kaa'b.

Namun tikaman mereka masih belum berkesan. Lalu Muhammad bin Maslamah pun menikam perut Kaa'b dengan senjatanya, lalu Kaa'b jatuh terkulai-kulai. Akhirnya matilah Kaa'b al-Ashraf.

Kemudian kumpulan ini pulang dan menyampaikan khabar gembira ini kepada Rasulullah. Baginda SAW bersyukur dan sangat gembira.

Apabila kaum Yahudi mengetahui kematian pelampau Kaa'b al-Ashraf, ketakutan menyelubungi perasaan dan hati-hati mereka. Barulah mereka tahu yang Rasulullah SAW tidak akan berlengah untuk menggunakan kekerasan apabila nasihat tidak memberi kesan kepada mereka yang cuba mencabar keamanan, menimbulkan kekacauan dan tidak menghormati perjanjian. (Al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum (Mekah:Rabitah al-Alam islami, 2005), m/s 307)

Bilakah sejarah kehebatan umat Islam ini akan berulang lagi? Sungguh hati ini tidak tahan lagi melihat penderitaan umat Islam di bumi Palestin. Sungguh hati ini tidak mampu lagi menahan kemarahan melihat pencerobohan Yahudi terhadap Masjid al-Aqsa.

Sungguh hati ini terus sebak melihat saudara seislam yang saban hari terus dibunuh dan diseksa, isteri-isteri menjadi janda, anak-anak kecil menjadi mangsa. Hati ini juga telah muak dengan sikap pemimpin-pemimpin negara Islam lain yang bagaikan buta, seakan-akan tidak nampak apa yang berlaku di negara jiran mereka.

Sudah banyak persidangan, mesyuarat dan persefahaman, yang tinggal hanyalah kenangan. Nasib umat Islam Palestin tetap tidak terbela. Bangsa Yahudi masih bermaharajalela di atas tanah hak milik kita.

Namun hati ini masih menaruh harapan untuk menyaksikan bangsa Yahudi hari ini akan menerima nasib yang sama seperti Kaa'b al-Ashraf. Bagaimana? Bila? Siapa?

10 Faktor Memilih Pasangan

Kebanyakan daripada rumahtangga runtuh yang bermasalah sejak hari pertama tak lain tak bukan adalah kerana kedua-dua orang yang terlibat tersalah pilih pasangan, itu sahaja. Pilihan pasangan hidup anda adalah lebih penting dari apa jua yang anda lakukan untuk membahagiakan rumah tangga anda. Itu mungkin bunyinya seperti mudah sahaja dilakukan, tetapi anda akan terkejut dengan peratusan tinggi orang yang tidak sabar melangsungkan perkahwinan sehingga mereka tidak menumpukan masa dan usaha yang diperlukan untuk membuat keputusan yang baik. Jika anda ingin memastikan perkahwinan yang memuaskan dan berkekalan, cubalah anda pertimbangkan faktor-faktor berikut :

1. Tempoh Masa Berkenalan
Kajian menunjukkan bahawa pasangan yang telah berkenalan selama dua tahun atau lebih kesemuanya lebih berpuas hati dengan perkahwinan berbanding pasangan yang berkenalan dalam jangka masa yang lebih pendek. Apabila pasangan bersedia mengambil keputusan yang melibatkan perkahwinan selepas hanya berkenalan selama beberapa bulan, keputusan itu kebanyakannya lebih berdasarkan khayalan dan kurang berdasarkan hakikat .

2. Memilih Pasangan Sendiri
Orang sering memilih pasanagn semata mata untuk menggembirakan orang lain ayah , ibu atau kerana orang menyuruh mereka berkahwin. Tetapi amat penting agar orang yang hendak kahwin itu sendiri gembira denagn pilihannya. Keputusan anda hendaklah dibuat berasaskan keperluan dan impian anda sendiri. Anda juga patut mendengar pendapat sahabat handai dan kaum keluarga dengan teliti, tapi jangan sampai biarkan orang lain memilih pasangan hidup anda.

3. Harapan Yang Tidak Wajar Tentang Perkahwinan
Kebanyakan rumah tangga gagal kerana tidak mendapat apa yang mereka impikan sebelum berkahwin. Ramai lelaki dan wanita memasuki alam perkahwinan dengan sangkaan bahawa pasangan mereka akan memenuhi semua keperluan mereka dan bahawa perasaan romantik mereka semasa bercinta akan kekal abadi. Sebenarnya rumah tangga yang bahagia memerlukan begitu banyak usaha, kesabaran dan ketabahan.

4. Masalah Keperibadian dan Tingkahlaku
Keperibadian dan tingkah laku tidak akan hilang apabila anda berkahwin. Jika terdapat cirri-ciri keperibadian dan tingkah laku pasangan anda yang menimbulkan persoalan, seperti cemburu, panas baran, tidak bertanggungjawab, tidak jujur dan degil. Tanya diri sendiri sama anda sanggup untuk menghabiskan masa anda sehingga ke akhir hayat untuk menangani masalah ini. Nyata sekali , jika pasangan yang dalam pertimbangan itu menghadapi masalah dadah, kaki botol dan sebagainya , anda sepatutnya memastikan masalah itu telah diselesaikan jauh lebih awal sebelum perkahwinan anda.

5. Banyak Pengalaman Hidup
Pemilihan pasangan hidup melibatkan ramalan tentang bagaimana anda berdua akan hidup bersama sepanjang tahun tahun akan datang. Pengalaman disini bukan bermaksud usia .Pengalaman yang dilalui tidak bergantung dengan usia seseorang. Pengalaman lelaki dan wanita mengharungi susah senang bersama amat bermakna dalam perhubungan. Jika boleh lalui waktu waktu susah dan senang bersama pasangan anda. Ambil contoh yang mudah saja ,misalnya melalui lalu lintas yang sesak, jalan jalan kampung yang becak . Dari situ , dia akan menunjukkan siapa dirinya yang sebenarnya.

6. Bayangan Orang Yang Ingin Anda Kahwini
Bayangan ini tidak anda sedari pada umumnya , namun ia amat mempengaruhi anda. Bayangkan dengan jelas sifat-sifat orang yang ingin anda kahwini. Fikirlah dengan panjang dan mendalam tentang faktor - penampilan, kepintaran, pendidikan , kerohanian dan sebagainya. Pemikiran bawah sedar anda boleh menghantui sesuatu hubungan . Berpeganglah pada bayangan anda ini, jika tidak anda akan menginginkan orang lain buat selamanya.

7. Pasangan Yang Bersifat Seakan-akan Diri Anda
Pasangan yang mempunyai terlalu banyak perbezaan sifat nya , akan memerlukan usaha yang lebih untuk memastikan rumahtangga yang dibina kekal bahagia. Lebih banyak memerlukan toleransi dan pemahaman. Tak ramai pasangan mampu bertindak sebegini.

8. Mempunyai Cita-Cita Yang Seiring
Jika orang yang anda kahwini bercita cita jauh lebih rendah atau lebih tinggi daripada anda, mungkin anda berdua akan kecewa. Masalah akan timbul jika anda berusaha mendaki puncak kejayaan tetapi pasangan anda telah berpuas hati dengan apa yang telah anda berdua miliki. Perbezaan sifat mungkin menarik hati ketika sedang melamar , tetapi ia akan menyebabkan banyak kekecewaan sepanjang perkahwinan.

9. Kebolehan Berkomunikasi
Kebolehan berkomunikasi sangat penting demi kebahagian rumah tangga. Kesejahteraan perkahwinan bergantung kepada tahap komunikasi suami isteri. Adalah penting kedua dua pasangan menguasai kemahiran bertutur dan mendengar. Banyak rumah tangga hancur kerana masing masing tidak pandai menyatakan hasrat masing-masing dengan cara yang boleh diterima oleh pasangannya. Hasrat dipendam tanpa komunikasi berkesan bukanlah caranya.

10. Kebolehan Menyelesaikan Pertelingkahan
Pasangan perlu tahu yang mereka berkemampuan untuk menyelesaikan pertelingkahan sebelum mereka berkahwin. Jika pasangan tidak tahu cara yang berkesan untuk menangani perselisihan pendapat antara mereka, Rumah tangga mungkin akan runtuh. Banyak rumah tangga runtuh kerana suami isteri tidak tahu menangani perbezaan diri mereka berbanding sebab sebab lain. Amat perlu menilai kemahiran perdamaian masing masing sebelum berkahwin.

Petua Kencing Manis & Tanda-Tanda Awal

Tanda-tanda AWAL ditimpa KENCING MANIS

1. kerap membuang air kecil

2. berat badan yang menurun

3. sentiasa merasa lapar

4. sentiasa merasa haus dahaga

5. letih yang tidak menentu

6. pandangan semakin menjadi kabur

7. mudah mendapat penyakit kulit

8. merasa gatal-gatal pada kaki dan tangan

9. merasa penat dan sakit kaki

10. gatal-gatal pada perlipatan dan dua celah paha


Tanda-tanda yang SERIUS/TERUK bagi KENCING MANIS

1. sentiasa haus

2. hilang selera untuk makan

3. muntah-muntah

4. boleh menjadi pengsan dan tidak sedarkan diri

5. air kencing menjadi manis disukai oleh semut-semut


Langkah-langkah perlu DIAMBIL BERAT oleh pesakit-pesakit KENCING MANIS

1. menjaga kebersihan badan dengan sempurna dan teliti

2. sentiasa mengawasi makan dengan teliti, elakkan gula, tidak memakan makanan yang berkanji

3. menghilangkan perasaan bimbang dan risau terhadap penyakit yang dihadapinya

4. sentiasa besenam dan berehat secukupnya

5. jangan terlalu boros menggunakan tenaga

6. bila melakukan kerja-kerja yang berat setelah merasa penat segeralah berhenti janganlah diteruskan lagi

UBATNYA

Ambil buah petai belalang yang telah tua dan kering di pokoknya, keluarkan isinya dan goreng tanpa minyak sehingga garing dan tumbukkanlah sehingga hancur, kemudian bubuh ke dalam air panas dan buat minuman seperti minum kopi, atau

ambil 20 gram pokok kemunting cina bersama akar serta daun dan bunganya. rebus bersama 2 liter air sehingga tinggal anggaran separuh. minumlah 2 kali sehari, lakukan sehingga sembuh, atau

minumlah air rebusan pokok belimbing tanah/bukit setiap hari, Insya' Allah dalam masa 2 bulan akan pulih.

MEREDAKAN KENCING MANIS

ambil kulit pokok petai dan masukkan ke dalam kelongsong ketupat yang kosong dan rebus di atas perapian. minumlah air tersebut 3 kali sehari, atau

ambil 5 kulit buah jering (tanpa isi) dan goreng tanpa minyak, gorenglah sehingga garing. kemudiannya tumbuk sehingga halus. ambil 1 sudu teh debu kulit jering tersebut dan bancurlah dengan air serbuk kopi yang hendak diminum, minumlah air tersebut 2 kali sehari.

"BAGI SETIAP PENYAKIT ITU ADA UBATNYA"

Kisah Teladan - Ditipu kaki perempuan

Mari kita sama-sama ikuti kisah seorang isteri bernama Junaidah yang mendakwa dirinya tertipu sewaktu berkahwin dengan lelaki yang mendakwa duda, sedangkan dalam masa yang sama dia telah pun mempunyai dua orang isteri.

Jun dalam e-mel ringkasnya kepada penulis dan setelah kami berbual panjang melalui telefon kerana tidak berkesempatan berjumpa disebabkan kesibukan tugasnya, beliau berkata, tidak menyangka boleh tertipu, sudahlah teraniaya semasa berkahwin setelah berkahwin pun hidupnya masih lagi dibelenggu dengan kehidupan bekas suaminya bersama kekasih-kekasihnya yang sentiasa mengganggu hidupnya.

"Saya kenal dengan Morad secara kebetulan kerana urusan pekerjaan saya. Oleh kerana dia baru bertukar tugas di daerah K dia kerap datang berjumpa saya, pantang ada urusan pejabatnya dengan jabatan tempat saya bekerja, dialah orang pertama dengan sukarela datang ke pejabat saya. Sambil itu adalah saja halnya ajak saya minumlah, ajak makan dan macam-macan lagi.

"Kadang-kadang dia belikan makanan untuk saya, katanya buat belanja kawan-kawan. Ingatkan dia ikhlas rupanya buat baik ada makna di situlah saya 'terkena' entah apa yang dibubuhnya. Kenal tak lama saya terus terima lamarannya untuk berkahwin, katanya dia duda. Bila beritahu ayah mereka suruh keluarga Morad masuk meminang.

"Tapi Morad mengelak, saya pula ikut cakap Morad tak dengar nasihat ibu dan ayah. Dia ajak saya kahwin lari ke Siam. Saya jadi bodoh terus ikut. Dah kahwin mak bapak tentulah mengamuk tapi saya tak peduli saya ikut telunjuk Morad, kami sewa rumah sendiri. Happy!

"Bila dah kahwin tiga bulan baru saya nampak jelas perubahan Morad dia memang jarang balik ke rumah saya alasannya standby, kena buat serbuan ada tangkapan dan macam-macam, saya pun percayalah kerana memang kerjanya macam itu. Dia bukan anggota polis atau tentera, tetapi bila ada isu kenaikan harga barang dialah jadi hero tangkap sana tangkap sini.

"Masa mula kahwin dulu dia pakai kancil saja, lepas tu dia pakai motor kapcai, itulah yang diusungnya sana sini, bila saya tanya mana kereta dia kata simpan di pejabat. Sebab dengan motor cepat boleh ke tempat kerja, sedangkan saya dia suruh naik bas ke pejabat. Dia tak beri saya pakai keretanya, dan tidak pula mahu hantar saya ke pejabat. Masa mengandung memang saya terasa susah ke tempat kerja, tapi dia tak peduli, katanya naik bas lagi bagus.

"Dalam pada itu kecurigaan saya mula menjadi-jadi terhadap Morad. Terutama bila saya ajak dia daftarkan perkahwinan kami di daerah K, dia beri pelbagai alasan, sibuk dan banyak kerja. Sejak itu saya rasa amat bersalah kerana tidak dengar nasihat ibu dan ayah.

"Kecurigaan juga mengajar saya mendekatkan diri dengan tikar sembahyang dan membaca Yasin juga Al-Quran setiap malam, kerana bila tinggal seorang saya ada banyak masa lapang tambahan pula ketika itu saya sedang hamil, dan kata orang baik kalau rajin membaca.

"Rupa-rupanya lagi banyak saya membaca Yasin lagi banyak karakter Morad terbongkar, dia jadi pemarah, pembengis dan semakin tidak mahu bertanggungjawab kepada rumah tangga. Saya memohon kepada Allah semoga Morad lebih jujur dan menjadi suami serta ayah yang baik.

"Tujuh bulan kemudian kisahnya terbongkar lagi, melalui seorang kawan memberitahu bahawa Morad sebenarnya ada dua orang isteri. Isteri pertamanya tidak ada anak, sementara isteri kedua ada dua orang. Semasa saya hamil isteri pertamanya pun hamil sama. Sejak itulah Morad lebih kerap duduk di rumah isteri pertamanya berbanding rumah saya.

"Rupanya lelaki berpoligami ini kalau kita tak tahu dia sudah berkahwin dia akan baik dengan kita, sebab nak sorok tembelangnya, tetapi sebaik sahaja rahsianya terbongkar dia tunjukkan belangnya, kerana tak perlu menyorok lagi, mulalah jarang-jarang balik ke rumah saya. Dan dia tak suka kalau ditanya kenapa balik lewat, atau meminta keadilan.

"Semasa melahirkan anak pun dia tak datang ke hospital alasannya tak mahu jumpa ibu bapa saya. Oleh kerana tidak ada orang menjaga semasa dalam pantang, ibu mengajak saya balik ke rumah, dan saya tidak ada pilihan. Sejak itulah saya mula sedar diri, dan setelah berubat.

"Oleh kerana dia dah ada dua orang isteri dan tidak bertanggungjawab dan tidak ada keadilan, saya minta diceraikan. Tambahan pula saya telah sedar tentang aktivitinya di luar waktu bekerja. Saya tak mahu dia beri makan kami dengan duit yang tak betul.

"Saya pernah dengar cerita dia hampir-hampir kena cekup pasal jual disel haram tetapi terlepas sedangkan kawan-kawan yang baru nak cuba-cuba ditangkap. Tapi sampai bila dia boleh terlepas, 'sepandai-pandai tupai melompat, satu hari jatuh juga ke tanah.'

"Dia pandai main wayang sana sini pakai motor kapcai, sedangkan di rumah isterinya ada dua buah kereta atas nama isterinya, supaya orang tak tahu. Itu baru kereta, benda-benda lain tak tahulah berapa banyak lagi yang dia dapat cara tak betul. Hidupnya memang mewah, selalu tidur di hotel di merata negeri sebab saya pernah terjumpa bil dalam buku hariannya. Sedangkan kerjanya tak perlu ke luar daerah. Dengan siapa dia tidur kalau tidak dengan kekasihnya.

"Lagi menyakitkan hati dia ada banyak teman wanita, sayalah jadi mangsa terima SMS yang bertanya itu ini dan menyakitkan hati saya. Ada yang tak malu-malu bercerita mereka akan kahwin. Saya tak kisah kalau mereka nak kahwin, tapi tolong jangan ganggu hidup saya. Walaupun saya cuba menerangkan keadaan sebenar bahawa saya adalah isteri ketiga, kerana Morad ada dua isteri lagi, tetapi mereka tak percaya, sebaliknya mendakwa semua isterinya itu telah diceraikan. Tinggal saya seorang, jadi sayalah jadi mangsa mereka.

"Selepas empat tahun memujuk, mengamuk dan bertengkar supaya Morad berubah ataupun berlaku adil tetapi dia masih berkeras, akhirnya kerana sering bergaduh Morad ceraikan saya. Lega rasanya. Saya fikir tentu lepas ini hidup saya lebih tenang, malangnya saya masih terima SMS dan panggilan telefon daripada wanita yang gilakan Morad. Saya rasa tentu dia dah kena tipu atau telah dipermainkan.

"Kes terbaru dengan seorang wanita mengaku janda anak dua telefon saya bertanya tentang Morad, dia tanya betul atau tidak kami dah bercerai. Saya kata benar, tapi dia ada dua isteri lagi. Dia kurang percaya, saya kata kahwilah nanti boleh tahu siapa Morad sebenarnya.

"Tapi katanya dia jumpa bil hotel Genting milik Morad dan bertanya apakah Morad pergi dengan saya. Saya kata itu mungkin dengan kekasihnya yang lain. Morad tak pernah bawa mana-mana isterinya tidur di hotel atau bawa kami berjalan-jalan, dia suka mencari hiburan sendiri.

"Sebenarnya saya dah meluat ditanya dan diminta pengesahan tentang aktiviti Morad, saya dah menyampah, sebab bukan seorang dua wanita yang telefon dan hantar SMS dengan saya, tapi ramai buat macam tu, saya dah benci.

"Menurut wanita ini, Morad ajak dia kahwin. Tetapi daripada apa yang wanita ini bercerita, Morad minta dia naikkan failnya ke atas sebab dia nak disahkan kenaikan pangkatnya sebab dah lama kerja. Kerana wanita ini bekerja di jabatan yang boleh meluluskan permohonannya.

"Morad memang pandai mencari wanita yang boleh memenuhi kehendaknya. Kalau yang berharta lagi dia suka. Sebab dia boleh tumpang sekaki, dapat kemudahan kerja dan wang.

"Selang dua hari seorang lagi wanita telefon saya bertanyakan soalan yang sama sambil menceritakan kawan sebiliknya seorang pelajar universiti merancang nak kahwin dengan Morad, dia nasihatkan pelajar ini, tetapi tak diindahkan. Jawapan saya senang sahaja, biarkan dia kahwin baru dia tahu siapa Morad sebenarnya.

"Sekarang lebih senang dengan surat cerai saya dia usung sana sini beritahu ramai wanita dia duda, tanpa memberitahu bahawa dia ada dua isteri dan empat orang anak. Inilah dia jenis lelaki yang suka mempermainkan wanita umur dah lebih 40 tahun tapi masih tak sedar diri,'' Demikian cerita Junaidah tentang suaminya yang pandai 'ilmu', kaki perempuan, pembohong, dan penipu.

Benar seperti kata Jun, tunggulah masa dan ketikanya bila tupai jatuh ke tanah. Tapi orang macam ini memang payah dan berubah, kerana dah jadi darah dagingnya berbohong dan suka 'berilmu' untuk kepentingan hidupnya di dunia ini.

Kata Jun lagi dia mula sedar diri setelah membuang cincin yang dihadiahkan oleh Morad ketika mereka berkenalan dulu dan ditambah sebentuk lagi setelah mereka berkahwin. Rupanya zaman ini semakin ramai mereka yang percayakan kepada kuasa-kuasa asing selain Alllah S.W.T.

Kenapa kamu gemuk?

Apakah yang boleh membuatkan seseorang itu gemuk?
Ada beberapa faktor yang mempengaruhi. Antaranya :

Makan melebihi keperluan Tubuh

Makan berlebihan atau tidak mengamalkan pemakanan yang sihat antara punca berat badan bertambah.Untuk mendapatkan berat badan yang ideal, kamu seharusnya menghindari makanan yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi,bersantan dan berminyak.

Kurang Menggunakan Tenaga

Pekerjaan yang dilakukan hari-hari akan mempengaruhi gaya hidup seseorang.Kurang melakukan aktiviti fizikal akan menyebabkan proses pembakaran kalori terganggu.Umumnya kandungan kalori yang berlebihan yang tidak diimbangi dengan aktiviti fizikal akan menyebabkan tubuh menjadi berisi dan gemuk.

Faktor Keturunan

Faktor keturunan juga mempengaruhi rupa bentuk badan seseorang.Penyelidikan yang dibuat di Amerika Syarikat membuktikan bahawa anak-anak dari keturunan ibu bapa yang bertubuh normal mempunyai 10% peluang menjadi gemuk.Peluang itu akan bertambah menjadi 40-50% jika salah seorang daripada ibu bapa mengalami masalah berat badan.Dan akan meningkat menjadi 70-80% jika kedua-duanya menghidap obesiti.

Metabolisme yang rendah

Kadar metabolisme yang rendah akan mengakibatkan tenaga yang masuk ke dalam tubuh lambat menjadi glikogen menyebabkab menjadi lemak.Mereka yang mengalami masalah obesiti mempunyai metabolisme yang rendah kerana mereka tidak bersenam atau mengamalkan diet yang seimbang.Ini sekali gus mendedahkan mereka untuk mengalami masalah obesiti yang lebih serius.

14 Perkara Mengenai Lelaki, Betul ke?

1) Lelaki,jika anda menanya "Apakah awak cintakan saya?" slps setahun perhubungan,mereka akan menjawab "Ya,saya cintakan awak".Tetapi hakikat sebenarnyer,mereka masih ada bbrp jawapan lain untuk soalan itu seperti (i) "Ya,rasa-rasanyalah" (ii) "Mestikah saya berkata begitu supaya anda rasa senang hati?" (iii) "Bergantunglah apa maksud cinta kepada pandangan awak" (iv) "Penting sangatkah?" dan (v) "Who,me?"

2) Anda tidak perlu meminta pendapat ikhlas lagi jujurnya mengenai diri anda,dan anda tidak payah minta dia memuji-muji yg awaklah kekasih @ gadis paling cun di dunia yang fana ini,krn hakikatnya,bila terlihat ada perempuan yg asal ada rupa lalu di hadapannya,dia merenung terbeliak-beliak seperti air liur mahu jatuh meleleh.

3) Ada sesetengah lelaki tidak suka aturan hidupnya dirancang-rancang,krn baginya,apa yang tejadi ,biarlah takdir yg menentukan.Dan keadaan jadi lebih teruk jika pasangan cuba memandai-mandai menjadi Miss Perfect Planner.Jika lelaki anda jenis ini,kaji dulu tabiatnya sebelum anda mengutarakan sebarang cadangan.

4) Lelaki tidak suka dipaksa atau di ubah.

5) Lelaki yang kaki rokok mesti merokok se'pam' dua setiap kali selepas makan.

6) Setiap kali anda marah-marah atau naik angin dgn si dia,dalam kepala otaknya cuma ada satu; "Oh dia ni mesti kena sindrom PMS" walhal dia tidak sedar yang kita sebenarnyer marah sbb perangai/tingkah lakunya yg menyakitkan hati.

7) Lelaki tidak berapa suka membincangkan isu pertengkaran dgn pasangannya.Jika dia mahu duduk berbincang pun,cuma sekejap saja,dan dia cepat-cepat mahu menutup kes itu.Beberapa hari berikutnya - dia buat-buat lupa.

8) Ada tiga perkara yg boleh membuat lelaki stress (i) duit (ii) kuasa, (iii) seks.

9) Jangan buat lawak bodoh mengenai lelaki di hadapan kawan-kawan atau familinya.Ada lelaki cepat tersinggung dan menganggap ia satu penghinaan besar,juga satu percubaan mensabotaj nama baiknya.

10) Lelaki cuma suka lafazkan I LOVE YOU pada peringkat awal perhubungan.Lama-lama sudah menjadi semakin intim lelaki lupa untuk mengucapkannya semula sehingga wanita yang terpaksa memberi 10,000 jenis signal supaya dia tak amnesia,atau nyanyuk,atau hilang ingatan,yg dia masih dan perlu mencintai kita.

11) Lelaki suka jika pasangannya bergaya cantik,popular dan menarik byk perhatian waktu berjalan bergandingan.Tetapi jika ada lelaki lain yg tertarik dgn teman wanitanya,dia akan menyalahkan wanita dulu,krn katanya "Awak yang kuat melayan".

12) Jangan kritik muzik,kereta,pasukan bola,motor,topi keledar,atau apa-apa saja yang menjadi kegemaran mereka.

13) Jangan kritik cara mereka berpakaian,cara mereka menyapu gel rambut,atau cara mereka menyikat rambut.

14) Lelaki tidak suka diberikan tekanan pada fasa awal perhubungan.Jika dia melarikan diri apabila terserempak dengan famili atau sahabat handai anda,maafkanlah dia,krn dia sebenarnya masih belum yakin sepenuhnya.

Tips Untuk Percintaan Jarak Jauh

Percaya pada pasangan

Apabila kita berjauhan dengan pasangan, kita hendaklah percaya dengan si dia. Adalah betapa pentingnya kita saling mempercayai dalam berpasangan ini. Percayalah pada si dia yang dia akan setia dan masih menyayangi kita walaupun kita berada jauh dari dia.

Setia walaupun jauh

Memang pelbagai dugaan yang kita hadapi apabila kita berjauhan. Ketika kita berjauhan, kita akan terasa sunyi. Orang yang selalu kita jumpa, tiba-tiba kini jauh dari mata. Dan apabila berjauhan, hati menjadi sunyi. Dan pada masa inilah kawan-kawan menjadi penyeri. Namun begitu, walaupun kita masih mempunyai kawan, kawan hanyalah kawan. Ceria bersama kawan tidak sama dengan ceria apabila kita bersama dengan pasangan kita. Di sini, ada yang kecundang. Ada yang bercouple dengan kawan disebabkan terasa sunyi. Fikirkanlah, apa perasaan pasangan kita bila dapat tahu yang kita tidak setia? Dan letakkanlah diri kita di tempat dia. Adakah kita akan gembira dan suka jika kita dibuat demikian?

Berjumpalah walaupun seketika

Jangan jadikan jauh itu sebagai alasan. Cinta perlukan komitmen. Cinta juga adalah tanggungjawab. Walaupun jauh, cuba cari masa untuk berjumpa dengan si dia. Andai kata si jejaka duduk jauh di utara semenangjung dan si gadis duduk di hujung selatan semenanjung, cuba cari masa yang sesuai untuk berjumpa. Paling tidak pun bila ada cuti panjang. Janganlah tidak berjumpa langsung. Sudah pasti rindu di hati akan semakin memberontak bila kita berjauhan. Jadi, apabila ada masa kelapangan itu, rancanglah untuk berjumpa. Sudah pasti ini akan mengeratkan lagi hubungan dan dapat mengurangkan rasa rindu itu.

Tanyalah khabar

Setiap malam sebelum tidur itu kalau boleh cuba hubungi si dia tanyakan khabar. Buat secara selang seli. Hari ini anda yang call dia. Esok dia pula. Dengan ini baru la sama-sama merasa susah dan senang. Jangan mengharapkan si dia sahaja yang akan call anda. Sudah pasti dia akan berasa sukar untuk menghubungi anda jikalau dia sahaja yang perlu call anda. Memang cinta perlukan komitmen tetapi ia akan menjadi sukar bila sebelah pihak sahaja yang memberikan komitmen. Jadi sama-samalah membantu dalam membina percintaan ini.

Sambut hari ulang tahun bersama

Sekiranya tidak sibuk, cuba sambut birthday atau ulang tahun per-couple-an bersama-sama. Sekiranya birthday itu jatuh pada hari bekerja, sambutlah bersama-sama pada hujung minggu tersebut. Luangkan masa bersama untuk seketika sudah pasti dapat mengembirakan antara satu sama lain. Walaupun perjumpaan itu hanya sementara, tetapi kenangan ketika berjumpa bersama-sama sambil menyambut birthday sudah pasti akan terpahat kukuh di hati. Mungkin anda akan tersenyum sendirian apabila mengenangkan kembali kenangan manis sebegitu.

Jangan jadikan jarak sebagai pemusnah

Cinta jarak jauh memang sukar. Memang meronta-ronta hati bilamana rindu itu datang. Apabila keseorangan, sudah pasti kita akan terasa sangat kerinduan itu. Tetapi ingatlah, jangan jadikan jarak yang jauh itu sebagai pemusnah cinta anda. Jadikan ia sebagai satu cabaran yang akan memberikan anda lebih bersemangat untuk meneruskan cinta itu.

Akhir kata, walauapapun rintangan yang ada, jangan jadikan ia sebagai alasan dan penghalang. Tetapi jadikan ia sebagai sesuatu yang dapat menambahkan kasih sayang kita kepada si dia. Bila jauh kita akan merasa rindu bukan? Jadi jauh itu bukan satu perkara yang tidak baik cuma ianya merupakan salah satu cara untuk memupuk rasa kasih sayang kita dan mengajar kita untuk menjadi seorang kekasih yang setia.

Pelbagai keistimewaan Nabi Isa

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Kisah ini berterusan berkenaan perkara yang luar biasa yang dipaparkan oleh Allah SWT".

Al-Maraghi berkata: "Selepas diutarakan kisah mengenai Maryam, lalu diterangkan pula beberapa kisah mengenai Nabi Isa AS, kemudian disusuli pula beberapa kisah tentang Nabi Zakaria AS padahal jarak di antara kedua-duanya agak jauh.

"Tujuan penyajian kisah seperti ini adalah untuk menguatkan lagi kebenaran di sebalik kisah tentang Maryam dan mengingatkan bahawa Allah SWT sendiri sudah cukup membuktikan kebenaran keperibadian individu yang diberi wahyu oleh-Nya".

Iktibar dan fiqh ayat ke-45:

i. Ibn Kathir berkata: "Ayat ini sebagai berita gembira yang disampaikan malaikat kepada Maryam bahawa beliau akan melahirkan seorang putera yang mulia dan mempunyai kelebihan iaitu Nabi Allah Isa a.s".

ii. Al-Maraghi berkata: "Kemuliaan Nabi Isa AS di dunia kerana baginda mempunyai tempat di hati manusia dan dihormati. Tempatnya di hati orang yang beriman tidak dapat digantikan oleh yang lain, sedangkan kebaikan yang baginda bawa akan terus berjalan meskipun baginda telah wafat.

"Kemuliaan seperti ini lebih penting ertinya daripada kemuliaan para penguasa dan raja. Mereka (penguasa) dimuliakan kerana orang berasa takut terhadap kejahatan dan gangguan daripada mereka atau kerana sekadar manis di bibir dan ingin mengaut keuntungan daripada mereka kerana mengharapkan kesenangan dunia daripada tangan mereka.

"Kejadian seperti ini suatu yang lumrah dan tidak akan mempunyai sebarang pengaruh di hati manusia, sebaliknya ia menanamkan perasaan kebencian dan kemarahan".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Suatu ketika para malaikat, yakni malaikat Jibril AS sendiri sebagaimana telah dikemukakan pada ayat-ayat yang lalu berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah SWT menggembirakan engkau dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan dengan kalimat yang datang dari-Nya.

"Untuk lebih menjelaskan bahawa kalimat dimaksud bukan berupa ucapan tapi satu tubuh manusia, sekali gus untuk menjelaskan kedudukannya maka berita gembira itu berlanjutan dengan menyampaikan bahawa nama insan yang akan engkau lahirkan telah dipilih Allah SWT adalah Isa al-Masih".

Sejak baginda lahir berbagai kelebihan dan keistimewaan yang telah dianugerahkan kepadanya oleh Allah SWT berupa mukjizat yang tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa.

Iktibar dan fiqh ayat ke-46:

i. Al-Alusi berkata: "Sangkaan Nasara bahawa Nabi Isa tidak berkata-kata dalam buaian untuk membersihkan ibunya. Begitu juga pendapat Yahudi yang menuduh ibunya berzina dengan Yusuf al-Najjar adalah sebesar-besar pembohongan".

ii. Al-Maraghi berkata: "Baginda (Nabi Isa a.s) tergolong dalam golongan orang soleh yang telah mendapat nikmat daripada Allah SWT. Mereka terdiri daripada para Nabi dan orang siddiq, dan mereka yang diketahui oleh Maryam kejujuran tingkah lakunya".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata kahlan yang diterjemahkan di atas dengan dewasa difahami oleh banyak ulama sebagai usia antara 30 ke 40 tahun, demikian Mufasir al-Jamal dalam al-Futuhat al-Ilahiyah.

iv. Hamka berkata: "Di dalam surah Maryam akan bertemulah penjelasan lagi tentang Nabi Isa a.s yang bercakap membela kesucian ibunya ketika dia masih dalam buaian atau ayunan. Satu keterangan yang hanya adalah dalam al-Quran. "Tidak ada di dalam semua kitab yang dipercayai oleh orang Kristian. Kesolehan Nabi Isa a.s, tawaduknya dan tunduk kepada Allah SWT terkenal di kalangan para nabi dan rasul. Sehingga ahli-ahli tasauf Islam terutama Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin banyak mengambil perumpamaan tentang zuhud kepada diri Nabi Isa a.s".

Iktibar dan fiqh ayat ke-47.

i. Ibn Jauzi berkata: "Allah SWT menciptakan sesuatu mengikut kehendak-Nya sama ada dengan sebab atau tanpa sebab".

ii. Al-Maraghi berkata: "Perkataan Maryam, Dapatkah aku mempunyai seorang anak lelaki tanpa bersuami", sebenarnya ia mengandungi pelbagai pengertian.

Antaranya: Boleh jadi ia membawa erti apakah beliau segera dapat suami, sehingga dapat melahirkan seorang anak lelaki? Atau lahirnya anak ini terjadi dengan kekuasaan Engkau, Ya Allah? Atau ia membawa erti bahawa beliau begitu takjub dengan kekuasaan Allah SWT dan berasa masalah yang dihadapinya begitu hebat.

Al-Maraghi juga berkata: "Terdapat perbezaan yang menarik antara dua kisah ini, iaitu kisah Nabi Zakaria a.s dan kisah Maryam. Kisah pertama mengunakan perkataan yaf'alu (berbuat), manakala kisah yang kedua menggunakan perkataan yakhluqu (menciptakan, menjadikan).

"Menurut kebiasaan, bahawa perkataan 'berbuat' seringkali diterjemahkan dalam menjadikan benda-benda yang dikenal atau proses-proses alam yang umum. Sedangkan, perkataan 'menciptakan' sering digunakan untuk menyatakan sebarang perbuatan yang baru sama sekali atau sesuatu penemuan yang baru, sekalipun prosesnya tidak diketahui.

"Oleh itu, dikatakan Allah SWT mencipta langit dan bumi dan dikatakan Allah membuat langit dan bumi".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata kun dalam ayat ini digunakan sekadar untuk menggambarkan betapa mudah Allah SWT menciptakan sesuatu dan betapa cepat terciptanya sesuatu bila Dia menghendaki. Cepat dan mudahnya itu, diibaratkan dengan mengucapkan kata kun".

iv. Hamka berkata: "Bagaimana aku boleh beranak sedangkan aku belum berkahwin? Akupun tidak pernah berhubungan dengan mana-mana lelaki. Mungkin juga aku akan dikahwinkan membawa erti aku akan mengandung? (Pertanyaan Maryam kepada malaikat)".

Iktibar dan fiqh ayat ke-48:

i. Al-Maraghi berkata: "Kitab di sini bermaksud membaca, menulis dan pengetahuan yang benar membangkitkan kemahuan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang memberi manfaat serta memahami dengan betul kandungan kitab Taurat.

"Allah SWT turut mengajar baginda (nabi Isa a.s) rahsia-rahsia hukum Taurat sehingga al-Masih menjadi orang yang mengetahui, lalu memimpin kaumnya dan membimbing mereka kepada rahsia dan maksud Taurat. Pada masa yang sama Allah SWT juga mengajarkan kandungan kitab Injil yang diwahyukan kepadanya.

ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Nabi Isa a.s menegaskan bahawa apa yang dilakukannya adalah atas izin Allah SWT. Ini untuk menghapus segala kesan yang timbul dari apa yang dilakukannya.

"Oleh itu beliau perlu menyebutkan izin tersebut khususnya dalam hal yang sama tidak dapat dilakukan oleh manusia iaitu meniupkan roh kehidupan, menghidupkan manusia yang telah mati. Adapun penyembuhan, ia berlaku dengan izin Allah SWT".

iii. Hamka berkata: "Dijelaskan keutamaan anugerah Tuhan kepada beliau. Dia (nabi Isa a.s) akan diajari kitab, iaitu akan diberi pengetahuan menulis dan membaca. Firman Allah SWT itu akan menambah kepercayaan umat Muhammad SAW bahawasanya nescaya Nabi Isa ada mencatatkan Injil sebagai wahyu yang diterimanya dari Tuhan.

"Diajarkan pula kepada beliau hikmat iaitu kebijaksanaan dan akal budi yang luas dan jauh pandangan. Diajar Tuhan pula kepada beliau kitab Taurat dan diberi pula dia wahyu sendiri iaitu Injil. Injil itulah syariat yang khas bagi beliau".

Daripada ayat-ayat yang ditafsirkan ini jelas menunjukkan kuasa Allah SWT yang boleh melakukan apa sahaja dengan kehendak-Nya sekalipun dianggap mustahil oleh akal manusia. Semoga kita menjadi golongan yang beriman dan percaya dengan kekuasaan Allah SWT sifat kudrat dan iradat-Nya.

Rahsia mengekal perkahwinan bahagia

Membina dan mengekalkan sebuah perkahwinan bahagia bukannya boleh dilakukan dalam sekelip mata. Ia memerlukan waktu dan hendaklah disusuli dengan usaha.

Sebenarnya, dalam melayari kehidupan rumah tangga, kita juga tidak boleh elak daripada berhadapan dengan bebanan kerja, kerenah anak-anak dan rutin harian. Tanpa sedar, keadaan itu membuatkan kita lupa untuk memelihara perhubungan dan beranggapan suami tidak kisah mengenainya.

Andai diri masih leka, hayatilah beberapa panduan di bawah khusus untuk mengingatkan anda mengenai pentingnya membina sebuah perhubungan yang bahagia. Mungkin, melalui panduan tersebut dapat membantu anda dalam mewujudkan sebuah perkahwinan yang bahagia selamanya.

Belajar berkomunikasi secara efektif

Komunikasi adalah kunci utama dalam sebuah perkahwinan atau perhubungan yang utuh dan sihat. Komunikasi yang efektif memerlukan anda menjadi seorang pendengar yang setia. Jangan segera memberikan pandangan. Dengar sahaja apa yang ingin diperkatakan pasangan anda. Jika perlu meluahkan sesuatu, luahkan apa yang anda rasa secara positif dan jujur.

Luangkan masa bersama

Andai diri tiada masalah untuk berkomunikasi dengan efektif, carilah masa untuk mewujudkan satu perbualan bermakna antara kamu berdua. Pastikan ia bebas daripada sebarang gangguan. Contohnya, untuk pastikan anda benar-benar berkomunikasi bersama pasangan, tutup dahulu televisyen yang ada di hadapan anda. Ataupun, ambil peluang berbual dalam suasana malam yang sunyi di rumah.

Pergaduhan secara adil

Jangan mengharapkan diri sentiasa bersetuju dalam semua perkara. Paling penting dalam menyelesaikan konflik yang timbul adalah dengan menghormati perasaan pasangan anda, biarpun ketika itu sedang bertengkar.

Biarkan suami/isteri tahu bahawa anda sedang menilai kata-katanya meski diri tidak bersetuju dengannya.

Cuba elak mengkritik, mencemuh, mengenepikan atau menolak pasangan ataupun pandangan mereka.

Jika diri berasa kecewa atau marah, tinggalkan perbualan itu dan sambung semula di masa yang lain.

Nota - Andai terasa diri mungkin akan mencederakan pasangan anda, segeralah berlalu dan biarkan dia bersendirian. Cuba dapatkan bantuan secepat mungkin.

Beri komitmen dalam perhubungan

Pastikan anda sentiasa mengutamakan perhubungan atau rumah tangga dalam kehidupan anda.

Sebuah perhubungan adalah satu usaha yang berterusan. Oleh itu, ia memerlukan perhatian dan usaha untuk berkembang. Tidak kira betapa sibuk pun diri anda, cuba luangkan masa berkualiti bersama walaupun terpaksa mengatur semula jadual dalam diari.

Raikan pencapaian diri masing-masing secara bersama. Sekiranya dihimpit kesusahan, berilah sokongan dan galakan kepadanya.

Luahkan rasa penghargaan anda

Ucapan terima kasih mungkin dilihat remeh, tetapi ia boleh membuatkan pasangan anda rasa dirinya istimewa dan dihargai.

Walaupun mungkin dia tahu bahawa kita mengambil berat mengenai dirinya, ia tidak menyakitkan untuk mengucapkan terima kasih biarpun untuk kerja yang dilakukan setiap hari seperti memasak, menidurkan anak atau membuang sampah.

Kekalkan gurauan dalam kehidupan seharian. Selalulah ketawa bersama pasangan. Kekalkan gurauan boleh melegakan tekanan dan tegangan. Malah, ia dapat membantu anda melalui saat-saat sukar bersama.

Belajar bertolak ansur

Bertolak ansur amat penting dalam apa juga perhubungan, terutamanya perkahwinan. Jika tidak bersetuju dalam sesuatu isu, bincanglah dalam keadaan yang tenang. Biarkan masing-masing menjelaskan pandangannya dan cari jalan penyelesaian setelah mengambil kira pandangan kedua-dua pihak.

Saling memaafkan

Dalam perkahwinan, ada ketikanya pasangan melakukan kesilapan atau berkata sesuatu yang melukakan hati, tidak kira ia dilakukan dengan sengaja atau tidak. Saat itu, tidak salah untuk anda berasa marah. Tetapi, biarkanlah kemarahan itu berlalu. Sebenarnya, jika berterusan memikirkan tentang kekecewaan tersebut, sukar untuk anda membina perhubungan yang penuh dengan kasih sayang.

Kekalkan kemesraan

Perhubungan selalunya romantik pada tempoh permulaan. Tetapi, apabila masa berlalu dan pasangan beralih perhatian dengan perkara lain seperti kerja, anak-anak, bil dan rumah - akhirnya mereka akan mengambil sambil lewa tentang diri masing-masing.

Buatlah pasangan anda rasa istimewa, lakukan sesuatu yang romantik walaupun hanya satu perkara yang kecil.

Contohnya, bawakan sarapan pagi di katil, sesekali keluar makan malam, berjalan di pantai atau berkelah.

Cuba cari masa untuk diri sendiri

Memang normal untuk pasangan mempunyai hobi, minat dan kawan yang berbeza.

Biarpun, hakikatnya menghabiskan masa berkualiti bersama itu penting, sesekali anda juga perlukan masa untuk bersendirian atau bersantai bersama teman-teman.

Dengan mencari masa untuk diri sendiri, anda sebenarnya akan lebih menghargai diri pasangan anda.

Akhir sekali, andai telah mencuba pelbagai cara tetapi masih mengalami kesukaran dengan perkahwinan atau perhubungan, cubalah dapatkan bantuan, tidak kira melalui terapi, kaunseling perkahwinan ataupun meminta pandangan daripada kawan-kawan yang mampu membantu.

Cara Melajukan Capaian Internet Anda

1. Defaultkan wallpaper anda,biarkan kosong.Bagi Windows 98/ME/2K/ ,default wallpaper ialah warna biru muda.Bagi Windows XP tidak dapat ditukar kerana wallpaper defaultnya ialah gambar Bliss.Jika gunakan wallpaper,terutamanya yangberwarna-warni ia akan membuatkan PC anda lagging semasa melayari laman web.

2. Klik Start/Run dan taip msconfig.Klik pada bahagian Startup dan uncheck software yang anda fikir anda tidak mahu keluar pada masa anda start komputer anda.Semakin kurang yang keluar pada startup anda semakin lajulah proses permulaan komputer anda dan melajukan loading site didalam internet.

3. Kurangkan atau jangan run software yang terlalu berat seperti Microsoft Word semasa melayari internet, kalau anda ingin full acceleration semasa melayari internet jangan buka software yang lain seperti satu lagi window bagi internet explorer, ini akan melambatkan internet anda.

4. Clearkan segala benda yang terdapat didalam Recycle Bin anda sebelum menyambungkan connection anda ke internet. Tidak lupa juga History anda dan Records. Klik Start/Settings/Taskbar and Start Menu/Advanced dan klik Clear.

5. Apabila anda connected daripada internet lebih daripada dua jam,restart computer anda dan reconnect kembali. Jika anda terus melayari internet connection anda ke server akan mula drop dan anda akan mula terasa data/connection anda mula menjadi perlahan.

6. Jika anda menggunakan dial up dan menggunakan modem internal/external jangan lupa untuk update driver anda setiap 2 bulan untuk memastikan segala information hardware anda diupdate kerana selalunya driver yang anda dapat daripada CD adalah tidak updated atau yang menggunakan versi lama, justeru itu anda haruslah mendapat update file yang updated daripada site manufacturer modem tersebut.

7. Pada pengguna Internet Explorer, klik ikon Internet Explorer di Desktop dan klik Properties,Klik di bahagian Advanced dan scroll down ke bahagian Multimedia, untick bahagian yang tertulis Play animations,Play sounds,Play videos,Show pictures,Smart image dithering. Selepas ini anda tidak perlulah terkejut apabila anda melayari apa-apa site jika mendapati site itu tidak memaparkan sebarang gambar/flash/videos kerana yang ada hanyalah perkataan kerana anda telah set untuk tidak download sebarang gambar jadi ia akan melajukan internet anda semasa loading site.
8. Kemudian Klik Start/Settings/Control Panel/Network ,di bahagian Configuration klik 2X di Dial-Up Adapter dan klik pula Advanced.Klik IP Packet Size dan dibahagian Value pilih Large dan dibahagian seterusnya Record a log file pilih No..Klik Ok dan Ok sekali lagi dan restart komputer anda..

9. Pastikan komputer anda sentiasa berada didalam keadaan yang baik setiap masa,connection akan drop jika komputer anda bermasalah seperti dijangkiti virus.

10. Jangan install game didalam PC anda walaupun mempunyai hard disk yang besar.Biarkan ruang yang lebih untuk swap file semasa anda surfing kerana file yang banyak didalam hard disk anda akan buat komputer lebih kerap hang/jam etc.

Bersifat amanah dalam melaksanakan kekuasaan

Secara etimologi , amanah atau amanat bererti "kejujuran" atau "kepercayaan". Berdasarkan terminologinya, amanah adalah sesuatu yang diberikan kepada pihak lain sehingga menimbulkan rasa aman (gembira, lega dll) bagi pemberinya. Sebaliknya, pihak penerima memelihara amanah dengan baik

Mengikut Imam Ibnu Al Athir dalam kitabnya al-nihayah fi gharib al-hadith wa al-athar, amanah membawa maksud ketaatan, ibadah, kepercayaan dan jaminan keselamatan. Syekh Husain bin Abdul Aziz menjelaskan banyak perkara berkaitan urusan sama ada dunia ataupun agama dikategorikan sebagai amanah. Kaedah dan asas hukumnya adalah segala sesuatu yang seseorang bertanggungjawab mengenainya, dan hak yang diperintahkan Allah (SWT) agar ia menjaga dan menunaikan amanah itu, baik yang berkenaan dengan agama, jiwa manusia, akal, harta dan maruah atau kehormatan diri. Demikianlah dalam kehidupan kita seharian, perkataan 'amanah' sudah menjadi bahasa seharian. Sebutan 'amanah' dianggap sebagai kata biasa atau bersifat umum sedangkan kata amanah seperti yang tercatat di dalam al-Qur'an dan hadis mengandungi makna yang begitu mendalam dan merupakan salah satu kunci dalam konsep syariah, khususnya yang berkaitan dengan urusan muamalat.

Dalam konteks yang Iebih luas, kata 'amanah' mempunyai makna yang mendalam dan fundamental dalam Islam. Ia bukan saja mempunyai kaitan yang erat dengan hakikat kekhalifahan manusia, iman dan akhlak tetapi juga sarat dengan nilai-nilai etika yang dapat diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan negara.

Di dalam Al-Quran, ada perintah menunaikan amanat kepada pemiliknya, disusuli dengan perintah menetapkan keputusan yang adil, kemudian dilanjutkan dengan perintah taat kepada Allah, rasul, dan uli'l-Amri (orang-orang yang berkuasa) (lihat surah An-Nisa ayat 58-59) Pengurutan huraian ayat seperti ini menjadi petunjuk bahawa jabatan dan kebijaksanaan pengelolaan merupakan amanat yang bersumber daripada Allah, melalui masyarakat dan orang ramai dan mereka mempunyai hak untuk memilih sendiri siapa yang mereka inginkan.

Allah SWT telah menasihati Nabi Daud AS untuk melaksanakan tugas dalam pemerintahannya dengan adil. Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:"Hai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu sebagai Khalifah kami dimuka bumi. Oleh kerana itu berilah keputusan di antara manusia sesuai dengan syariat Kami. Jangan mengikuti hawa nafsu dalam mengambil keputusan sehingga kamu keluar dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang keluar dari jalan Allah dengan mengikut hawa nafsu akan mendapat azab yang pedih,kerana lalai akan hari pembalasan". (Surah Shad ayat 26)

Hanya orang yang jujur imannya kepada Allah SWT yang menjaga amanahnya. Lemahnya amanah bererti lemahnya iman seseorang insan. Justeru dalam menegakkan keadilan, pemimpin perlu bersifat amanah iaitu jangan sampai terpengaruh oleh hubungan suka atau tidak suka kepada seseorang. Walaupun kita sedang diselubungi rasa benci terhadap seseorang individu, kumpulan atau golongan mahupun kaum, kita harus melaksanakan secara bijaksana dan adil. Demikian juga ketika dalam keadaan senang dan gembira.

Hubungan antara manusia akan terjaga jika amanah terpelihara. Begitu juga dalam suatu negara, jika pemerintah sebagai pemegang amanah rakyat menjaga dengan baik amanahnya, maka negara akan damai. Apabila amanah diabaikan, maka rosak pula hubungan antara sesama manusia. Allah menyerah amanah kepada manusia. TujuanNya adalah untuk mengangkat manusia kepada kedudukan yang lebih tinggi dari malaikat, selagi manusia mengembangkan amanah itu dengan baik.

Kerjaya, kuasa, pengetahuan, pangkat, hutang, anak, harta benda dan bumi tempat kita hidup adalah amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia. Oleh itu, amanah itu harus kita laksanakan dengan baik dan adil.Hukum menunaikan amanah adalah wajib, sedangkan mengkhianatinya adalah haram.

Dalam konteks lebih luas, perkataan amanah bukan sahaja mempunyai kaitan rapat dengan hakikat tugas kekhalifahan manusia, iman dan akhlak tetapi juga penuh dengan nilai-nilai etika kehidupan bermasyarakat dan pentadbiran negara.

Demikian juga ketika Allah SWT menceritakan tentang Nabi Yusuf AS ketika ia berkata kepada raja:"….Jadikanlah aku Bendahari Negara (Mesir), sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan"(Surah Yusuf ayat 55).

Ini kerana dengan kekuatannya, Nabi Yusuf mampu melakukan pekerjaan dan tugas-tugas pentadbiran negara dengan baik. Dengan sifat amanahnya, beliau meletakkan dirinya pada tempat semua perkara yang berkaitan dengan tugasnya.

Kepimpinan menurut pandangan al-Quran bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga adalah ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah . Dalam erti kata lain, ia adalah satu amanah daripada Allah yang perlu ditunaikan sebaik-baik mungkin.

Dalam ilmu-ilmu sosial dijelaskan bahawa segala tindakan manusia yang sudah pasti ialah melanggar keadilan iaitu mengunakan kekuasaan. Oleh sebab itu kekuasaan dalam agama harus dilihat sebagai amanah Allah SWT dan amanah itu harus kita laksanakan dengan seadil-adilnya. Jangan sekali-kali kita menyalahgunakan kekuasaan yang diamanahkan oleh rakyat, sebab kuasa mutlak yang kita miliki bukan bersifat kekal. Al-Quran ada menyebut tentang penyalahgunaan kekuasaan iaitu dengan bertindak melindungi tindakan-tindakan yang salah.Melalui kekuasaan itu mereka akan melakukan apa sahaja helah atau tipu daya untuk melindungi orang lain yang ternyata bersalah.Menbenarkan perbuatan yang salah atau menyeleweng dengan mengunakan muslihat hukum adalah bercanggah dengan pengertian amanah yang dikehendaki oleh Allah. Dalam negara kita, untuk menjana keutuhan Islam dan kekuatan umat, adalah menjadi tanggungjawab orang yang memegang amanah kuasa dan pangkat.

Mengapa umat Islam diuji dengan pelbagai ujian?

Sifat utama Umat Islam seperti yang didedahkan oleh al-Quran ialah mengajak manusia sejagat untuk melakukan perkara-perkara yang baik (makruf) dan meninggalkan perkara-perkara haram yang ditegah oleh agama Islam, ia bertujuan tidak lain agar mereka menjadi umat yang berjaya di dunia dan akhirat, pendedahan ini pernah disebut menerusi surah Ali ‘Imran ayat 104 yang bermaksud : Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari perkara mungkar, mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Umat Islam adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan Allah ke muka bumi ini bagi mengajak manusia seluruhnya mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT dalam erti kata yang cukup luas maksud dan pengertiannya.

Diuji dengan pelbagai ujian untuk jadi kuat dan matang


Antara ujian yang disebut oleh al-Quran ke atas masusia ialah dengan menjadikan hidup dan mati itu sebagai ujian untuk mengetahui sejauh mana mereka benar-benar beriman kepada Allah (lihat ayat 2 surah al-Mulk dan ayt 2dan 3 surah al-Ankabut).

Umat Islam diuji dengan kefarduan solat lima waktu, puasa sebulan di bulan Ramadan, menunaikan fardu haji di Mekah, berakhlak mulia, bersangka baik, meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah dan sebagainya, ia tidak lain adalah untuk menjadikan mereka Umat yang berkualiti tinggi dari sudut keimanan, ketakwaan dan hubungan dengan Allah selaku Pencipta.

Tanpa ujian, sudah pasti umat manusia seluruhnya tidak mengetahui sejauhmana keimanan mereka itu kepada Allah, sepertimana para pelajar di sesebuah sekolah, mereka mesti melalui proses pembelajaran yang diakhiri dengan peperiksaan penting, sama ada di peringkat UPSR, PMR atau SPM bagi menentukan tempat terbaik pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Ujian adalah untuk mengingatkan Umat tentang peranan dan tanggungjawab

1- Berlaku bermacam-macam fitnah terhadap agama (dilakukan sendiri oleh umat Islam),

2- Berlaku gempa bumi, rebut taufan, banjir kilat, tanah runtuh,

3- Kematian di mana-mana (sama ada kematian disebabkan kemalangan, bunuh diri, membunuh orang lain bagi menutup rasa malu dan lain-lain), umat ditimpa pelbagai bentuk bala daripada Allah.

Berdasarkan keterangan hadis Nabi Muhammad di atas, kita sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana dikategorikan dalam golongan umat Nabi Muhammad yang banyak kelebihannya, kerana baginda sahajalah yang mampu memberi syafaat di akhirat dibandingkan dengan para Anbiya’ yang lain.

Namun apa yang patut kita sama-sama fikirkan ialah persoalan hidup kita semasa di dunia ini, pernahkah kita terfikir, bagaimana Nabi Muhammad mengkhabarkan mengenai raptai ujian atau siksaan di dunia ini atas kesilapan yang kita sendiri lakukan.

Atas kealpaan manusia bernama Islam, yang melakukan banyak tindakan yang menyalahi agama, hingga ia dianggap fitnah terhadap Islam itu sendiri, sebagai contoh, berapa ramai di kalangan wanita Islam yang tidak bertudung kepala (hijab) dianggapnya dosa kecil, ada yang berjudi, minum arak, merogol keturunan sendiri, meragut, membunuh dan bermacam-macam jenayah lagi, kesemua itu adalah fitnah kepada Islam.

Justeru, apabila umat Islam sendiri terlibat dengan fenomena fitnah, maka tidak mustahil Allah SWT menimpakan pelbagai bentuk malapetaka dan bala yang tidak terduga oleh akal manusia, kalau di zaman dahulu Allah timpakan bala seperti belalang, kutu, katak, darah yang menggerunkan pada ketika itu, pada hari ini Allah hukum dengan selsema burung, penyakit kuku, tangan, kaki dan mulut, Aids dan macam-macam lagi yang menyebabkan manusia takut dan pasrah terhadap hukuman-Nya.

Antara bala yang ditimpakan Allah ke atas umat Islam kini ialah kematian, sama ada yang disebabkan oleh kemalangan atau pembunuhan, laporan akhbar setiap hari menyebut mengenai kes-kes kematian, ini menandakan bahawa Allah sedang merancang sesuatu untuk menghukum kita yang alpa dengan habuan dunia yang menjauhkan diri kepada-Nya.

Sebenarnya ujian yang kita terima dan sedang berhadapan dengannya, adalah tidak lain untuk mengingatkan kepada asal kejadian kita, iaitu untuk beribadat kepada-Nya, apabila kita diuji dalam keadaan taat dan mati kerananya, maka kita sedang melakukan perkara yang soleh, tetapi sebaliknya apabila kita mati dalam keadaan maksiat dan menentang Allah, dikhuatiri kematian kita itu menjadi kutukan di sisi Allah SWT, justeru, marilah kita sama-sama menginsafi diri dan banyak melakukan muhasabah kepada Allah.

Syirik percaya ayat al-Quran miliki kuasa

Umat Islam boleh terjebak dengan perbuatan syirik jika percaya bahawa ayat-ayat suci al-Quran memiliki kuasa atau kekuatan bagi melariskan perniagaan mereka.

Pengamal perubatan Islam, Datuk Dr. Amran Kasimin berkata, perbuatan itu juga tergolong dalam tujuh dosa besar kerana ia boleh memesongkan kepercayaan umat Islam terhadap Allah.

''Salah, apabila seseorang itu meletakkan ayat al-Quran dan percaya ia ada kuasa atau kekuatan atau ada unsur-unsur luar biasa yang menyebabkan orang tertarik untuk ke kedainya, ia boleh jatuh syirik.

''Tetapi kalau setakat letak atau gantung ayat tersebut di dinding ia tidak menjadi satu kesalahan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bangi baru-baru ini.

Mengulas penggunaan 'pelaris' dalam perniagaan, beliau memberitahu, 'pelaris' bermaksud seseorang melakukan sesuatu supaya pekerjaan yang dibuatnya itu mendapat sambutan dan keuntungan.

Jelasnya, mengamalkan ilmu sihir dan juga azimat adalah antara 'pelaris' yang digunakan bagi menarik perhatian orang ramai atau pengunjung.

''Semua ini membabitkan elemen makhluk halus atau jin dengan mendapatkan khidmat pawang atau pun dukun," ujarnya.

Selain 'pelaris', beliau berkata, terdapat juga di kalangan peniaga yang menggunakan 'pelalau' bagi menyingkirkan pesaing mereka.

''Pelaris ini lawan dia pembenci atau pelalau di mana bila orang menggunakannya ia akan menyebabkan pelanggan tidak berminat untuk masuk ke kedai tersebut, semua ini membabitkan ilmu sihir," katanya.

Menurut Amran, umat Islam perlu diperjelaskan bahawa perbuatan tersebut dikutuk oleh agama dan sewajarnya mereka memohon bantuan atau pertolongan daripada Allah.

Tambahnya, berdoa dan melakukan solat hajat bagi memohon melariskan perniagaan adalah cara terbaik agar rezeki yang diperoleh mendapat keberkatan daripada-Nya.

''Buat kedai elok-elok, masak sedap-sedap, lepas itu kita berdoa serta bertawakal. Cara ini tidak salah kerana kita tidak menggunakan jin sebagai pelaris," tegasnya.

Mengulas mengenai hukum fatwa, beliau memberitahu, perkara yang melibatkan jin serta sihir merupakan satu perbuatan yang cukup jelas tergolong dalam dosa besar.

Katanya, umat Islam sewajarnya sudah cukup jelas dengan perkara itu kerana ia tercatat di dalam al-Quran dan juga hadis untuk dijadikan sebagai garis panduan.

Doa mohon ditambahkan Ilmu

Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku. (Taha: 114)

Keterangan Ayat
Menurut al-Tibi, ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat yang sebelumnya.

Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya yang menimbulkan rasa kagum kepada sesiapa yang memahami ayat-ayat Allah. Disebabkan perkara itu, maka agungkanlah Allah dan bersungguh-sungguh untuk menghafaz ayat-ayat-Nya tetapi jangan tergopoh-gapah.

Nabi SAW para peringkat awal diturunkan wahyu sentiasa mengikut Jibrail a.s. membaca al-Quran sebelum Jibrail berhenti. Perkara ini dilakukan oleh Nabi kerana takut Jibrail pergi sebelum Baginda dapat mengikut kesemuanya.

Allah SWT menurunkan ayat ke-114 ini untuk menegur kesilapan Nabi SAW itu kerana ia mungkin menyebabkan Nabi tidak dapat mengikuti apa yang akan dibacakan seterusnya.

Kemudian Allah SWT mengajarkan Nabi Muhammad SAW agar berdoa meminta Allah menyemarak dan menambahkan ilmu Baginda. (Tafsir Ruhil Ma’ani, ayat ke 114 surah Taha)

Khasiat dan kaifiat beramal

Menurut al-Imam Ibnu Badis al-Sanhaji, hati tidak akan sekali-kali memperoleh apa yang sedang dipelajari sehinggalah lidah berhenti daripada berkata-kata. Dengan sebab itu, seseorang pelajar hendaklah mendiamkan diri daripada berkata-kata sama ada secara jelas atau berbisik semasa proses pembelajaran berlaku. (Tafsir Ibnu Badis, tafsir ayat 114, surah Taha)

Perkara ini patut menjadi amalan semua golongan. Tidak terbatas kepada para pelajar sahaja malah setiap orang yang berkomunikasi dan berinteraksi. Inilah tips dan petua menyelamatkan keadaan daripada berlakunya silap faham dalam hubungan suami isteri, dengan kawan-kawan di tempat kerja, dalam perdebatan dan lain-lain. (Tafsir Ibnu Badeis, tafsir ayat 114, surah Taha).