24 Februari 2009

Bersifat amanah dalam melaksanakan kekuasaan

Secara etimologi , amanah atau amanat bererti "kejujuran" atau "kepercayaan". Berdasarkan terminologinya, amanah adalah sesuatu yang diberikan kepada pihak lain sehingga menimbulkan rasa aman (gembira, lega dll) bagi pemberinya. Sebaliknya, pihak penerima memelihara amanah dengan baik

Mengikut Imam Ibnu Al Athir dalam kitabnya al-nihayah fi gharib al-hadith wa al-athar, amanah membawa maksud ketaatan, ibadah, kepercayaan dan jaminan keselamatan. Syekh Husain bin Abdul Aziz menjelaskan banyak perkara berkaitan urusan sama ada dunia ataupun agama dikategorikan sebagai amanah. Kaedah dan asas hukumnya adalah segala sesuatu yang seseorang bertanggungjawab mengenainya, dan hak yang diperintahkan Allah (SWT) agar ia menjaga dan menunaikan amanah itu, baik yang berkenaan dengan agama, jiwa manusia, akal, harta dan maruah atau kehormatan diri. Demikianlah dalam kehidupan kita seharian, perkataan 'amanah' sudah menjadi bahasa seharian. Sebutan 'amanah' dianggap sebagai kata biasa atau bersifat umum sedangkan kata amanah seperti yang tercatat di dalam al-Qur'an dan hadis mengandungi makna yang begitu mendalam dan merupakan salah satu kunci dalam konsep syariah, khususnya yang berkaitan dengan urusan muamalat.

Dalam konteks yang Iebih luas, kata 'amanah' mempunyai makna yang mendalam dan fundamental dalam Islam. Ia bukan saja mempunyai kaitan yang erat dengan hakikat kekhalifahan manusia, iman dan akhlak tetapi juga sarat dengan nilai-nilai etika yang dapat diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan negara.

Di dalam Al-Quran, ada perintah menunaikan amanat kepada pemiliknya, disusuli dengan perintah menetapkan keputusan yang adil, kemudian dilanjutkan dengan perintah taat kepada Allah, rasul, dan uli'l-Amri (orang-orang yang berkuasa) (lihat surah An-Nisa ayat 58-59) Pengurutan huraian ayat seperti ini menjadi petunjuk bahawa jabatan dan kebijaksanaan pengelolaan merupakan amanat yang bersumber daripada Allah, melalui masyarakat dan orang ramai dan mereka mempunyai hak untuk memilih sendiri siapa yang mereka inginkan.

Allah SWT telah menasihati Nabi Daud AS untuk melaksanakan tugas dalam pemerintahannya dengan adil. Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:"Hai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu sebagai Khalifah kami dimuka bumi. Oleh kerana itu berilah keputusan di antara manusia sesuai dengan syariat Kami. Jangan mengikuti hawa nafsu dalam mengambil keputusan sehingga kamu keluar dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang keluar dari jalan Allah dengan mengikut hawa nafsu akan mendapat azab yang pedih,kerana lalai akan hari pembalasan". (Surah Shad ayat 26)

Hanya orang yang jujur imannya kepada Allah SWT yang menjaga amanahnya. Lemahnya amanah bererti lemahnya iman seseorang insan. Justeru dalam menegakkan keadilan, pemimpin perlu bersifat amanah iaitu jangan sampai terpengaruh oleh hubungan suka atau tidak suka kepada seseorang. Walaupun kita sedang diselubungi rasa benci terhadap seseorang individu, kumpulan atau golongan mahupun kaum, kita harus melaksanakan secara bijaksana dan adil. Demikian juga ketika dalam keadaan senang dan gembira.

Hubungan antara manusia akan terjaga jika amanah terpelihara. Begitu juga dalam suatu negara, jika pemerintah sebagai pemegang amanah rakyat menjaga dengan baik amanahnya, maka negara akan damai. Apabila amanah diabaikan, maka rosak pula hubungan antara sesama manusia. Allah menyerah amanah kepada manusia. TujuanNya adalah untuk mengangkat manusia kepada kedudukan yang lebih tinggi dari malaikat, selagi manusia mengembangkan amanah itu dengan baik.

Kerjaya, kuasa, pengetahuan, pangkat, hutang, anak, harta benda dan bumi tempat kita hidup adalah amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia. Oleh itu, amanah itu harus kita laksanakan dengan baik dan adil.Hukum menunaikan amanah adalah wajib, sedangkan mengkhianatinya adalah haram.

Dalam konteks lebih luas, perkataan amanah bukan sahaja mempunyai kaitan rapat dengan hakikat tugas kekhalifahan manusia, iman dan akhlak tetapi juga penuh dengan nilai-nilai etika kehidupan bermasyarakat dan pentadbiran negara.

Demikian juga ketika Allah SWT menceritakan tentang Nabi Yusuf AS ketika ia berkata kepada raja:"….Jadikanlah aku Bendahari Negara (Mesir), sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan"(Surah Yusuf ayat 55).

Ini kerana dengan kekuatannya, Nabi Yusuf mampu melakukan pekerjaan dan tugas-tugas pentadbiran negara dengan baik. Dengan sifat amanahnya, beliau meletakkan dirinya pada tempat semua perkara yang berkaitan dengan tugasnya.

Kepimpinan menurut pandangan al-Quran bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga adalah ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah . Dalam erti kata lain, ia adalah satu amanah daripada Allah yang perlu ditunaikan sebaik-baik mungkin.

Dalam ilmu-ilmu sosial dijelaskan bahawa segala tindakan manusia yang sudah pasti ialah melanggar keadilan iaitu mengunakan kekuasaan. Oleh sebab itu kekuasaan dalam agama harus dilihat sebagai amanah Allah SWT dan amanah itu harus kita laksanakan dengan seadil-adilnya. Jangan sekali-kali kita menyalahgunakan kekuasaan yang diamanahkan oleh rakyat, sebab kuasa mutlak yang kita miliki bukan bersifat kekal. Al-Quran ada menyebut tentang penyalahgunaan kekuasaan iaitu dengan bertindak melindungi tindakan-tindakan yang salah.Melalui kekuasaan itu mereka akan melakukan apa sahaja helah atau tipu daya untuk melindungi orang lain yang ternyata bersalah.Menbenarkan perbuatan yang salah atau menyeleweng dengan mengunakan muslihat hukum adalah bercanggah dengan pengertian amanah yang dikehendaki oleh Allah. Dalam negara kita, untuk menjana keutuhan Islam dan kekuatan umat, adalah menjadi tanggungjawab orang yang memegang amanah kuasa dan pangkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan