24 Februari 2009

Syirik percaya ayat al-Quran miliki kuasa

Umat Islam boleh terjebak dengan perbuatan syirik jika percaya bahawa ayat-ayat suci al-Quran memiliki kuasa atau kekuatan bagi melariskan perniagaan mereka.

Pengamal perubatan Islam, Datuk Dr. Amran Kasimin berkata, perbuatan itu juga tergolong dalam tujuh dosa besar kerana ia boleh memesongkan kepercayaan umat Islam terhadap Allah.

''Salah, apabila seseorang itu meletakkan ayat al-Quran dan percaya ia ada kuasa atau kekuatan atau ada unsur-unsur luar biasa yang menyebabkan orang tertarik untuk ke kedainya, ia boleh jatuh syirik.

''Tetapi kalau setakat letak atau gantung ayat tersebut di dinding ia tidak menjadi satu kesalahan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bangi baru-baru ini.

Mengulas penggunaan 'pelaris' dalam perniagaan, beliau memberitahu, 'pelaris' bermaksud seseorang melakukan sesuatu supaya pekerjaan yang dibuatnya itu mendapat sambutan dan keuntungan.

Jelasnya, mengamalkan ilmu sihir dan juga azimat adalah antara 'pelaris' yang digunakan bagi menarik perhatian orang ramai atau pengunjung.

''Semua ini membabitkan elemen makhluk halus atau jin dengan mendapatkan khidmat pawang atau pun dukun," ujarnya.

Selain 'pelaris', beliau berkata, terdapat juga di kalangan peniaga yang menggunakan 'pelalau' bagi menyingkirkan pesaing mereka.

''Pelaris ini lawan dia pembenci atau pelalau di mana bila orang menggunakannya ia akan menyebabkan pelanggan tidak berminat untuk masuk ke kedai tersebut, semua ini membabitkan ilmu sihir," katanya.

Menurut Amran, umat Islam perlu diperjelaskan bahawa perbuatan tersebut dikutuk oleh agama dan sewajarnya mereka memohon bantuan atau pertolongan daripada Allah.

Tambahnya, berdoa dan melakukan solat hajat bagi memohon melariskan perniagaan adalah cara terbaik agar rezeki yang diperoleh mendapat keberkatan daripada-Nya.

''Buat kedai elok-elok, masak sedap-sedap, lepas itu kita berdoa serta bertawakal. Cara ini tidak salah kerana kita tidak menggunakan jin sebagai pelaris," tegasnya.

Mengulas mengenai hukum fatwa, beliau memberitahu, perkara yang melibatkan jin serta sihir merupakan satu perbuatan yang cukup jelas tergolong dalam dosa besar.

Katanya, umat Islam sewajarnya sudah cukup jelas dengan perkara itu kerana ia tercatat di dalam al-Quran dan juga hadis untuk dijadikan sebagai garis panduan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan