16 Februari 2009

PC dengan fungsi hiburan



Selain digunakan untuk melaksanakan tugas harian dan berkomunikasi secara maya, komputer peribadi juga kini berperanan penting sebagai medium utama dalam fungsi hiburan.

Hiburan yang dimaksudkan seperti permainan muzik dan filem, permainan video dan televisyen.

Bagi membawa kemudahan itu kepada pengguna, pembekal teknologi komputer peribadi terkenal, Lenovo tampil dengan idea terbarunya menghasilkan komputer peribadi dengan teknologi hiburan berdefinisi tinggi.

IdeaCentre A600 All-in-One merupakan model terbaru yang dihasilkan dengan kombinasi ciri menarik serta rekaan cukup bergaya dan elegan bagi memberi kepuasan tanpa batasan.

Menampilkan reka bentuk sangat nipis untuk tujuan penjimatan ruang, model tersebut turut mempertingkatkan kebolehan pada fungsi lain seperti sambungan rangkaian komuniti sosial dan aplikasi pengecaman muka sebagai kata laluan log masuk.

Menurut Pengarah Negara Perniagaan Pengguna Lenovo Malaysia, Eric Zhao, dengan pengenalan model tersebut, ia membuktikan komputer peribadi masih lagi berkuasa.

''Keunikan yang ditonjolkan menerusi gabungan rekaan dan kejuruteraan yang digunakan bakal memberi pengalaman pengkomputeran luar biasa kepada pengguna,'' katanya.

Didatangkan dengan ciri skrin tanpa bingkai 21.5 inci, paparannya juga menawarkan penonton dengan pengalaman hiburan sebenar seperti di pawagam.

Menerusi nisbah 16:9 dan sokongan resolusi 1920 x 1080 berdefinisi tinggi, ia menghasilkan imej berkualiti dan menarik.

Dari segi kesan audio pula, ia diintegrasikan bersama teknologi Dolby Home Theatre dan pembesar suara bes selain disempurnakan oleh pemain Blu-ray.

Di samping itu, pengguna turut ditawarkan dengan aplikasi penalaan televisyen digital bagi fungsi tontonan dan juga rakaman program kegemaran menggunakan perisian Microsoft Vista Media Center.

Kelebihan pada perisian tersebut, ia membenarkan proses navigasi secara interaktif antara video, muzik dan program televisyen.

Bagi memberi kepuasan dalam permainan video, IdeaCentre A600 dilengkapi dengan alat kawalan jauh empat dalam satu untuk membenarkan kawalan pergerakan imej dan objek pada skrin.

Fungsi lain alat tersebut adalah ia boleh digunakan sebagai telefon bimbit VoIP untuk membuat dan menerima panggilan telefon menerusi internet sama seperti telefon tanpa wayar.

Kecanggihan komputer peribadi ini turut diserlahkan dengan kehadiran tetikus tanpa wayar untuk mengawal kursor skrin.

Dari sudut teknikal, komputer berkenaan dipacu menggunakan pemproses Intel Core 2 Duo bersama teknologi kad grafik ATI Radeon dengan sokongan DirectX10.

Pemacu berprestasi tinggi terkini memberi kelebihan perjalanan operasi senyap walaupun menjalankan tugas yang intensif.

Apa yang menarik, komputer tersebut mempunyai ruang simpanan cakera keras sehingga 1,000 gigabait (GB) selain RAM DDR3 4GB.

Ciri menarik lain yang ditawarkan seperti sambungan Wi-Fi berkelajuan tinggi, bacaan kad media enam dalam satu, sambungan USB dan slot FireWire.

Dengan segala kelebihan yang ditawarkan, IdeaCentre A600 All-in-One bakal dipasarkan pada penghujung April ini dengan harga RM3,700. Maklumat dan spesifikasi lengkap boleh diperolehi di laman web www.lenovo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan