16 Februari 2009

Dunia semakin tertekan

Dunia semakin tertekan

Penduduk dunia semakin tertekan! Ianya bukan lagi satu persoalan benar atau tidak tetapi lebih kepada perbandingan berapa teruk tahap tekanan atau stres yang dihadapi rakyat sesebuah negara.

Tekanan di rumah, di tempat kerja, di jalan raya, tekanan masalah kesihatan, tekanan perhubungan (keluarga atau rakan) dan bermacam bentuk tekanan lain dilihat semakin bertambah di kala mencapai kemajuan dan kemodenan.

Tidak kira kesan minyak, ekonomi, politik mahupun harga barang asas, semuanya dilihat banyak memberi tekanan berbanding kelegaan, sejak tibanya abad ke-21.

Agak mustahil bagi seseorang itu hidup tidak menghadapi tekanan kerana semua perkara dalam hidup seharian meninggalkan sedikit kesan kepada kemampuan menyesuaikan diri dengan bermacam keadaan yang dihadapi.

Ini secara asasnya seperti 'tukul yang memukul pahat' jauh lebih ke dalam diri individu, menghakis ketenangan dan kesabarannya.

Jelas dan menonjol

Ketegangan jelas kelihatan di seluruh dunia kini akibat bermacam punca, dari bencana alam, peperangan sehinggalah kepada kos makanan.

Namun, kebelakangan ini situasi semasa di luar dan dalam negara menunjukkan tekanan semakin meningkat dalam banyak perkara dan ia perlu ditangani secepat mungkin melalui cara bersesuaian.

Dunia menghadapi perubahan mendadak cuaca, terlalu panas atau terlalu sejuk, yang turut membawa bermacam bencana alam.

Tidak cukup dengan perkara semula jadi, perbuatan manusia menambahkan lagi bebanan dengan bermacam krisis dan skandal.

Pencemaran, krisis bekalan makanan, naik turun harga minyak dan keperluan asas (air, elektrik), harga barang melambung, skandal pencemaran produk makanan, krisis ekonomi dan kini peningkatan pengangguran.

Tidak cukup dengan itu, masih ada yang berselera berperang atau menghalalkan serangan terhadap penduduk awam. Sia-sia dan menyakitkan hati.

Melainkan peperangan, krisis dan skandal serupa turut melanda negara kita. Hasil bermacam cabaran yang perlu dihadapi kini, semakin banyak kejadian 'tekanan melampau' dapat dilihat dalam paparan berita.

Gejalanya mudah dikesan, dari tindakan melepas geram di khalayak ramai, cara pemanduan di jalan raya, gaya pertuturan dan juga cara berkomunikasi, terutamanya di kaunter-kaunter perkhidmatan.

Bukan sahaja doktor, polis dan tentera, di kalangan orang kenamaan juga mula menunjukkan tanda-tanda tekanan tinggi pada emosi dan fizikal.

Teori tekanan bukan sahaja mengaitkannya dengan ancaman kesihatan malahan mempercepatkan penuaan dan tindakan penuh emosi.

Bagaimanapun, perlu diingat rakyat Malaysia juga menghadapi tekanan tinggi dalam memahami dan menyesuaikan diri dengan bermacam perkara yang berlaku secara berturut-turut.

Berita melaporkan kes kemalangan akibat pemanduan laju, aktiviti merempit, melepaskan tembakan (rambang atau tidak), ugutan, hasutan, maki hamun dan terbaru melenting di khalayak ramai.

Kebanyakannya melibatkan mereka yang tertekan, tanpa mengira usia, bangsa atau fahaman, dalam mencari jalan mengurangkan tekanan.

Masa untuk bertenang

Pelopor teori tekanan (stres), Dr Hans Hugo Bruno Selye (1907 - 1982) menjelaskan tekanan sebenarnya ada sudut positifnya, sebagai pendorong dalam mencapai kejayaan pelajaran atau kerjaya.

Bagaimanapun, tekanan positif ini (eustress) jarang atau tidak meninggalkan kesan negatif kepada minda dan badan.

Tekanan negatif (distress) pula melibatkan tekanan berpanjangan yang tidak dapat dikawal melalui penyesuaian diri atau adaptasi keadaan, yang boleh membawa kepada rasa resah atau kemurungan.

Jika dikumpul berbukit-bukit tekanan negatif dalam hidup, bukan sahaja mengundang maut malahan membahayakan kesihatan dan keselamatan orang di sekitar kita.

Kaedah 10B termasuk bertenang, bernafas dengan dalam, berkata 'relakslah', beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikiran positif.

Kaedah ini cuma sebagai panduan menenangkan diri dalam situasi yang tertekan, terutamanya yang memuncak sehingga boleh menyebabkan hilang kawalan diri.

Cara terbaik mengurangkan tekanan tetap bergantung kepada cara individu memandangkan setiap orang mempunyai kecenderungan dan kaedah pilihan masing-masing untuk bertenang.

Aktiviti seperti menyanyi karaoke, menari dalam hujan atau hanya duduk membaca novel dapat memberi ketenangan jika ia sesuai dengan minat dan hobi seseorang.

Sesuatu yang pelik, selagi tidak melanggar tatasusila agama dan adab, boleh menjadi penawar kepada tekanan yang dihadapi seseorang.

Malahan, sebilangan doktor pakar dunia dan tempatan turut memperakui hubungan seks antara suami isteri dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi keduanya.

Bagaimanapun, hubungan seks luar nikah mungkin hanya menambah tekanan kerana lebih melibatkan nafsu dan desakan menyorokkan perbuatan tersebut dari pengetahuan umum.

Apa yang ingin ditekankan, carilah cara yang sesuai untuk diri anda meredakan tekanan dan ketegangan tanpa memudaratkan diri sendiri atau orang lain.

Menjadi kebiasaan apabila tekanan melanda seseorang, ia akan menyusup kepada individu di sekitar mereka melalui tindakan secara langsung (marah, layanan kasar) atau secara tidak langsung (tidak endah, mimik muka).

Jika gagal dikawal, dapatkan bantuan sebelum anda pula menjadi punca menambah tekanan atau ancaman kepada orang lain.

Jangan diambil tindakan melulu yang membawa mudarat walaupun dalam situasi yang memberi tekanan tinggi. Gunakan akal untuk melepas tekanan melalui cara yang baik tanpa menyusahkan orang lain.

Bersamalah kita kembalikan ketenangan dan keceriaan hidup, bukan hanya untuk diri dan keluarga, malahan untuk semua yang menggelar Malaysia 'tanah tumpah darah'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan