13 Mac 2009

Hubungan Harmoni Suami Isteri/Poligami/ Campurtangan Ibu Mentua

Soalan:
Assalammualikum Ustaz.
Saya telah berkahwin selama lebih kurang 3 bulan, masalah saya isteri saya tidak mahu mengikut saya pindah ke Kuala Lumpur, alasannya dia ingin menjaga ibunya (isteri saya adalah anak yang bongsu) dan mahu mengumpul duit. Sedangkan saya mampu menanggung perbelanjaan dia kalau dia berhenti kerja.
1) Bolehkah saya berkeras dengan isteri saya supaya dia mengikut cakap saya supaya dia berpindah dengan saya?
2) Bolehkan saya berkahwin lain jikalau pekara ini berterusan kerana ingin menjaga diri saya supaya tidak membuat dosa apabila isteri saya tiada di sisi saya?
3) Bolehkah saya membantah keputusan ibu mentua saya yang tidak mahu anaknya berpindah mengikut saya?
Sekian. Wassalam.
Ahmad Zamri, K Lumpur
Jawapan:
1. Seorang isteri yang baik adalah yang dapat memahami keadaan suaminya, begitu juga sebaliknya seorang suami yang baik mampu melihat suatu masalah itu dengan fikiran yang terbuka dan memahami setiap masalah dihadapi secara mendalam. Perkahwinan yang baru berusia tiga bulan merupakan jangkamasa yang masih singkat, maka sangatlah terburu nafsu jika seseorang itu menghancurkan hubungan yang baru itu lantaran perkara yang sebenarnya menjadi tnggungjawab antara suami dan isteri.

Sebenarnya ibu mertua kita kedudukannya sama dengan ibu kita sendiri. Jika kita menjaga hati mereka dan memelihara mereka dengan baik sama juga pahalanya dengan kita menjaga ibu dan bapa kita sendiri. Namun begitu sebagai seorang suami, ia berhak penuh terhadap isterinya dan isteri harus mengikut segala kehendak suaminya asalkan saja jangan menjurus kepada memusyrikkan Allah. Nasihatkanlah isteri anda secara baik, katakan kepadanya bahawa didalam Islam seorang wanita apabila telah bernikah, maka segala urusan kehidupannya dibawah tanggungan suaminya. Ibu bapa tidak berhak untuk menghalangi anaknya yang telah nikah untuk mengikuti suaminya kemana saja mereka ingin pergi.

Cuma saja sebagai umat Islam kita lebih mementingkan timbang rasa dan budi bicara, jika memang ibu mertua kita tidak ada orang yang menjaganya sedangkan dia dalam keadaan uzur, fikirkanlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Bincangkanlah perkara ini dengan sanak kelaurga yang lain agar hubungan anda dengan isteri anda tidak terjejas lantaran perkara tersebut. Namun jika ibu mertua anda masih mampu menyara hidupnya sendiri, nasihatilah isteri anda dengan cara yang lebih baik agar ia sudi mengikut suaminya berpindah ke tempat yang dimaksudkan.

2. Allah membenarkan seorang lelaki muslim untuk menikah hingga empat orang. Namun jika perkahwinan yang ingin anda lakukan kerana ingin membalas dendam dengan sikap isteri anda, maka perbuatan ini tidak terpuji. Lakukanlah poligami dengan mengikut sunnah. Sebab Rasulullah SAW menikah dengan wanita lain selain Aisyah bukan lantaran baginda tidak bahagia dengan Siti Aisyah tetapi lantaran ingin memperjuangkan nasib wanita yang ditinggalkan suaminya lantaran meninggal dunia di medan jihad. Jika anda benar-benar merasakan bahawa isteri anda sangat sukar untuk dinasihati sedangkan anda tidak mampu menahan gejolak nafsu, maka Islam mengizinkan seseorang itu kahwin lagi, lantara ingin menjaga diri dari melakukan pekerjaan maksiat.

Usahakan terlebih dahulu membina kembali sifat saling pengertian antara suami isteri dan jauhilah sifat salam faham sebelum ini. Fahami betul apa sebenarnya masalah yang sedang anda hadapi berdua. Apakah ia hanya sekedar keingan seorang anak membantu dan mendampingi ibunya yang sudah tua ataupun ada faktor lain yang menyebabkan isteri anda bersikap demikian. Berfikirlah secara lebih terbuka dan jangan membuat keputusan disebabkan oleh dorongan perasaan semata, sebaliknya buatlah keputusan dengan rasional dan mengikut syariat. Insya Allah keputusan yang akan anda ambil memperoleh berkah dan rahmat daripada Allah SWT.

3. Dalam Islam, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak perempuannya hanya sampai setelah ia berkahwin. Setelah ia berkahwin maka perempuan tersebut milik penuh suaminya sendiri. Jika orang tuanya berhajat ingin mengajak anaknya duduk bersama dengannya, maka ia harus meminta izin dengan suami anaknya (menantu). Jika menantu lelakinya tidak mengizinkannya, maka ibu bapa tidak boleh memaksa kehendaknya terhadap anaknya tersebut, sebab ketika itu anaknya telah menjadi tanggungan suaminya. Walaupun begitu selesaikan isu keluarga ini secara bijaksana dan masing-masing pihak lebih mementingkan sikap tolak ansur sesuai dengan keadaan.
Sila rujuk buku-buku berikut:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan