17 Februari 2009

Jangan Menghasilkan Individu Muslim Tanpa Jiwa Dan Akal

tarbiyyah di kampus

Dakwah Islam dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu dakwah jamaiyyah dan dakwah fardiyyah. Kedua-dua jenis dakwah ini harus dilaksanakan oleh setiap ahli gerakan Islam kerana ia merupakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai individu muslim.

Jika di kampus, jemaah Islam sebagai medan untuk melaksanakan dakwah. Juga sebagai medan menerima tarbiyyah. Begitu juga di rumah, yang boleh menjadi medan dakwah dan juga sebagi medan tarbiyyah.

Anggota jemaah Islam dilatih untuk sentiasa bersedia berhadapan dengan apa yang dipanggil mehnah dan tribulasi. Anggota jemaah dilatih agar menyerap tekanan yang datang dari luar atau dalam. Anggota juga diajar konsep pengorbanan yang mesti dilakukan untuk perjuangan yang diyakini. Kesetiaan dan wala’ terhadap jemaah juga amat dititik beratkan untuk memastikan gerak kerja Islam dapat dilaksanakan dengan lancar. Semua ini merupakan sebahagian daripada faktor diberi fokus selama mana anggota ditarbiyyah.

Program Di Kampus

Program-program yang bersifat kemasyarakatan akan diikuti oleh anggota gerakan Islam untuk mempertajamkan lagi soft skill atau kemahiran insaniah setiap individu muslim. Tidak kira ia anjuran jemaah Islam ataupun anjuran persatuan lain. Begitu juga penglibatan dalam program-program di dalam jemaah bersifat tarbiyyah. Anggota diberi peluang untuk memantapkan diri dengan gerak kerja tarbiyyah yang juga sebagai persediaan untuk mentarbiyyah anak-anak muda yang cintakan Islam apabila keluar kampus nanti. Adalah menjadi kerugian sekiranya ahli anggota jemaah Islam dikampus tidak meggunakan platform yang ada sebaik mungkin untuk mengasah bakat yang terpendam dalam diri masing-masing melalui platform jemaah islam.

Perkongsian Idea Dan Matlamat

Untuk memestikan keberkesanan kepimpinan sesebuah persatuan, kumpulan, organisasi atau dalam konteks ini, jemaah Islam sendiri, majlis tertinggi seharusnya berkongsi matlamat dan hala tuju dengan anggota yang lain. Penetapan visi, misi, objektif atau strategi memerlukan penglibatan anggota yang lain agar dapat mewujudkan kebersamaan dalam bergerakkerja bersama-sama untuk Islam. Kekurangan yang perlu ditampung sekarang ialah, apabila wujud anggota jemaah yang mempunyai idea yang sedikit berbeza dengan kehendak atau aturan jemaah(bahkan tidak diatur atau dirancang), idea mereka ini ditolak atau seolah-olah dipandang sebelah mata. Atau mungkin juga tidak sesuai dengn konteks semasa. Sedangkan jika dilihat dari maslahah dakwah, ia sebenarnya merupakan perkara ma’ruf yang perlu diperbanyakkan.

Teringat kata-kata seorang sahabat tempoh hari: “Perkara ma’ruf bersifat umum maka perlu diperincikan dan diperbanyakkan mengikut keadaan dan waqi’, manakala perkara dalam mencegah mungkar juga bersifat umum tetapi ia lebih memerlukan perincian lanjut mengikut waqi’.”

Kadangkala, jemaah Islam tidak dapat melaksanakan sesuatu aktiviti dakwah akibat keterbatasan waktu dan anggota. Walau bagaimanapun, jika wujud idea dakwah baru dari anggota bawahan, adalah sebaiknya diraikan dengan cara memberi peluang kepada pihak yang mencadangkannya untuk dilaksanakan. Lihat kemampuan mereka dan bimbing mereka. Dengan cara ini, sebenarnya pimpinan jemaah Islam sedang mengajar anak buahnya berdikari dan bertanggungjawab terhadap ideanya sendiri. Ini mampu meningkatkan lagi rasa kebertanggungjawapan anggota tersebut terhadap jemaah Islam. Anggota akan rasa dihargai dan turut rasa diperlukan dalam jemaah Islam.

Mereka tidak seharusnya hanya dibebankan dengan tugas, tanggungjawab atau peranan yang telah ditetapkan oleh pimpinan jemaah. Jika ini berlaku, ia mampu menyekat perkembangan minda seseorang ahli jemaah. Apatah lagi bagi anggota yang mempunyai idea dan pandangan yang mencurah-curah untuk kebaikan Islam, tapi ditolak mentah-mentah kerana ‘belum sesuai’ dan sebagainya . Ini merupakan kerugian kepada jemaah dan mampu membunuh semangat juang dalam diri anggota tersebut yang amat bersemangat membangunkan Islam.

Hargai Pandangan Ahli

Dengan cara menghargai pandangan dan idea ahli, jemaah Islam diyakini mampu untuk membawa ahli bersama-sama menghayati semangat berjunag dalam Islam dan dapat melahirkan rasa kebersamaan ahli di dalam perjuangan Islam secara berjemaah. Janganlah merasakan dengan hanya mengeratkan ukhwah sesama ahli, ia sudah mampu melayari bahtera perjuangan dalam jemaah. Tetapi lebih dari itu, pimpinan harus membawa ahli bersama merasai manis perjuangan melalui idea mereka sendiri. Beri mereka peluang untuk memperkembangkan kemahiran insaniah dalam diri mereka. Jangan hanya kongkong mereka dengan tugasan yang telah sedia ditetapkan oleh pimpinan atasan sahaja(sekali lagi ditegaskan). Jika ini berlaku, ia sebenarnya menunjukkan kejumudan dalam gerak kerja Islam bahkan mampu membunuh semangat jihad anak-anak muda kerana mereka seolah-olah menjadi individu muslim tanpa jiwa dan akal.

Kesimpulan

1. Disamping memperkasakan aktiviti jamaah yang yang ditetapkan oleh pimpinan, jemaah perlu mengambil kira juga idea atau aktiviti yang ingin dilakukan oleh ahli jemaah yang lain.

2. Jangan merencatkan perkembangan minda ahli jemaah Islam yang masih segar dengan idea-idea baru dengan perkataan ‘wala” kerana ia mampu membina ahli gerakan Islam yang seumpama boneka dan tanpa idealisma yang tersendiri.

3. Hargai setiap anggota jemaah dengan menghargai pandangan dan idea mereka. Tidak cukup dengan ‘berukhwah’ semata-mata.

4. Bimbing adik-adik yang bakal menerajui perjuangan Islam dengan memperbanyakkan praktikal disamping usrah yang berjalan serta selalu kaitkan dengan akidah Islam. Kerana akidah ialah asas perjuangan Islam.

5. Semua yang dinyakan diatas khas buat para pejuang Islam di kampus-kampus.

P/S: Teruskan perjuangan walau idea tidak diterima. Teruskan memberi pandangan walau pandangan tidak diterima. Teruskan perjuangan kerana ia adalah kewajipan dan tanggungjawab kita. Islam perlukan ramai pemuda-pemudi Islam yang tidak mudah mengalah dan berputus asa. Semua pengalaman dikampus akan mematangkan kita sebagai seorang daie.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan